Rabu, 7 Ogos 2013

Anugerah Syawal 1434 H

28 Ramadhan bersamaan 6 Ogos 2013 selepas berbuka dengan air sahaja, kami bertiga bergerak pulang ke Ayer Hitam. Niat untuk masak mengunjung akhirnya tidak terlaksana dek perancangan mengejut encik suami. 

Laluan kami bermula dari Senai setelah mengisi minyak penuh di Shell. Dengan membuat pusingan U di Senai-Skudai, kami meneruskan perjalanan ke Ayer Hitam melalui jalan lama. Kebetulan pula ingin memberikan lemang kepada kakak iparku, Kak Lang yang tinggal di Felda Sungai Sayong. Kami bertemu di laluan tengah daerah Kulai-Kota Tinggi. Setelah bertemu, kami meneruskan perjalanan. Sebagai pemandu, aku lebih berhati-hati kerana masalah silau yang ku alami kian bertambah. 

Kami singgah di Simpang Renggam untuk menikmati makan malam kerana kami tidak berbuka dengan makanan pun berbuka puasa tadi. Sesampainya di rumah bondaku, suamiku terlalu keletihan dan tidur lebih awal dari biasa. Manakala aku pula, membantu adikku Didie menyiapkan goodies untuk hampir 38 rakan sekerjanya esok sempena Aidilfitri menjelang tiba. Haziq pun bersama-samaku juga menyiapkannya. Setelah selesai semuanya, aku tertidur dahulu beralaskan bantal sahaja di ruang tamu. Manakala Haziq pula, menurut penceritaan suamiku, dia memain game menggunakan telefon bimbitku sambil meniarap dan menghentakkan kakinya seolah-olah seronok bermain tanpa gangguan. 

Aku dikejutkan bondaku untuk bersahur. Tangan kananku sedikit kebas, rupanya Haziq lena berbantalkan lenganku. Anak ini benar-benar menggelikan hati apabila mendengar cerita dari ayahnya. Oleh kerana tidak cukup tidur ketika itu, aku segera menidurkan diri sehingga subuhku kelewatan. 

Pagi itu aku menolong ibuku menyiapkan bahan-bahan masakan. Bermula dengan sengkuang, lobak merah, kobis, bawang besar dan bawang putih. Manakala suamiku pula menolong aku dengan versinya yang agak kurang sempurna pada pandanganku. Biasalah.... lelaki... Bondaku menemani adikku Didie ke Batu Pahat untuk menghantar goodies yang malam tadi disiapkan. 

Setelah bondaku pulang, tugasan memasak pula yang dilakukan. Kali ini, aku berehat pula. Mempersiapkan diri, dan mencari amil untuk membayar zakat fitrah. Sebelum itu kmi ke kampung Yong Peng untuk menghantar lemang kepada atuk dan nenek. 

Keluarga Pak Ajam dan Cik Narimah seawal Ahad sudah tiba di sana. Begitu juga dengan Mak Ucu. Tidak ketinggalan juga Cik Sal Pontian. Selepas jam 4 petang kami beransur pulang untuk melaksanakan Rukun Islam dengan membayar zakat fitrah. 

Alhamdulillah, kami bertemu juga amil di masjid Parit Raja. 


Setelah membayar zakat, kami ke pasaraya Ten Ten untuk mencari baju jalan Haziq. Mulanya ada juga baju Melayu berharga RM10, tetapi kepala Haziq lebih besar dari lubang leher baju tersebut. Kami memutuskan hanya membeli baju berjalan Haziq 2 pasang dan songkok Haziq sahaja. 

Singgah pula di butik bersebelahan butik tudung Parit Raja. Suaminya berkenan pula dengan songkok yang padaku sangat mahal. RM38. Songkok baldu ini akan disimpan sebaik mungkin, dan tidak mahu ia dicuri lagi oleh sesiapa yang tidak berkenaan. 

Semenjak bergelar surirumah ini, diriku lebih mementingkan berjimat cermat dari pembaziran. Kerana diri ini faham akan kepayahan dalam mencari rezeki. Aidilfitri ini penuh dengan kesederhanaan yang dituntut oleh ajaran Islam kita. Aidilfitri ini diriku dan suami tidak teruja langsung untuk membeli pakaian baru untuk diri sendiri, malahan kami melebihkan keperluan yang sepatutnya diterima oleh seorang anak.

Alhamdulillah.... di hari terakhir Ramadhan ini, pastinya ku isi dengan penuh kesyukuran ke hadrat Illahi akan kesederhanaan dalam kehidupan yang menjadi bekalan ke akhirat kelak. Sesungguhnya, hati ini sudah memutuskan suatu perkara yang pasti akan mengundang kemarahan dari suami. 

Berserah dan bertawakkal... Hanya Allah Yang Maha Mengetahui...

Salam Lebaran dari kami sekeluarga. Ampun dan maaf kami pinta. Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin

Assalamualaikum.........

Tiada ulasan:

Catat Ulasan