Selasa, 25 Mac 2014

Misteri Hilang MH370

Menyepimu Hilang
Menghilangmu Hairan
Manakah Hilangmu
Menyasar Haluan
Memutus Hubungan

Menyerlah Hiba
Menangisi Hilangmu
Mendoai HijabNya
Menagih Huraian
Menggamit Hiba
Menangis Hati
Menyentap Hela

Menghitung Hari
Menitip Harapan
Menangkis Hujah
Menagih Harapan

Menyusuri Hindi
Mengombak Hebat
Menoktah Hujung

Mohon Hilang Hiba
Memetrai Hikmah
Meredhai Hukum
Al-Malik (Yang Maha Agung)
Al-Kholiq (Yang Maha Pencipta)
Al-Muhaimin (Yang Maha Pengawal dan Pengawas)
Al-Hakam (Yang Maha Mengadili)
Al-Mutakabbir (Yang Memiliki Kebesaran)
Al-Hafiz (Yang Maha Memelihara)
Al-Muqit (Yang Maha Menjaga)
Al-Hasib (Yang Maha Menghitung)
Al-Mujib (Yang Maha Mengabulkan)
Al-Hakim (Yang Maha Bijaksana)
Al-Majid (Yang Maha Mulia)
Al-Haq (Yang Maha Benar)
Al-Matin (Yang Maha Teguh)
Al-Hamid (Yang Maha Terpuji)
Al-Muhyi (Yang Maha Menghidupkan)
Al-Hayy (Yang Maha Hidup)
Al-Mumit (Yang Maha Mematikan)
Al-Muakhir (Yang Maha Mengakhirkan)

Isnin, 17 Mac 2014

Bila Kita Suka Makan Sesuatu.............

Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh...

Terasa sangat minggu ini minggu suka memasak. Ada sahaja menu yang berlegar-legar dalam fikiran ini untuk santapan suami dan anak.

Menu utama untuk suami hanyalah Asam Pedas Daging. Menu untuk diri sendiri pulak Roti Jala bersama Kari Daging.

Amboi........................ Belum tunjuk gambar lagi ni....

Suami pernah pesan, "Kalau suka makan sesuatu tu, belajar buat sendiri." Sedia maklum, aku sangat menggemari roti jala. Walaupun aku tidak mepunyai kuali non-stick, aku tetap akan membuatnya.

Oleh kerana keprihatinan suami melihat kesungguhanku membuat roti jala, selepas solat Maghrib tadi, dia mengajakku ke Cowboy Kulai untuk membeli non-stick plate. 

Teruja yang amat sangat sehinggakan tidak menyedari aku makan roti jala jam 9.45 malam.

Jom belajar bagaimana menyediakan menu hari ini.

Asam Pedas Daging 

(Adaptasi Buku Resepi 1 Hari 1 Resepi Chef Hanieliza - 365 Resepi - muka surat 69)

0.5 kg daging rebus
1 biji tomato (dibelah 4)
5 helai daun limau purut
Garam
Air asam jawa + air bilasan air asam jawa
Daun ketumbar (saya ketiadaan bahan ini)

Bahan kisar :

0.5 cawan lada kering
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
2 batang serai
0.5 inci lengkuas
Sedikit belacan
2 biji buah keras
  1. Bahan kisar ditumis sedikit garing.
  2. Daging bersama air rebusan dan air asam jawa dimasukkan.
  3. Baki asam jawa tadi ditambah air sekali lagi dan dimasukkan ke dalam kuali.
  4. Tomato pula dimasukkan bersama garam untuk diperasakan.
  5. Apabila tomato sudah masak sepenuhnya, daun limau purut pula dimasukkan.
  6. Hidangan ini sesuai dimakan bersama nasi putih.

Kari Daging

0.5 kg daging rebus (digaul dan diperap bersama garam dan serbuk kari daging)
2 keping asam gelugor
1 batang lobak (dipotong mengikut citarasa)
4 biji kentang (saya ketiadaan bahan ini)
0.5 paket kecil serbuk kari daging dan ayam (Adabi)
1 senduk santan pekat (Kara)(Elemen terakhir)
2 - 3 cawan air
2 sudu kecil garam
2 sudu makan gula

Bahan hiris :

1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia

2 - 3 batang daun kari (saya ketiadaan daun kari ketika ini)(ditumis bersama bahan hiris)
  1. Bahan hiris ditumis bersama sehingga naik wangi.
  2. Daging yang diperap tadi pula dimasukkan dan ditambahkan serbuk kari serta dibiarkan sehingga pecah minyak.
  3. Air dimasukkan bersama lobak, asam keping, garam dan gula.
  4. Setelah lobak masak sepenuhnya, santan pula dimasukkan.
  5. Sangat sesuai dihidangkan dengan nasi putih ataupun roti.


