Jumaat, 21 Jun 2013

Adab Memberi Salam

Sudah menjadi trend zaman kini, tidak memberi dan mengucapkan salam tapi membunyikan hon kenderaan sahaja sebagai tanda kehadiran mereka.

Rasanya, masyarakat kini khususnya yang beragama Islam, mengambil remeh tentang hal sebegini. Pada mereka mudah dan senang. Tetapi, pada pemerhatian insan lain di sekeliling kita yang peka tentang membudayakan tatacara Islam dalam kehidupan pasti melihat ia sebagai sejenis penyakit yang ubatnya hanya pada mereka yang berpenyakit sahaja.

Sebenarnya, ia berlaku sendiri dalam kehidupan saya. Semenjak menjadi surirumah sepenuh masa, banyak sangat yang saya ubah dalam kehidupan saya, dan dalam masa yang sama saya juga seringkali memerhatikan gelagat dan tabiat masyarakat sekeliling kita.

Apa yang dapat saya perhatikan, ada di antara ahli keluarga saya yang berhampiran dengan saya, sangat kerap hadir ke rumah saya TANPA memberi salam. Malahan, mereka menggunakan hon samada motor atau kereta. Di manakah adab salam mereka sekarang ini? Tertinggal di rumah agaknya….

Cuba bayangkan, andainya ketika itu anda sedang memasak atau sedang bersolat atau sedang mandi atau sedang menenangkan anak yang sedang menangis, tidakkah anda rasa dengan membunyikan hon itu diistilahkan sebagai kecemasan.

Sudah semestinya sepantas kilat anda keluar melihat siapakah yang membunyikan hon di hadapan rumah ada bukan?

Oleh dek kerana penat melayan sikap segelintir ahli keluarga saya ini, saya mengambil keputusan untuk tidak menghiraukan mereka. Sikap saya memang salah. Tetapi apakah daya anda, jika di kala itu anda ada tanggungjawab sebagai isteri dan juga ibu? Berbunyi semacam kejam.

Tidak perlulah hadir dengan membunyikan hon di kala pagi, ketika semua orang sibuk mempersiapkan diri untuk keluar bekerja. Ini membuatkan jiran yang mendengar pun, semacam terasa rumah mereka yang didatangi tetamu di waktu seawal jam 7.

Cukuplah dengan sekadar memberi salam. Bukankah memberi salam itu sangat mudah. Islam sudah jelas menggariskan panduan tentang adab memberi salam ketika berkunjung ke rumah tetamu. Tidak kira rumah yang kita kunjungi itu rumah ibu bapa, atau adik beradik, saudara mara, sahabat handai atau rakan taulan mahupun saudara seIslam.

Sebagai orang yang lebih muda, rasanya untuk menegur orang yang lebih tua dari kita terdapat sedikit kesukaran lebih-lebih lagi jika orang itu sudahpun bergelar haji atau hajjah sekalipun. Balasan yang akan diterima, “aku lebih tua dari kamu, lebih berilmu dari kamu.”

Pengalaman yang lain pula pernah saya alami, tatkala kami anak beranak sedang bersarapan dan adakalanya tatkala Haziq sedang tidur. Ada makhluk Allah yang datang ke rumah kami tanpa memberi salam malahan menjerit terpekik memanggil nama Haziq. Adakah Haziq boleh memberi respon ketika sedang bersarapan mahupun sedang tidur sedangkan Haziq mempunyai ibu yang mampu bertutur bahasa orang dewasa? Kadangkala hati ini sangat sakit untuk menerima kunjungan makhluk-makhluk Allah yang tidak tahu adab ketika datang berkunjung.

Pernah suatu masa dahulu, ketika kami sedang mandi, apabila keluar dari bilik air, dengan terkejutnya kami, ada kunjungan makhluk Allah yang sudahpun membuka pintu rumah kami. Janganlah disebabkan anda sebahagian dari keluarga, menjadikan rumah kami sebagai rumah anda. Kami keluar dari rumah anda pun kerana kami mahupun kehidupan berkeluarga yang sebenar.

Sejak dari itu, saya bertekad setiap kali suami keluar bekerja, semua pintu pagar akan ku kunci untuk mengelakkan sesiapa sahaja memasuki rumah kami sesuka hati. Sejak itu, kunci pendua rumah kami tiada seorang pun ahli keluarga terdekat dibenarkan memegangnya.


Pengalaman ini boleh menjadi pengajaran buat rakan-rakan yang membaca blog ini. 

