Khamis, 27 Februari 2014

Didikan Menabung Seawal 2 Tahun

Assalamualaikum..... Alhamdulillah... Syukur ke hadrat Illahi atas pemberian nikmat kehidupan pada hari ini...

Senangnya pagi ini, hanya masakkan suami nasi goreng sahaja. Selalunya saya akan bangun seawal jam 5.30 hingga 6 pagi untuk menyediakan juadah makanan tengahari untuk suami membawa bekal dan untuk juadah kami dua beranak yang ada di rumah.

Seperti biasa, tugasku setiap pagi meyediakan bekalan untuk suami dan menguruskan kewangan dalam dompetnya. Sejak pertama kali suami menceburkan diri dalam dunia perniagaan keluarga seawal tahun 2013, aku sudah menetapkan dalam "mindset" setiap RM1, 50sen dan juga 20sen, aku pasti akan simpan ke dalam tabung yang berlainan. Pagi ini, terdapat 3 keping RM1 dalam dompet suami. Aku ambil, dan aku terus kejutkan Haziq dari tidur. 

"Haziq, bangun..... ni hah... duit tuk masuk tabung..."

Dalam kelat-kelat mata, Haziq bangun dengan sengihan. Seronok betul dia sejak seminggu ini apabila dibekalkan sebuah tabung khas untuk dia. Tabung ini sebenarnya tabung yang pernah aku gunakan sejak aku bersekolah dahulu. Sejak berkahwin, tabung ini hanya berada di Ayer Hitam tanpa dimanfaatkan. Bulan lepas, terdetik hati untuk bawa tabung lamaku bersama ke Senai. Allah izinkan.... Alhamdulillah.... 

Setibanya di teratak kami, aku terfikir untuk menyimpan kepingan syiling 10sen. Agak lama juga aku gunakan sehinggalah minggu lepas, apabila terfikir untuk diberikan kepada bujangku. 

Reaksi pertama Haziq, sangat teruja. Padanya ia seperti sebuah mainan baru yang sangat berharga. 

Oleh kerana, seawal 1 tahun Haziq diajar oleh mertuaku berkenaan duit, Haziq tidak mempunyai masalah mengenal duit. Walaupun tidak terperinci, tetapi dia akan tahu, itu adalah "duit". 

Pelajaran pertama untuk Haziq, "duit" dan pelajaran kedua adalah "tabung". Pengenalan ini untuk memberi gambaran kepada Haziq akan kaitan duit dengan tabung. 

Alhamdulillah, berkaitan dengan duit, dia hanya menerima apa sahaja pemberian orang. Mengambil itu sangat dilarang sama sekali dalam pendidikan pertamanya itu. Dari itu, setiap pemberian wang dari orang, dia akan terus memberikannya kepada mamanya. Dan jika ternampak duit jatuh, dia hanya akan ambil setelah memberitahu ada duit yang dia nampak sebagai tanda meminta izin dariku apa tindakan yang sepatutnya dia ambil. "Ambil dan bagi pada mama" (jika terdapat dalam kawasan rumah). Andai aku kata, "No!" (di kawasan awam), Haziq akan faham bahawa itu bukan hak dia sebab kita tidak tahu itu hak siapa. 

Seawal jam 7 pagi semasa membantu suami mengisikan minyak petrol ke motornya hasil belian minyak dalam tong setiap minggu sebanyak RM20, seperti biasa, bapa mertuaku datang dengan hanya membunyikan hon motor dan memberikan surat juga 5 keping wang RM1 kepada Haziq.

"Mama....wit(duit)..." ujar Haziq.

"Gi masuk tabung...."

Haziq berlalu masuk ke dalam rumah... kemudian keluar semula.

"Haziq da masuk tabung lum?" Haziq tidak merespon.

"Bye bye ayah....." senyum-senyum Haziq sambil merelakan ayahnya keluar bekerja.
Haziq berkeadaan baik hari ini. Tidak menangis. Tidak pula meminta ayahnya untuk bawanya menunggang motor. Alhamdulillah.... ragamnya baik hari ini. 