Roti Jala Berwarna

Bahan kisar bancuhan tepung :

3 cawan tepung gandum
1 sudu kecil garam
1 biji telur
0.5 cawan santan pekat kotak (Kara) dibancuh sehingga menjadi 1 cawan penuh
2 cawan air

Pewarna Hijau
Pewarna Merah
(andai ingin menggunakan 1 warna sahaja, kebiasaanya kuning, pewarna kuning atau serbuk kunyit boleh dikisar bersama dengan bahan bancuhan tepung)
  1. Bahan bancuhan tepung dikisar sebati.
  2. Dua bahagian diasingkan mengikut warna, hijau dan merah.
  3. Dijala berselang seli.
  4. Sesuai dimakan bersama kari daging yang pekat.
 Inilah hasil roti jala saya


Sumber inspirasi Mama.... Muhammad Haziq Fitri

Jumaat, 14 Mac 2014

Mee Rebus Pertamaku

Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh...

Alhamdulillah.... diizinkan Allah sekali lagi untuk saya menyediakan hidangan terbaik untuk suami dan anak. Saya akui saya banyak melakukan 'research' sebelum memasak hidangan yang tidak pernah saya masak selama ini. Apapun, untuk menjadi 'chef' terhebat keluarga, saya perlu banyak membuat kajian dan percubaan.

Selama ini saya hanya menjamu mee rebus di kedai-kedai biasa sahaja. Apalah salahnya kali ini saya mencuba sendiri bagaimana menyediakannya.

Hidangan ini adalah gabungan Mee Rebus Hj Wahid dan Mee Rebus 5 Rencah 5 Rasa.

Bahan-bahan :

1 paket mee kuning (500g) (dicelur) 
3 senduk kacang tanah kisar (lebihan kacang ketika menyediakan kuah kacang)
2 - 3 sudu besar rempah kari daging (Adabi)
Garam
Gula (pasir+merah+melaka)

Bahan kisar tumis :

1 ulas bawang besar
2 ulas bawang putih
0.5 inci kunyit hidup
0.5 inci halia
0.5 cawan udang kering

Bahan rebus kisar :

300 g daging + air rebusan daging
2 biji keledek (putih + merah)
0.5 cawan tauchu (dibasuh)

Bahan titik :

0.5 inci lengkuas
2 - 3 batang serai

Tepung Udang Kering :

0.5 cawan udang kering tumbuk + 0.5 cawan tepung gandum + sedikit serbuk kunyit + garam + air
(gaul rata dan dipercikkan pada minyak panas)

Hiasan :

Tauhu (digoreng dan dihiris nipis)
Taugeh (dicelur)
Telur rebus (dibelah dua)
Cili hijau (dihiris nipis)
Daun sup (dimayang)
Bawang goreng
Limau kasturi
Sedikit cuka 
Sedikit kicap


  1. Bahan kisar tumis dan bahan titik ditumis bersama.
  2. Rempah kari dimasukkan.
  3. Bahan rebus kisar pula dimasukkan.
  4. Sendukkan kacang tanah dan dibiarkan mendidih.
  5. Garam dan gula diperasakan.
  6. Siap dihidang.






Selamat Menjamu Selera........

Khamis, 13 Mac 2014

Pertama Kali Mencuba Memasak Masakan Ini

Assalamualaikum Waromatullahi Wabarokatuh...

Minggu yang penuh dengan hidangan dan masakan istimewa. Alhamdulillah, atas izin Allah jua aku mampu memasaknya.

Menu petang ini,

Sup Tulang Merah

(Adaptasi dari Resepi Baba's Cubit ~ menggunakan Pressure Cooker)

~ oleh kerana saya tidak memiliki periuk tekanan, saya olahnya mengikut kesesuaian peralatan memasak saya di dapur ~


Bahan-bahan :

1 kg tulang lembu + sedikit daging lembu (dibasuh dengan tepung gandum/garam/limau nipis - direbus bersama garam + halia + serai)
1 inci halia (dihiris)
3 sudu makan tomato puree (Kimball)
3 sudu makan sos tomato (Kimball)
1 - 2 lobak (dibelah mengikut citarasa)
3 - 4 biji kentang (dibelah 2/4 mengikut citarasa)
2 - 3 sudu makan rempah sup (Adabi)
sedikit garam (Faiza)
sedikit gula
sedikit air
tepung gandum (Bunga Kenanga) (atau tepung jagung + air) (kerana saya kehabisan tepung jagung ketika ini)
2 biji telur (dipukulrata)(Elemen paling akhir)


Bahan kisar :

1 cawan lada kering (direbus dahulu - dibuang seberapa banyak biji) (boleh diganti dengan 2 sudu besar cili boh)
2 labu bawang besar
4 ulas bawang putih


  1. Bahan kisar ditumis sehingga sedikit garing.
  2. Halia dimasukkan.
  3. Rempah sup ditambah.
  4. Air bilasan bahan kisar dimasukkan bersama kentang dan lobak.
  5. Apabila kentang dan lobak sudah lembut sepenuhnya, sos tomato dan tomato puree ditambahkan.
  6. Perasakan garam dan gula.
  7. Tulang dan air rebusan dimasukkan bersama setelah kuah menjadi sedikit pekat.
  8. Tepung gandum dimasukkan sekiranya kuah kelihatan agak cair.
  9. Telur dituang sekeliling kuah dan dibiarkan seketika sebelum digaulkan bersama.
  10. Hidangan ini sesuai dimakan bersama nasi putih atau roti.

Selamat Mencuba!!!!

Rabu, 12 Mac 2014

Menunaikan Hasrat Suami

Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh....

Alkisah...... Sejak kami mendiami rumah ini, pemilik asalnya memang menjadikan laman tepi dan belakang rumah sebagai tempat menanam pisang. Alhamdulillah.... rezeki kami anak-beranak menikmatinya pula. 

Ada 5 batang pokok pisang yang sedang menjadi-jadi hasilnya. Salah satunya telah pun ku hadiahkan seawalnya kepada jiran kami Kak Nahi. Salah satunya pula membiak di luar pagar kediaman belakang sehingga memasuki kawasan kejiranan warganegara Nepal/Bangladesh yang menyewa di situ. Jantung pisang pertama telah ku berikan kepada kakak birasku, Kak Rini. 

Suatu hari, encik suami membuat permintaan..... Untuk merasai jantung pisang tersebut bersama kuah kacang. Dengan izin Allah, tertunailah hasrat suami untuk menikmati juadah tersebut setelah berhasilnya jantung pisang pokok kedua.

Menjadi kebiasaanku bermula seawal 4 petang, masakan perlu disediakan memandangkan suami akan pulang dan sampai di rumah seawal 5.45 petang. 

Menu paling mudah petang ini......

Nasi Impit

2 cawan beras
5 - 6 cawan air
3 - 5 helai daun pandan
sedikit garam
  • Beras dicuci bersih dan ditanak seperti memasak nasi biasa. 
  • Nasi dikerapkacaukan.
  • Apabila sudah masak, loyang beralas daun pisang digunakan untuk meng'impit' nasi tersebut.
  • Apabila nasi sudah dipadatkan, biarkan ia sejuk secara suhu dapur sebelum dipotong dan dihidang.

Resepi Kuah Kacang

2 - 3 cawan kacang tanah (disangai - dikupas kulit - dikisar kasar) (boleh juga digoreng/direbus - tidak dikupas kulit - ditumbuk)
1 - 2 sudu makan gula pasir
1 sudu makan gula merah *
1 sudu makan gula melaka *
2 -3 cawan air (atau ditambah sedikit air asam jawa *)

Bahan titik

1 inci lengkuas
2 - 3 batang serai

Bahan kisar

1 cawan lada kering (direbus) (boleh juga digoreng)
2 ulas bawang besar
4-6 ulas bawang putih
0.5 - 1 inci kunyit hidup (boleh diganti dengan serbuk kunyit)
sedikit belacan bakar
buah keras *

* Bahan ini hanya tambahan sahaja bergantung kepada keberadaan dan keperluan bahan tersebut.