Khamis, 6 Jun 2013

Renungan Bersama


Selamat Malam.....

Rasanya sudah berhari-hari tidak memblog. Tiada apa yang disibukkan.. Hanya melaksanakan kerja-kerja rumah seperti biasa.

Oleh kerana terlalu leka dengan hal duniawi, terlupa sejenak dengan pelajaran yang patut dihabiskan. Alhamdulillah, dalam masa 1 hari ini sahaja, 2 subjek telah ku bereskan, pun telah lulus dalam peperiksaan kedua-dua subjek tersebut. Kini, memasuki subjek baru di Chapter ke-3. Jangan lupa Sabtu ini ada workshop pula. Terasa bersemangat kembali atas dorongan Kak Suzana. Maafkan saya yer kak kerana saya sering terlupa. 

Berhenti rehat dari belajar seketika..... Kisah yang terjadi hari ini.....

Tengahari tadi, ku terima mesej dari encik suami akan kejadian kemalangan runtuhan bangunan di tempat kerjanya. Berderau jantung ini seketika, kerana risaukan akan suami yang bekerja di tempat yang berisiko tinggi. Kata suamiku, seorang pekerja warga Indonesia meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi cedera. Dari kisah penceritaan suamiku, ketika semua pekerja sedang berehat untuk makan tengahari, terdengar bunyi seperti guruh. Kedengaran pelik itulah yang mendorong suami dan rakan sekerja yang lain melihat apa yang sedang berlaku. Apapun, semuanya sudah tertulis, bahawa akan berlakunya kejadian yang tidak diingini tersebut. Alhamdulillah, suamiku selamat. Kerana tidak berada hampir sekitar kejadian. Tindakan suamiku menelefon polis dan bomba, membuatkan suamiku berasa agak lega kerana dapat melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya. Tabung Khairat sekilat pantas suamiku cadangkan sebagai tanda simpati kepada keluarga arwah. 

Al-Fatihah buat arwah yang baru sahaja meninggal dunia tengahari tadi akibat kemalangan runtuhan bangunan.

Sentiasalah kita mengingati mati. Kerana ia adalah pasti.

Cukupkah bekalan kita untuk di bawa ke sana? Renung-renungkanlah...... kerana mati itu telahpun ditetapkan Allah. Ajal maut adalah ketetapan Allah. 


Sesungguhnya, dari Allah kita datang, kepada Allah juga kita kembali. 

Isnin, 3 Jun 2013

2 hari punya cerita ~~

Sabtu

Jemputan 
1) Dewan Serbaguna Taman Senai Baru - konsep pelamin yang sangat cantik ~ ala-ala air tejun gitu, ada air mengalir di tabir belakang tempat duduk pengantin... kerusi pengantin berkaca... wah... best... 
2) Orchard Golf Resort - yang best ~ ada kambing kuzi... juga jeli kelapa yang ku idamkan.. dan buku kecil doa harian dari pengantin...

Badminton
Malam-malam ajak anak saudara datang bermalam di rumah - Shida, Wani, Wana, Farhana... Wawan ada datang main badminton sahaja... tapi tidur rumah Tok Mat dia.
Sudah lama meninggalkan alam badminton. Baru sahaja hendak menunjukkan skill, Haziq sudah mengejarku. 'Eh, budak ni....' Sambil mendukung Haziq, sambil itu juga aku men'smash' bola badminton... Memang hebatlah... belum pernah dibuat orang. Ternyata, aku masih berkemahiran bermain badminton. Target : kena beli raket, kuruskan badan dengan bermain badminton. Boleh ker? Memang meriahlah rumahku ketika malam tersebut. Riuh rendah dibuatnya. 

Ahad

Pagi - buat sarapan nasi goreng (nasi goreng lagi). Untuk anak-anak saudara yang bermalam di rumahku.

Siap berkemas, sidai baju, tengok 'Jalan-jalan Cari Makan'. Sakit hati tengok apa yang dimakan, tutup televisyen. Mengiurkan............... tidak sanggup ku teruskan menonton.

Tidur bersama Haziq. Sekejap sangat. 

Tengahari - Pergi berbelanja di Econsave - ingatkan ingin menggoreng ayam sahaja, beli ayam paha 2 ketul. Ramai umat manusia di Econsave. Sensory : air gas apa tah lupa brand, susu Dugro strawberry chocolate dan madu kurma, susu Anlene... Bergegas balik sebab Angah (abang kedua encik suami) menelefon suamiku.