Setelah menutup pagar utama dan menyusun kasut dan selipar, kami berdua terus masuk ke dalam rumah. Haziq berlari masuk bilik utama dan mengambil tabung. Teruja semacam lagi dia. Mula-mula tadi selepas dia bangun tidur, 3 keping dia masukkan. Ini pula 5 keping yang akan dimasukkan. Terkial-kial juga Haziq untuk melipat duit dan masuk ke dalam lubang tabung tersebut. Aku hanya membantu sedikit sahaja bagi memudahkan Haziq melipat duit. Kepingan terakhir pula aku terfikir untuk mengajar Haziq menggulung dan melipat. Lega rasanya dapat memberikan pendidikan baru kepada Haziq. 

Tabung turunan aku kepada anakku buat masa ini 
(Aku sangat suka pada "Pooh" dan warna "Pink" suatu masa dahulu)

InsyaAllah... andai diizinkan Allah dengan rezeki yang lebih, akan ku beli tabung bersesuaian dengan Haziq. Amin.... Amin... Amin Ya Rabbal'alamin...

Sabtu, 15 Februari 2014

Memaafkan Tetapi Tidak Melupakan

Assalamualaikum... 

Dah lama rasanya tak ber'diari' di sini...

Kesibukan menjadi 'setiausaha' merangkap 'kerani' kepada suami membuatkan saya terpaksa meninggalkan seketika blog ini..

Sebenarnya, laptop kami mengalami kerosakan kritikal sehingga terpaksa ditangguhkan penghantaran untuk memperbaikinya dek kesempitan kewangan ketika itu. Mujurlah setelah diberi wang 'sara hidup' kami bersedia mengatur dan mengurus semula kewangan agar tidak terputus sama sekali.

Hard disk baru berharga RM245. Alhamdulillah perkhidmatan terbaik diberikan oleh Mypc kepada kami. 

Berbalik kepada tajuk blog hari ini "Memaafkan tetapi tidak melupakan".. Topik ini pernah bersiaran di televisyen tetapi saya tidak sempat mengikuti isi kandungannya ketika itu. Oleh itu, biarlah istilah ini didefinisikan berdasarkan pengalaman yang saya alami sepanjang hidup ini.

Andai sesuatu pertelingkahan melibatkan darah daging sendiri seperti ibu, bapa, adik beradik, pastinya memaafkan itu adakalanya mudah, adakalanya sukar. Begitu juga untuk melupakan atau tidak juga bergantung kepada setiap induvidu. Apa yang terjadi dalam diri ini andai ia melibatkan arwah abah, pastinya aku memaafkan dan melupakan sama sekali... malahan aku tidak lupa memohon pada Yang Maha Esa agar ayahandaku ditempatkan di kalangan ahli syurga yang lain. Setiap kehilangan insan paling bermakna di sisi, sedikit sebanyak memberi kesan mendalam pada sanubari seorang anak sulong sepertiku.

Andai perselisihan faham melibatkan mama, dan adik-adik pastinya memaafkan itu sangat mudah dan melupakan juga sangat mengambil masa yang sangat singkat. Bak pepatah yang sering didengar, "Air dicincang tidak akan putus". 

"Memaafkan tetapi tidak melupakan" yang terjadi pada diri ini sebenarnya saling berkaitan dengan "Menantu bukan pilihan". Apapun, maafkanlah dia... kerana tarafnya seperti ibu kita, walaupun hakikatnya berbeza sama sekali. Doakan agar Allah beri insan ini jalan.... agar menyedari bahawa dunia ini hanya sementara. Tiada yang kekal... Sebagai menantu, sabar itu perlu. Berserah segala-galanya pada Allah yang lebih Mengetahui segala-galanya yang berlaku. Walau betapa pedihnya hati ini menanggung kesakitan, Allah ada di sisi kita. 

Positifkan hati.
Positifkan pemikiran.
Positifkan tingkahlaku kita.
Agar segala anasir negatif tidak akan berani dekat dengan kita.
Cukuplah Allah bagiku.
والله أعلمُ بالـصـواب