  1. Minyak dipanaskan dan bahan kisar tadi ditumis bersama bahan titik.
  2. Apabila bahan tumis sedikit garing, kacang tanah dimasukkan bersama air. (Penggunaan air bergantung kepada kepekatan kuah)
  3. Apabila mendidih, perasakan dengan menambah garam dan gula.
  4. Hidangan kuah kacang ini boleh dimakan bersama nasi putih, nasi impit dan ulam-ulaman.
ATAU 

Menurut petua mama saya,

  1. Semua bahan kisar dan kacang tanah digoreng terlebih dahulu.
  2. Kemudian, ditumbuk kesemuanya.
  3. Gula dan garam ditumbuk bersama.
  4. Air masak ditambahkan dan disesuaikan berdasarkan kepekatan kuah yang dikehendaki. 
  5. Siap dihidang.

Ulam-ulaman 

(Apa sahaja jenis ulam-ulaman boleh dimakan bersama kuah kacang)

Ulaman yang ada di dapurku ketika ini :

  • Jantung pisang (dibelah dua dan dibelah tengah separuh setiap belahan) (rebusan air + garam + gula + minyak) (untuk mengelakkan hitam pada jantung pisang, 1- merebus bersama pucuk ubi, atau 2 - direbus kaedah "deep boiling"/jangan biar ia terapung - rendamrebus sepenuhnya)
  • Kacang panjang (dipatahkan mengikut citarasa - dicelur)
  • Timun (kulit dibuang secara berselang-seli - dibelah tengah secara memanjang - dihiris sederhana nipis/tebal)

Tambahan :

Tauhu (dibelah dua menjadi segitiga - digoreng menggunakan minyak yang betul-betul panas)
Telur rebus (direbus air + garam - setelah diyakini masak sepenuhnya, api ditutup dan telur tersebut direndam menggunakan air sejuk - biarkan selama mungkin - kulit dikupas - dibelah dua)

Alhamdulillah.... Selamat Menjamu Petang

Selasa, 11 Mac 2014

Luahan Hati Kami untukmu MH370

Ya Allah..............
Ampunilah segala dosa-dosa kami
Ampunilah segala kelalaian kami
Ampunilah segala keangkuhan kami
Ampunilah segala kealpaan kami

Kau lihatlah ketaatan kami
Kau lihatlah kesungguhan kami
Kau lihatlah keinsafan kami
Kau lihatlah kesedaran kami

Kau runtunkan hati kami sebagai tanda kasihMu
Tatkala kami leka mengejar dunia
Kau redupkan hati kami sebagai tanda sayangMu
tatkala kami alpa akan perintahMu

UjianMu ini sebagai tanda kasih sayangMu
Agar kami kembali ke jalanMu
Agar kami tekun mentaatiMu
Agar kami istiqomah menjalankan perintahMu
Agar kami ikhlas beramal semata-mata keranaMu
Ikhlas dalam berusaha mendekatiMu
Ikhlas dalam berdoa kehadratMu
Ikhlas dalam bertawakal atas segala ketentuanMu

Andai usaha kami ini tidak mencukupi
Andai usaha kami ini tidak memadai
Kau tunjukkanlah kepada kami
Agar kami berjaya mengharungi
Segala ujianMu ini

Ya Allah.........

Usaha kami mencabar tatkala di lautan
Usaha kami terhad tatkala di awanan
Usaha kami terbatas tatkala di daratan

Pencarian kami....
di segenap arah sana dan sini
di segenap pelusuk negara dan negeri
di segenap sudut kaki persegi
di segenap waktu malam sejak dinihari
Tanpa putus asa sehingga ke saat ini
Tiada tanda, Tiada petunjuk, Tiada bukti
Kami teruskan mencari
Kami teruskan menjejaki

Ya Allah...................
Bantulah kami
meleraikan tanda tanya ini
meleraikan kebuntuan kami
Kami berpegang pada keimanan kami terhadapMu, Ya Allah.....
Kami redha di atas ketentuanMu ini
Kami yakin akan kebesaranMu
KehebatanMu
KekuasaanMu
KeagunganMu
KekayaanMu

Amal ibadah kami yang tidak sempurna ini
Memohon ampun dariMu, Ya Allah....
Berikanlah jawapan kepada kekusutan kami ini
Kami pasti
Kami sedia menanti
Menanti akan keajaibanMu yang pasti
Menanti akan hikmah teragungMu yang pasti
Keajaiban yang bakal menjadi saksi
Hidayah yang pasti diperolehi
Oleh ramai insan di dunia ini
Yang menjadikan fenomena ini
Tumpuan dunia masa ini
Pada kami di bumiMu ini
di Malaysia ini
Sebagai sebuah negara Islam atas keizinanMu ini
Teguhkanlah kami
Satukanlah kami
Walau pelbagai negara menanti
Menanti jawapan kepada misteri ini

Jadikanlah hari ini sebagai hari terakhir pencarian kami
Kami sedia menanti
Jawapan kepada teka teki ini
Samada teka teka ini
Pengakhiran yang baik dikecapi
atau keinsafan yang diperolehi

Amin... Amin... Amin... Ya Robbal 'alamin.....

Dariku,
Seorang insan bergelar anak,
Seorang insan bergelar kakak,
Seorang insan bergelar adik,
Seorang insan bergelar ibu,
Seorang insan bergelar jiran,
Seorang insan bergelar sahabat,
Seorang insan bergelar saudara,
Yang hanya mampu meluahkan kesedihan melalui bait-bait kata dan puisi,
Yang tatkala ini tidak dapat melelapkan mata sehingga jam 5 pagi ini,
Kerana aku tiada kuasa birokrasi seperti menteri,
Kerana aku tiada usaha di lautan seperti armada kelasi,
Kerana aku tiada usaha di awanan seperti pengemudi,
Usahaku hanya mendoakan mereka bersama linangan air mata di daratan ini
Daratan yang sepenuhnya milik Yang Hakiki
Yang Maha Mengampuni
Maha Memberi
Maha Mengasihani..........

Khamis, 6 Mac 2014

Keharuman Tanpa Kehadiran Bunga

Entah bila......
Aku cuma ingat minggu lepas...
Mungkin Ahad...
Tatkala selepas solat Asar...
Tatkala sedang berwirid selepas solat...
Kipas duduk yang menghala ke arahku....
Memberikan keharuman entah dari mana datangnya...
Keharuman tanpa bunga...
Ada yang akan merasakan ia pelik...
Tetapi tidak bagiku.....
Sedu sedanku ketika berwirid....
Ingatanku terhadap penghujung hayatku....
Yang entah bagaimana.....
Hanya mampu mengingati akan kematian...
Tatkala itu ingatanku menerpa ke ingatan 4 tahun lepas 6 Mac 2010...

Aku bekerja pada shift malam....
Bersama rakan yang paling diingati, Raja Nor Masilah sebagai 'assisstant lab'
Di keheningan pagi selepas jam 2 pagi
Ketika sedang menyusun bikar dan kelalang kon ke dalam oven baru
Kelalang kon yang telah ku letak jauh ke belakang jatuh dalam keadaan yang sangat pelik
"Ko ngantuk ke zura?"
"Taklah...."
"Ko tidurlah sekejap....."
Lelapku tidak selena seperti orang lain yang tidak bekerja pada waktu malam seperti kami
Ku paksa diri untuk lelapkan mata berkeadaan duduk dan kepalaku ku letakkan di atas meja
Ada sahaja yang tidak kena

Akhirnya......
Pesanan ringkas dari adik bongsuku Ecah, Noraishah Suhaimi mengejutkan aku
"Abah sakit.... dia pengsan..."
Aku tidak mengendahkan mesej itu kerana aku fikir sakit biasa itu seperti demam biasa sahaja
Ternyata aku silap

Panggilan pertama aku terima
Dari seorang jiran, Mak Ros
"Along, balik sekarang long.... abah pengsan...."
Benakku, kenapa aku mesti balik....
Fikiran aku kosong sama sekali
Aku menurut sahaja
Aku memohon pulang awal seawal jam 4/5 pagi ketika itu dari rakan sekerja yang lain
Mereka seolah-olah memahami apa yang bakal aku hadapi

Walaupun aku tidak memikirkan apa-apa, tetapi kerisauan pelik berlaku
Tidak semena-mena air mata mengalir tanpa difikirkan
Entah apa yang akan ku hadapi nanti
Seperti banyak perkara pelik yang tidak mampu difikirkan akalku ketika itu
Kosong sama sekali

Perjalanan pulangku ketika itu diuji Allah
Tayar keretaku pancit
Dan aku meberhentikan kenderaan di bawah jambatan 6 tahun
Tayar kiri belakang
Apa pula kali ini
Aku terkial-kial juga tetapi digagahi dengan satu semangat yang entah mana datangnya
Agar aku cepat bergerak pulang ke Ayer Hitam
Tunanganku ku hubungi
Kini bergelar suami
Alhamdulillah..... mujur diberi pertolongan
Oleh seorang pakcik yang katanya bergegas kerja sebagai pemandu bas awam
Aku memohon maaf kerana melambatkannya ke tempat kerja
Pakcik itu hanya berkata "Tak apa..... "
Betapa telitinya perancangan Allah ketika itu

Tatkala siap tayarku ditukar ke tayar simpanan
Kelihatan kelibat tunangku ketika itu
Gembira tetapi air mataku semakin deras tanpa ku duga
Aku mengekori tunangku sehingga ke rumah ibunya di Senai

"Biar saya yang bawa kereta..."
"Tadi.... Mak Ros telefon.... suruh saya balik...."
"Saya tau........."
"Kenapa tiba-tiba abah pengsan.....?"
"Awak jangan nangis yer.... kena sabar.... dengar apa saya nak kata..."
"Kenapa ni wak....?" Berjurai-jurai air mata ini menanti jawapan
Hati dan akalku kosong tanpa apa-apa jawapan
"Abah awak dah takde....."
Satu jawapan yang aku tak sanggup dengar sepanjang hayatku
Jawapan yang padaku tidak mungkin terjadi
Aku hilang arahku
Hilang akalku
Hilang pedoman
Kerana tidak dapat menerima hakikat itu

Setiba di rumah kediaman ibu bapaku
Sebuah kereta jenzah berada di hadapan rumahku
Perlukah aku percaya?
Kakiku lemah 
Tidak mampu berdiri
Tidak mampu menerima hakikat ini
Tanpa sebarang petunjuk
Aku sangat sukar menerimanya
Hati ini meraung sekuat-kuatnya
Air mata sahaja yang mengalir sederas-derasnya
Hati ini seperti dihiris-hiris menahan kesakitan ini

Terlihat sebujur kaku
Jenazah abahku
Kakinya di hala kan ke kiblat
Aku terus sahaja menukar pakaian kerjaku kepada pakaian kurung
Duduk di kaki abah
Mengusap-ngusap kaki abah
Pelbagai kata-kata hati untuk abah

Allah permudahkanku redha
Redha dengan apa yang sudah berlaku di depan mata
Alhamdulillah... aku semakin tenang

Tenang menerima hakikat
Aku akan menyusul
Aku juga bakal bergelar jenazah
Aku juga akan merasai perpisahan alam
Alam fana ke alam barzakh
Bukan aku sahaja
Semua makhluk ciptaan Allah akan melewati waktu itu

Allahummahtimlana bi husnil hotimah
Wala tahtim 'alaina bi su'il hotimah

Wassalam.......








Mekarnya bunga di halam rumahku seperti menyambut kedatangan dengan keizinanNya

Ahad, 2 Mac 2014

Search Nama Sendiri di GOOGLE

Selamat pagi...

Assalamualaikum...

Suka-suka sahaja.. Membazirkan masa dengan melakukan kerja-kerja tidak berfaedah pula pagi ini.

Akibat kekenyangan melampau, susah pula untuk melelapkan mata.

Hari yang agak memenatkan tetapi Alhamdulillah diberi kelapangan oleh Allah. 

Pagi semalam, Haziq agak kelewatan untuk bangun dari tidur... Sehinggalah apabila panggilan dari Kak Rini jam 9 pagi agar aku membantunya menyediakan juadah kepada tetamu istimewa tengahari itu. 

Alhamdulillah... walaupun agak kekelamkabutan, majlis merisik berjalan dengan lancar. Aku melupakan hasrat untuk menemankan ibu mertuaku kerana membantu kakak birasku lebih penting pada ketika itu.

Setelah Haziq ku kejutkan, bermulalah ragam si kecil ini dengan 'rajukan' kerana tidak bangkit ketika ayahnya hendak keluar bekerja. Ku pujuk anak itu supaya mandi bersama dan bersiap ke rumah paklong dan maklongnya.... akhirnya dengan lembut hati, dia merelakan dirinya didukung untuk dimandikan. 

Mujur selepas kami bersiap, Acik pula datang memohon penjelasan berkaitan e-mail claim Along dariku. Akhirnya, Acik memutuskan untuk ke felda bertemu Along. 

Rasanya aku bergerak lewat ketika itu kerana bersarapan terlebih dahulu selewat jam 9.30 pagi. Haziq mula merajuk lagi dan kali ini berdiri di pintu sahaja. Kami bergegas ke tempat Along. Dengan membawa mesin rumput yang diminta ketika menelefon pagi itu. 

Peliknya... tadi Acik jalan dulu... kenapa tak sampai2... Biarkanlah dia...

Setibanya di rumah Kak Rini, aku menolong apa sahaja kerja asalkan dapat meringankan tugasannya. Menu hari itu adalah nasi ayam. 

Acik yang ketika itu menantikan Along untuk membincangkan hal yang memeningkan, tiba-tiba dia bersuara bahawa mak dan dia akan ke majlis kahwin di taman berdekatan. Detik hatiku, ibu mertuaku ini suka sekali berjanji dengan ramai orang setiap kali ingin ke mana-mana. Hal inilah yang sering menimbulkan perbalahan yang tidak sepatutnya berlaku. Padahal malam semalam, dia beriya benar mengajak aku pergi bersama-sama ke majlis kahwin tersebut. Sudahnya, rupanya berjanji dengan orang lain juga. Hal ini selalu terjadi. Terus terang aku katakan, aku akan sedaya upaya mengelakkan diri agar kemana-mana tanpa bersama orang tua itu. Pastinya akan menimbulkan pelbagai masalah yang memungkinkan kami suami isteri bertelingkah. Alhamdulillah, aku ditakdirkan membantu Kak Rini. 

Aku lega, kerana perbincangan merisik anak saudaraku Zulaikha akhirnya berjalan dengan lancar. Teringat pula aku pada arwah ayahandaku yang sangat mengelakkan diri ketika aku dirisik dahulu. Aku tahu, bahawa arwah ayahandaku benar-benar tidak menyukai bakal IBU mertuaku ketika itu. Setiap perkara yang berlaku, pasti ada hikmah, sebab dan musababnya. Itu semua rahsia Allah.

Itu cerita semalam.....

Ini cerita tadi...... aku tiba-tiba terfikir untuk mencari nama sendiri di Google.

Inilah hasilnya.....

1) Facebook : https://www.facebook.com/norazurah.suhaimi
2) Meet Me : http://www.meetme.com/member/8921526
3) Twitter : https://twitter.com/zr_4u2b
4) Newsle : http://newsle.com/person/norazurahsuhaimi/92219629
5) Pipl : https://pipl.com/directory/name/Suhaimi/Norazurah/
6) http://eprints.utm.my/3038/1/KUSTEM_seminar_Adibah.pdf
7) Blogger : http://mamahaziqayangarin.blogspot.com/
8) http://www.gplusdata.com/search/gender-Female/country-Malaysia/city-Taman%20Senai/employer-Mt%20Azrin%20and%20Haziq%20s%20House/
9) Cats Protection : http://profileengine.com/groups/profile/448661313/cats-protection
10) Blogger : http://ayanghidayah.blogspot.com/2013/05/hadiah-lg.html
11) Blogger : http://nazurazman.blogspot.com/2005_07_01_archive.html
12) http://fposts.com/fbpost/124969257585555_504771269605350
13) http://www.vebidoo.com/daud+madihah
14) Blogger : http://edyfinites.wordpress.com/page/3/
15) Idolbin : http://www.idolbin.com/shares?q=malam+..&page=2&token=0&until=1389886023
16) Bonuslink : http://www.bonuslink2u.com.my/2011/bonuscity/winners.asp?w=4
17) Peeepl : http://peeepl.co/people/norazurah-suhaimi/
18) http://printfu.org/kustem
19) http://printfu.org/facultatively+anaerobic+bacteria
20) http://www.sputtr.com/facultatively
21) http://www.sputtr.com/kustem
22) http://www.journalogy.org/Detail?entitytype=1&searchtype=5&id=10328972&start=381&end=390

Banyaknya nama saya di Google. 

Namun, nama saya tetap satu apabila dipanggil Allah nanti...

Selamat Tidur....

Wassalam.