Sampai rumah, terus masak Ayam Asam Pedas. Sayur Bunga Kobis. Ikan Masin. Tahu Goreng + Sambal Kicap. Sambal kicap disediakan sendiri oleh encik suami. Haziq ke hulu ke hilir pegang 3 batang raket kakak-kakak sepupu dia punya. Siap masak, terus makan. 

Tengok "Sembilu" macam bosan, teman encik suami tengok Youtube. Haziq asyik kacau kami berdua sahaja ~ cemburu sebenarnya sebab tiada sesiapa melayan kerenah dia ~ Bukakan cerita Shaun The Sheep dengan Oggy and the Cockroaches.

Bosan lagi - mandi bersama Haziq.

Malam - sebelum keluar rumah suaminya beriya hendak memakan burger bakar. Round Senai - tiada - Round Bandar Putra - pun tiada - Mengeteh ais dan memilo ais di Young Arif (sweet nama restoran ini). Encik suami sahaja yang makan ~ Mee Goreng Daging ~

Hajat burger bakar terkubur. Balik ke rumah melalui jalan yang lain pula - terdetik di benak fikiran........
"Apalah salahnya, kerajaan perketatkan undang-undang berkaitan perhotelan. Kata hendak mencegah kemaksiatan. Jadi, langkah pertama, sebagai negara Islam. Target : Orang Islam - sebelum check-in hotel/motel/etc, kalau datang single, make sure, dia tidak menyeludup masuk sesiapa selepas dia ke bilik. Jika datang  bercouple, soalan pertama, sijil nikah, atau kad pengesahan nikah ada ke tidak? Jika jawapannya - Tiada - Sila ke Pejabat Agama untuk ditahan atau disoal siasat - Jika - Ada - Periksa Sijil Kahwin mereka betul-betul. Lagi baik, jika ada sistem pengesahan yang canggih untuk memastikan tiada pemalsuan dibuat. Scan Barcode Sijil Nikah ke apa ke... Buat yang canggih-canggih. Mesti bolehlah............. Jadinya, hotel itu hanya dapat dihuni oleh yang berdaftar sahaja, bukan suka-suka orang yang tidak berdaftar terus meluru ke bilik. Bukannya kerajaan tidak boleh buat. Sebenarnya boleh.... cuma alasan kata ramai pelancong asing, kena bagi kelonggaran. Nampak orang Islam sahaja, siasat habis-habisan. Jangan bersubahat dengan dosa."

Ecah - adikku yang bongsu - kerapkali juga dia menceritakan hal yang membuatkan aku tidak boleh dan tidak tahan untuk mendengar. Dia bekerja sebagai receptionist di Hotel Ayer Hitam. Memang ku akui dia seorang adik perempuan yang tidak bertudung. Puas kami menasihati berkaitan menutup aurat tetapi jawapan yang sama yang ku dengar. 
"Aku tidak respect dengan orang yang bertudung."
"Kenapa ko cakap macam tu Cah?"
"Aku keje kat hotel tu macam-macam orang pompuan aku jumpa Long. Semuanya yang bertudung."
"Takkan disebabkan dieorang punya kesalahan, ko babitkan semua perempuan yang bertudung?"
"Sampai yang bertudung labuh pun ada, Long."
"Hish... jangan salah sangka, dan jangan menuduh yang bukan-bukan."
"Aku ni keje hotel aku tau la Long."
"Suami isteri je kot... kenalah bersangka baik."
"Semuanya Melayu, Islam pulak tuh!"
"Kenapa?"
"Ada yang gelojoh pun ade Long. Dalam lif, terus bercium-cium macam tak nyempat-nyempat. Lif hotel tu ade CCTV. Ada pulak tu, pompuan tudung labuh, check-in dulu, tiba-tiba ada lelaki follow dia naik bilik.. muka budak-budak sangat, takkanla dah kawen... ada pompuan tua, lelakinya muda, tiap-tiap hari pulak tu. Kebanyakannya check-in tak sampai 1 malam pun, siap projek, terus check-out."
"Jangan buruk sangka. Tak baik. Kalau betul apa yang dieorang buat, cegah dengan lisan. Jika tidak boleh, cegah dengan perbuatan (halang dengan kata 'bilik penuh'), jika tidak boleh juga, cegah dengan hati. Janganlah disebabkan perbuatan terkutuk dieorang, ko bagi alasan tak nak memakai tudung. Ko pakai tudung, cantik sangat Cah..."
"Kalau tak nak rasa bersubahat dan bersalah, cari keje lain Cah."

Apapun, dia adalah adikku. Baik buruk adik beradikku, mereka tetap darah dagingku. Sesungguhnya aku juga risau akan diri setiap adik-adikku. Kerana aku adalah yang sulong. Walaupun aku sudah berkahwin, mereka juga adalah tanggungjawabku. Keadaan semasa juga membuatkan aku risau akan generasi anak-cucu-cicitku nanti. Sentiasalah berdoa agar seluruh zuriat keturunanmu diberkati kehidupannya di dunia sehingga di akhirat kelak. 

Selamat malam dan Selamat berhari Isnin......

Allah sentiasa bersama kita walau sesaat nafas sekalipun ~ Mengadu dengan Allah lebih melegakan hati daripada mengadu dengan sesama manusia ~ Kerana janji Allah itu pasti ~ selamat bermuhasabah diri

Ahad, 2 Jun 2013

Roti Sardin

Almaklumlah.... malam tadi menanti encik suami sampai tertidur. Siap pesan dengan encik suami belikan roti sardin. Dek kerana terlalu mengantuk semasa membuka pintu untuk encik suami, entah jam berapa agaknya, aku kembali semula ke tempat beradu. 

Pagi ini, sedar-sedar jam 7 pagi. Eh, subuh aku?! Allah... lupa pulak... senggugut semalam. Aku seringkali lupa. Kelam kabut juga menyiapkan juadah pagi. Tapi, terbantut untuk membuat sarapan nasi gorengku kerana ke'banyak'an semut di atas meja makanku. Sabor aje la.......

Selesai menyapu rumah, terpandangkan Haziq mengomel-ngomel atas kepala ayah dia. Ayahnya masih berselubung lagi. Rindu sangat Haziq pada ayahnya. Ternanti-nanti dia seawal jam 7 malam tadi. Kerana terlalu mengantuk malam tadi, Haziq pun tertidur di atas bantal kesukaannya yang bergambar kucing. Hari ini Haziq bangun tidak menangis pula mencari mama, tapi bergolek atas ayahnya pula. 

Sempat pula aku membasuh motor suamiku yang bertanah merah itu. 

Selesai membasuh motor, aku mengajak Haziq mandi bersama. Selesai menyiapkan diri, kami berdua ke Restoran Aishah membeli roti sardin yang kupinginkan dari malam tadi. Untuk encik suami, nasi lemak ayam. Padahal balik ini nanti aku akan menggoreng nasi pula. 

Suamiku kulihat sudah mengadap laptop. Melihat aku membawa pulang makanan yang dibeli, terus ke dapur  langkahnya. Sementara suami dan anak makan nasi lemak yang ku beli, nasi malam tadi ku goreng. Nasi goreng ini memang kegemaran Haziq. 
"Pukul berapa awak balik malam tadi?"
"4lebih......"
"O.... patutlah.. saya tak sedar.... buka pintu je, pastu tidur balik."

Encik suami memakan roti sardinku separuh. Bakinya, aku sahaja yang makan, Haziq kurang gemar roti sardin. Dia lebih mengadap nasi goreng yang ku masak tadi. 

Sambil menyuap Haziq, kami menonton kartun "Larva". Amboi Haziq, tak berkelip mata, siap gelak-gelak. Yang si bapanya pula berkekek-kekek mengadap cerita di Youtube. Banyak sungguh anak mama makan pagi ini. Seronok melihat anak makan dengan bersungguh-sungguh, kita yang melihat pun terasa kenyang. 

Asyik di dapur mengemas sambil membasuh baju, terdengar orang memberi salam. Anak-anak saudaraku rupanya. Zaim, Farhana, Wani, Wana. Sempena cuti sekolah ini, rajin mereka datang ke rumah atuk mereka. 

Sekarang ini, encik suami dan anak bersiar-siar menaiki motor. Haziq memang macam itu. Pantang nampak motor. Mesti ikut. Pastinya mereka akan ke rumah Tok Mat mereka. Sepupu Haziq ramai di sana hari ini. 

Apalah perancangan hari ini kan? Rasanya akan ke jemputan di Golf Resort nanti..... 

Oklah... sehingga bertemu lagi di post akan datang. Selamat ber'Sabtu'.....

Sabtu, 1 Jun 2013

Teringin sangat-sangat

Malam rupanya...... post blog ini.... Pagi tadi sampai ke petang melayan cerita Youtube. Ady Valentino. Drogba & Ronnie. 7 Dulang Asam Pedas. Cinta Beruang. Johan di Pesko UTM 59. Itu sahaja. Rancangan televisyen satu pun tidak menjadi tarikan untukku melihatnya. 

59 hari menanti ~ akhirnya, "Masih belum ada rezeki." Allah pasti merencanakan sesuatu yang lebih baik untukku. Sepanjang hari menahan kesakitan yang sering dialami oleh kebiasaan wanita di luar sana. Haziq selalu sebut "Dik, dik." sambil mengusap-ngusap perutku. Terharu sebenarnya tapi masih belum diizinkan Allah untuk zuriat kedua.

Sementara menunggu encik suami balik, jam 10.13 malam belum balik lagi. 
"Lambat balik. Stanby konkrit. Tutup pagar luar tau." 
Mesej dari encik suami jam 08:05:30 pm. Memang kebiasaan jam 7 petang, pagar akan dibuka untuk suami. Sambil menutup pagar luar tadi, terpandang pula jiran kami yang baru balik dari berbulan madu, Doktor Fadzlin. Teringat pula zaman berbulan madu dahulu ~ Round 1 Malaysia ~

Berbalik kepada topik, Teringin sangat-sangat menikmati burger bakar Abang Burn.. Dalam masa yang sama, teringin sangat untuk menemui Kak Olie (Norliana Md Yatim). Teringinku ini mengalahkan orang yang mengidam pula. Melampau... 

Waktu begini, sunyi sepi melanda. Haziq sudah lama lena. Mama Haziq pula ternanti-nanti sang suami pulang dari kerja. 

Tiba-tiba teringin pula roti sardin. Sudah........... macam-macam tekak ni kalau dilayan. 

Semalam mamaku telefon. 
"1 haribulan mama cuti."
"Eh? Kenapa cakap ngan Along?"
"Saje je...."
"Eh mama ni, mesti ade pape..."
"Takdelah, memang saje je tepon.."
"Oooooo.... kalau ade pape tepon la..."
"Ok lah long, Ecah na cakap pulak."
"Hah, ape?"
"Ko dapat mesej aku tak long?"
"Dah baca dah... tadi aku mesej pakai nombor broadband tau.."
"Aku dah gi kedai kawan ko tu, takde kek pun. Aku ingat na cari crepe durian tuk mama... kata kedai kek, takde kek pun. Ni lah orang melayu kalau berniaga. Indah kabar dari rupa.."
"Dah tu kedai die ade jual ape je?"
"Frozen food je long, karipap yang tinggal goreng aje.... tapi kek memang takde langsung."
"Ko salah kedai tak, Cah"
"Tak ah... memang betullah."
"Agaknya dia belum rasmi lagi tak?"
"Entah la... aku malas lah nak gi kedai kawan ko tu.... baik aku gi Carrefour Batu Pahat.. hai.... dahlah susah nak cari kedai kek usahawan Melayu."
"Susah-susah, kite bukak kedai kek nak?"
"Nanti balik boleh bincang isu ni..."
"Ok... dahlah long... Assalamualaikum..."
"Wa'alaikumussalam...."

Tiba-tiba teringin kembali menikmati crepe durian yang dibeli Didie minggu lepas. Sedap sangat. Bagi penggemar durian sepertiku ini, apa sahaja berkaitan durian pasti akan ku telan. Teringat pula, masa mengandungkan Haziq dahulu. Hampir setiap hari selepas kandungan berusia 5 bulan ke atas, aku menghantui memakan durian. Dan yang paling pelik, tempoyak paling ku benci suatu ketika dahulu, sehinggalah ketika aku mengandung, sampai ke Pahang mencari ikan patin masak tempoyak. Sampai licin aku kerjakan. Suami pula yang menganga. Dan paling ajaibnya kuasa Allah, selepas mengandung juga, aku mula menikmati ikan pari yang selama ini aku tidak mampu untuk menjamahnya.

Apa lagi ye yang aku teringin ketika ini..... ooo..... masih tiada.....

Sebentar tadi, aku ada membelek diari 2002. Nampak gayanya, blog akan datang pasti ada kaitan dengannya. 

Jam sudah menunjukkan jam 10.55 malam. Kita berhenti di sini malam ini. Sehingga bertemu di masa akan datang.

Selamat Malam...........