Isnin, 5 Ogos 2013

Tradisi Keluarga Haji Muhamat Bin Pilus ~ Membakar Lemang

Alhamdulillah....... bertemu sekali lagi dalam blog ini. 

26 Ramadhan 1434H ~ 4 Ogos 2013 _ Ahad

Oleh kerana, pagi itu suami ke Felda Ulu Tebrau bersama abang angahnya untuk mengambil buluh lemang, terdetik hati ini akan kesibukan yang akan berlaku esok. Alkisah dahulunya, kebun kepunyaan ayah mertuaku memiliki buluh lemang yang agak banyak. Entah bagaimana ceritanya, sehingga abang angah suamiku tidak berfikir panjang membakar keseluruhan buluh lemang yang ada. Akibatnya setiap tahun tercari-cari buluh untuk membuat lemang. Dan tahun ini kebetulan pula ketika abang ngah bekerja membersihkan tanah di felda tersebut, terjumpa pula buluh lemang yang tidak dimiliki sesiapa. Memang rezeki terbaik kami pada tahun ini. Dan tuan rumah yang bakal membakar lemang tahun ini, pastinya rumahku yang memiliki laman belakang yang sangat sesuai untuk membakar lemang. 

27 Ramadhan 1434 H ~ 5 Ogos 2013 _ Isnin

Buluh - pemilihan buluh dilakukan oleh suami dan abangnya. Bak kata suami, untuk mengenal buluh lemang, buluh tersebut tidak mempunyai cabang dari pangkalnya. Hujungnya sahaja yang berdaun dan berpucuk. Ruasnya pula panjang. Tidak seperti buluh lain, ruasnya pendek. Miang pada buluh, hendaklah dihilangkan dengan menggunakan sabut kelapa. Kesemua tugasan ini dilakukan oleh bapa mertuaku, abang iparku Acik dan anak-anak saudaraku Mail, Siti dan DekNa. Bapa mertuaku menggergaji buluh mengikut panjang ruas yang hampir sama kesemuanya. Manakala Acik, memasukkan daun pisang ke dalam buluh. 

Daun pisang - dipilih berdasarkan warna. Bukannya hijau tua, tetapi hijau kekuning-kuningan. Dan bukannya pucuk yang terlalu lembut. Daun pisang diukur dengan membalut terlebih dahulu diluar buluh, dipotong, kemudian, dengan menggunakan batang daun pisang yang dibelah dua untuk dijadikan sepit, daun pisang yang diukur dan dipotong tadi akan disepit masuk ke dalam buluh. pastikan daun pisang tersebut dipotong sama tinggi atau lebih sedikit dari buluh. Jika daun pisangnya jauh lebih rendah dari buluh, dikhuatiri pulut yang masak nanti tidak terkena daun pisang. Daun pisang ini penting dalam memberikan aroma yang wangi pada pulut yang dimasak dalam buluh nanti.

 
Bulu lemang yang sudah diisi dengan daun pisang

Beras pulut - menurut petua mertua, beras pulut ini hanya dibasuh sahaja. Tidak perlu direndam. Jika direndam, pastinya lemang akan menjadi lembik. Apapun, ketika proses tersebut, kami terendam seketika. Mujurlah lemang kami lemak dengan kelembutan pulut yang masak di dalam lemang. Semasa mengisi ke dalam buluh, pastikan buluh tersebut tidak dihentak-hentak. Jika beras pulut terlampau padat, dikhuatiri membuak-buak terkeluar setelah beras pulut tersebut masak dengan sempurna. Dan dikhuatiri semasa mengisi santan, santan yang ada tidak dapat menampung kepadatan beras pulut yang melampau dan dikhuatiri juga akan ada beras pulut yang mentah. 

 Beras pulut yang sudah dibasuh dan ditapis

Kedudukan beras pulut yang diisi sebelum ditambah santan 

Santan - pastinya santan terbaik jika diperah dari kelapa yang sudah diparut. Kelemakan yang tiada tolok bandingnya. Pastikan santan tersebut diperisakan dengan sedikit garam. Andainya akan datang zaman berubah dengan drastik sehinggakan kelapa tidak diperolehi, pastinya kelemakan santan tidak lagi akan dirasai pada lemang. Semasa memasukkan santan ke dalam buluh yang sudah berisi beras pulut, pastinya kita akan dapati beras pulut yang ada semakin tenggelam jauh dari hujung atas buluh. Dari itu, bolehlah andainya jika ditambah sedikit demi sedikit beras pulut beserta santan. Tenggelamkan sedikit beras pulut ketika mengisi santan di dalamnya. 

Bara - semasa mengisi beras pulut tadi, unggun api seharusnya dihidupkan menggunakan kayu mati. Batang kayu rambutan yang ada dibakar sekali walaupun sedikit basah, untuk dijadikan bara. Buluh lemang yang sudah siap berisi tadi disegerakan bakar menggunakan bara yang telah disediakan. Tugasan ini dilakukan oleh suami dan ayahandanya bersama. Suamiku yang pulang dari kerja jam 5.30 petang, terus melaksanakan tugasannya. 


Sementara itu, aku pula menyiapkan juadah berbuka untuk semua yang ada. 

 
Juadah berbuka : Ayam Asam Pedas, Sayur Kobis, Tahu Goreng, Air ExtraJoss Susu, Air Kundur, Air Mangga, Buah Epal

Gotong royong membakar lemang





Ini lawannya : rendang daging negeri sembilan ibu mertuaku

Iklannya :



Dalam proses pembakaran, jika terlihat ada beras pulut yang agak kering, masukkan sedikit lagi santan supaya ia tidak terlalu kering dan mentah.

Alhamdulillah, jam 3 pagi keseluruhan lemang sempurna dibakar. Bersahurlah kami dengan lemang yang ada... Haziq sudah pun lena seawal jam 10 malam. Manakala aku pula selewat jam 1 pagi. manakala suami, selewat jam 2 pagi. Orang terakhir yang menjaga buluh lemang kami adalah abang angah. 

Yang mengejutkan anakku Haziq tidur di apit oleh atuk dan wannya. Haziq di atas tilam, atuk dan wannya disisi tilam Haziq. Atuk di kiri dan wan pula di kanan. Anak-anak saudaraku hanya beralaskan toto yang ada. 

Seronok kan bila dapat melaksanakan tugasan dengan baik.

Yang penting, lemang kami sangat sedap, lemak dan asli.. TERBAIK!!!! 

Nantikan Ramadhan akan datang jika diizinkan Allah....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan