Sabtu, 20 Julai 2013

Tanpa Ku Sedari

Tanpa ku sedari............

Mengalir air mata ini.............

Semalam ~ kerana teringatkan kisah semasa berpantang di rumah itu.

Subuh tadi ~ kerana teringatkan arwah Ayahanda tercinta.

Kisah yang tidak akan berulang.........................

Pada mulanya, aku hanya ingin mengemas semula semua pakaian berlipat kami yang telahpun berpindah ke bilik tengah akibat serangan anai-anai pada almari baju di bilik utama kami. Memang menjadi bilik pakaianlah jawabnya bilik tengah kami. Bilik ketiga sudah rasmi sebagai stor barangan suami mahupun baranganku. 

Tanpa ku sedar.... ketika melipat semula kain lampin, barut dan baju bayi, bergelinang air mata. Mengenangkan kisah yang tidak akan pernah aku lupakan seumur hidupku. Walaupun perit, pedih, luka yang dalam, dek kerana cintakan Allah melebihi segala-galanya, biarlah menjadi rahsiaku. Boleh ku kira dengan jari air hidangan darinya semasa aku berpantang. Boleh ku kira dengan jari dia pertanyaannya terhadap kesihatanku. Seawal pagi menghilangkan diri. Tengahari baru ku lihat rupanya. Itupun setiap kali suamiku pulang untuk makan tengahari. Kemudian, hilang semula. Kadang-kala menidurkan dirinya. Kebenciannya terhadapku masih mendesakku agar sentiasa bersangka baik. Menunjukkan kemesraan seolah-olah tiada apa yang berlaku, yang sama sekali tidak diduga sesiapapun melainkan yang pernah mengalaminya. Kepura-puraan menutup keaiban.

Jauh berbeza dari layanan bonda tercinta. Alhamdulillah, aku dapat merasai layanan ketika berpantang yang seharusnya diterima oleh mana-mana ibu pertama kalinya melahirkan anak. Aku cepat mempelajarinya. Kasih ibu membawa ke syurga. Doa anak yang soleh dan solehah pastinya bekalan terbaik untuk ibu dan bapa kita. Aku mempelajari masakan berpantang dari bondaku. Aku belajar menghilangkan tekanan dan menangani emosi tidak stabil ketika berpantang dan pengalaman baru ini mengajar aku lebih menghargai kasih dan jerih seorang ibu yang melahirkan. Sepanjang 2 minggu pertama, aku menangis kesyukuran kerana dikurniakan seorang cahaya mata dan bersyukur atas kurniaan seorang ibu mithali yang sentiasa tidak putus kasih untuk sang anak sepertiku. 

Tetapi di rumah itu, hari berpantangku yang ke 15 merupakan hari pertamaku di rumah itu membuatkanku menangis setiap saat kerana tidak lagi mendapat layanan mesra dari bondaku. Kini kami berjauhan. Saling merindui. Dugaan demi dugaan.. Ujian demi ujian.. Betapa kasihnya Allah pada hambaMu ini. Setiap ujian itu, menjadi pengajaran buatku. Untuk masa kini juga untuk masa hadapan. Jangan ulangi kesilapan orang terdahulu dari kita pada masa hadapan. Ubah ke arah kebaikan. Jangan jadikan ia sebagai kitaran hidup lagi. Cukup sampai diriku ini sahaja...............................................................



Kisah yang tidak akan kembali..........................................................

Seorang bekas tentera. Sentiasa menjadi pujaan hatiku apabila melihat pakaian seragamnya. Keghairahanku terserlah setiap kali melihat sesiapa sahaja dalam seragam itu. Kala jengking merah sentiasa tersemat dalam kenanganku. 

Ketegasannya... membuatkanku benci. 
Ucapannya.... membuatku tidak sanggup mendengarnya. 
Jelingannya... buatku gerun. 
Sikapnya..... membuatkanku hilang rasa hormat padanya... 
Senyumannya..... sukarku jejak. 
Suaranya... membuatkanku malu dengan sekeliling. 
Diamnya....... tanda tangisan hati yang tidak dapat didengari... tanda kekesalan yang tiada galang ganti... tanda kekecewaan yang tidak mungkin boleh diputar semula ke masa itu. 
Tangisannya.......... menunjukkan kasih yang tidak pernah diluahkan sebelum ini.

Aku masih ingat ketika itu...... ketika ingin bertolak kembali ke Plentong seawal 5 pagi. Pipi kiri dan kananku dikucup oleh sang ayah yang selama ini tidak pernah kurasai. Terdetik sedikit kepelikkan yang akhirnya terjawab dua minggu selepas itu. 

Ketika sedang bekerja jam 4 pagi, aku menerima peti masuk dari adik bongsuku, mengatakan abah pengsan. Tidak terdetik kemusykilan pun ketika itu. Aku menyuruh adikku memanggil ambulans. Sehinggalah panggilan telefon ku terima beberapa minit selepas itu dari jiranku, Mak Ros. 'Along, balik long. Abah pengsan ni.' Entah mengapa, tanpa sebarang soal jawab, aku bergegas keluar dari tempat kerjaku. Namun, di 'flyover' besar itu, tayar keretaku pancit pula. Seorang diri aku di bawah terowong ketika itu sehinggalah datang seorang pakcik menawarkan pertolongan di kala awal pagi itu. Tanpa ku sedari, air mataku seolah-olah keluar tanpa sedar. Mengalir tanpa sebarang sebab. Sesiapnya tayar keretaku ditukar, tunanganku yang kini suamiku datang melihatku kerana sedari awal aku sudah menghubunginya akan masalah keretaku. Aku memandu ke Senai tanpa sebarang sebab. Kosong secara tiba-tiba. Seolah-olah akalku dimatikan seketika untuk berfikir.

Tunanganku membawa keretaku dari Senai ke Ayer Hitam dengan kelajuan yang sukar aku gambarkan. Apakah sebenarnya kekosongan yang berlaku? Aku menangis sekuat hatiku sepanjang perjalanan itu. Kerana berita pengsan itu sebenarnya helah supaya aku tidak menangis. 

Sesampainya di rumahku, van putih pertama yang kulihat berada di hadapan rumahku. Aku rebah. Seperti tidak mampu berdiri lagi. Tidak mampu melakukan suatu apa pun. Aku dipapah masuk ke dalam rumah.

Sekujur tubuh ku tatap... ku cium.. ku peluk.... yang tidak ku duga akan berlaku. Akhirnya aku kehilangannya. Ibuku juga tidak putus-putus mengalirkan air mata. Kerana terkenangkan kisah saat-saat akhir mereka bersama. Seperti zaman bercinta mereka suatu ketika dahulu. 

Pemergiannya di sisi ahli keluarga tercinta, mama, ecah dan sepupuku Sulaiman. Tanpa aku, Angah dan Didi di sisi. Angah bersama suami dan anaknya Denial di Sri Lalang. Didi pula berada di Kota Damansara, melanjutkan pengajiannya di sana.

Masing-masing mempunyai cerita tersendiri.....

Sulaiman.. Sepupuku sebelah arwah abah.. Dia sering mengingati abahku. Membuatkan dia terdetik untuk ke rumah kami. Sepupu jauh yang bumi kelahirannya di Sabah. Dia semacam bertegas untuk ke rumah kami melawat abahku. Rupanya, detikan hatinya semestinya dirancang Illahi.....

Angah... menerima pesanan ringkas dari abahku supaya pulang segera membawa Denial.. Kerinduan abah pada Denial kerana abahlah yang bersengkang mata menjaga Denial sejurus kelahirannya, dek keseronokan menimang cucu lelaki pertama dalam keluarga.

Didi... jauh di perantauan. Hatinya sedikit terluka kerana pengajiannya di kolej swasta mendapat tentangan dari abah. Namun, dia bertekad untuk membuktikan pada abah, dia pasti berjaya. Didi tiba di rumah kami ketika abah sedang dimandikan. Dia juga menangis tanpa pernah menduga semua ini berlaku seawal usia mudanya. Namun, sebenarnya, hatinya lebih dahulu merasai sesuatu yang Allah kirimkan.

Ecah.. terdetik hatinya untuk tidak meneruskan pengajiannya kerana semua ini sudah tersurat oleh Allah. Dia yang disayangi abah akan kebongsuannya menjadikan dia mendapat perhatian lebih dari yang lain. Yang pasti, Ecahlah yang sering bermimpi selepas pemergian abah. Bekerja di Petronas, seringkali dihantar abah melalui jalan kubur. 'Jangan berhenti kerja. Biar dekat dengan abah. Nanti abah kat sini.'

Mama... yang benar-benar berada di sisi abah ketika abah batuk di dapur. Jatuh di tempat itu. Tempat yang kami ingat sampai bila-bila. Menghembuskan nafas terakhir di sisi mama. Keredhaan hatinya membuatkan kami percaya tiada apa yang berlaku. 'Pengsan' masih tergiang di benak fikiranku. Menjemput mama di perhentian bas di hadapan taman perumahan kami setiap kali mama pulang dari kerja. Menyuruh mama memeluknya kuat-kuat ketika menaiki motor. Detik-detik kemesraan terakhir mereka bersama.

Ramai yang bercerita... abah berjumpa rakan-rakannya sekitar Ayer Hitam untuk memohon maaf. Ada pula yang memanggilnya tetapi tidak didengari abah. Abah memang suka bergurau senda dengan orang lain. Sehinggakan gurauan itu tidak disedari sesiapapun. Ada yang menangis saat bercerita. Ada juga yang menyampaikan pesan. 

'Dalam banyak-banyak anak, abah kamu selalu bercerita pasal kamu long.'
'Dia bangga ada anak macam kamu, Didi.'
'Abah mintak kamu menjaga adik-adik kamu yang lain.'
'Paling kamu kena sayang, mama kamu. Abah dah takde... tolong jaga hati mama kamu yer?'
'Abah kamu selalu cerita pasal adik beradik kamu.'
'Abah kamu memang garang.. tapi dia sayang sangat anak-anak dia. Mungkin silapnya kerana tidak tunjuk sayangnya pada kamu semua.'
'Abah kamu memang takkan tunjuk sayang pada kamu. Dia memang dididik begitu. Kamu kena faham..'
'Dulu, masa abah ada, kamu taknak sayang.. takut... Sekarang bila dah takde baru sibuk-sibuk nangis buat apa?'
'Ingat yer.... doa anak-anak yang soleh dan solehah...'

Pastinya akan kedengaran suara-suara sumbang yang tidak enak didengar. Berdiam diri itu lebih baik. 

Kini, ketegasannya, jelingannya, ucapannya, suaranya, diamnya, senyumannya, tulisannya, sikapnya, gambarnya sentiasa tersemat dalam sanubari ini.

Coretan ini ku tujukan khas buat adik-adikku tersayang... Angah... Didi.. Ecah... 

Rabu, 17 Julai 2013

Ramadhan Ini..........

Alhamdulillah..... selepas selesai solat Subuh, terfikir pula untuk menulis blog. Selalunya selepas solat Subuh, aku mengamalkan amalan membaca al-Ma'thurat sebelum kembali beradu. 

Memandangkan setiap kali tidur semula, pastinya kesakitan kepala yang amat sangat setelah bangkit semula, adalah tidak elok meneruskan amalan buruk tersebut. Almaklumlah, tertidur setelah memeluk cium anak di atas katil, pastinya terlelap walaupun seketika. Namun hari ini, aku bertekad supaya tidak kembali tidur semula kerana ia akan memudaratkan kesihatan. "Sebaiknya jangan tidur selepas Subuh".

Setakat hari ini setelah menjejak Ramadhan ke 8, baru 2 kali sahaja Haziq bangkit dari lenanya untuk bersahur bersama. Kami bersahur, Haziq pula dengan aktivitinya bermain Puzzle Number.




Gambar ini diambil pada Ramadhan kedua. Ini sudah menjadi aktiviti harian si Cilik Cerdik ini

Sejak dua menjak ini, Haziq sering lewat untuk tidur di waktu malam. Menonton 'Upin Ipin' sehingga jam 11 malam dikala aku dan suami tertidur. Jika tidak dibukakan cerita tersebut, dia mengamuk dan tidak mahu duduk diam. Sehinggakan malam semalam, aku tertidur, dia menangis kerana mahu aku bangun menutupkan cerita tersebut. Alangkah terkejut melihat mata Haziq kemerah-merahan menahan mengantuknya yang ego itu. Apabila aku bangkit, dia terus tidur. Dan aku pula mengambil kesempatan melihat 'Sik Gaek' Episod 26 bermula jam 11 malam tersebut. Kerisauan hati seorang ibu ini pastinya tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah. Adakah waktu tidur malamnya berubah kerana diri ini atau atas dirinya. Risau sungguh. Dan sejak itu juga, Haziq sering bangkit lewat di waktu pagi. Sehinggakan selewat jam 10 pagi. 

Ramadhan pertamaku, menyediakan juadah berbuka 'Ayam Pedas Kicap' bersama 'Sayur Campur Bebola Udang dan Jejari Ketam'. Namun, bersahur pada Ramadhan pertama kami dengan 'Sambal Sardin Botan' masih berbaki lagi sehingga berbuka. Atas permintaan suami, kami berbuka di rumah ibunya yang tidak jauh dari rumah kami. Air kegemaran suami iaitu 'Extra Joss Susu' perisa mangga pun tersedia ketika berbuka. Sesampainya kami di rumah ibu mertuaku, kelihatan si ibu itu seorang diri tanpa bapa mertuaku. Kerana bapa mertuaku berbuka di Masjid As-Solehin berhadapan rumah mereka. 

Menggunakan 3 sachet dengan ditambah 6 sudu besar susu pekat

Ramadhan seterusnya pelbagai menu aku hidangkan untuk suami. Antaranya, 'Kuew Tiau Goreng', 'Sotong Blackpepper', 'Tomyam Seafood Ball', 'Ayam Kurma', 'Sup Telur', 'Nasi Lemak', 'Bakso'. Dan semalam, buat pertama kalinya 'Bubur Lambuk 5 Rencah 5 Rasa'. Air pula yang pernah terhidang antaranya 'Air Mangga', 'Air Cincau', 'Air Sirap Bandung Cincau', dan 'Air Ribena Blueberry'.

Gambar ini diambil selepas solat Subuh tadi

Asalnya satu periuk besar, kini tinggal seperiuk kecil untuk si kecil Haziq nanti. Semalam, memang menjadi kerisauan sebelum berbuka puasa, "entah sedap, entah tidak". Oleh kerana Haziq belum makan sedari jam 2 petang, aku menjadikannya sebagai panel untuk merasa. 'Sedap tak Haziq?' aku bertanya kepada Haziq. Sambil menunjukkan ibu jarinya, dia mengangguk dan senyum dengan dipenuhi bubur di dalam mulutnya. Sepinggan habis, masuk ke pinggan kedua. Akhirnya, habis juga kali kedua tersebut. Alhamdulillah. Berkat keikhlasan hati memasak untuk suami dan anak, kelegaan itu timbul melihat Haziq makan bertambah-tambah. Setelah selesai Haziq menghabiskan bubur tersebut, ayahnya pun baru sampai dari tempat kerjanya. Agak lewat kerana kepulangan suami bersambut dengan azan Maghrib. "Motor pancit tadi, tu yang lambat sikit." Belum sempat aku bertanya, jawapan telahpun diberikan oleh suami. Nikmati berbuka puasa bersama 'Bubur Lambuk' dan 'Air Laici' (untuk kami sekeluarga), 'Air Teh O Panas' (untuk diri ini) dan 'Air Milo Ais' (untuk suami).

Berikut adalah resepi yang ku salin dari Rancangan 5 Rencah 5 Rasa :

Bubur Lambuk 5 Rencah 5 Rasa

Bahan Tumis
1 ulas Bawang Besar
5 ulas Bawang Putih (saya memang suka letak banyak dalam apa jua masakan)
0.5 - 1 inci Halia
1 mangkuk kecil Udang Kering (rendam seketika)

Bahan Tumbuk
 1 sudu besar Jintan Manis
0.5 sudu besar Jintan Putih 
(saya pakai serbuk sebab tiada yang kasar, jadi saya masukkan ketika menumis nanti)
1 sudu besar Biji Ketumbar

2 Bunga Lawang
3 Bunga Cengkih
250g Daging (yang dipotong sekecil mungkin supaya cepat masak)
1.5 Pot Beras (direndam seawal 2 jam)
Air
2 helai Daun Pandan
1 mangkuk besar Santan Pekat
1 batang Lobak Merah (dipotong dadu kecil)
1 biji Kentang (dipotong dadu kecil)
10 ekor udang 
(lagi banyak lagi sedap, oleh kerana 20 ekor berharga RM8, saya menggunakan separuh sahaja dari stok peti sejuk beku saya)
Daun Sup (dipotong halus)
Garam (secukup rasa, disebabkan makruh jika merasa, saya agak sahaja, 2 sudu kecil sahaja)
Lada Putih (oleh kerana kehabisan stok, saya tidak menggunakannya)
Bawang Goreng

  • Panaskan minyak di kuali/periuk yang kering (saya menggunakan periuk sahaja)
  • Masukkan mentega (apa yang saya dengar dalam 5R5R, letak yis kalau benar, tetapi saya tidak memilikinya)
  • Tumiskan Bahan Tumis
  • Masukkan bunga lawang dan bunga cengkih
  • Apabila wangi dan sedikit garing, masukkan Bahan Tumbuk
  • Setelah garing semuanya, masukkan daging, beras, dan air secukupnya
  • Masukkan daun pandan, santan, lobak merah dan kentang
  • Biarkan sehingga kesemua bahan empuk dengan api sederhana (tutup periuk tersebut dan boleh melakukan kerja sambilan seperti melipat kain, mengemas mainan anak dan sebagainya)(jangan ditinggal begitu sahaja, kena sentiasa memantau perkembangan masakan dengan menggaulmesra setiap kali anda menjenguknya)
  • Setelah beras bertukar menjadi nasi sedikit, masukkan bahan terakhir iaitu udang, daun sup dan lada putih.
  • Tutup api jika anda yakin masakan anda sudah siap (boleh dilihat pada udang, dan juga kepekatan bubur)(jangan masak sehingga terlalu kering dan pekat kerana bubur ini memiliki kepekatan semulajadi dari kentang dan bahan yang lain)
  • Boleh dimakan bersama bawang goreng
Selamat Mencuba!

Jangan lupa setiap kali berbuka puasa mahupun bersahur, amalkan memakan kurma 3 biji sebelum memakan atau meminum apa-apa sahaja, kerana ianya Sunnah. Kurma ini sudah menjadi kegemaran Haziq sepanjang masa dengan membuka sendiri peti sejuk dan mengambilnya sendiri. Ini adalah berkat mengamalkan sunnah Rasulullah ketika mengandungkan Haziq suatu ketika dahulu. Alhamdulillah.... 

Kurma Safia Stok yang Kedua (yang pertama genap 6 hari habis dimakan - paling banyak makan = Haziq)

Suami pun sudah keluar bekerja.... Haziq pula mencariku di ruang tamu, dan tidur semula. Menanti untuk membersihkan diri bersama anak apabila Haziq bangkit dari tidur nanti. 

Jom mengemas apa yang patut!!! 

Assalamualaikum.......

Selasa, 16 Julai 2013

Tersentuh Hati Ini.........

Sekadar simpanan sendiri sahaja....

Sejuk hati ini apabila melihat anak yang dipelihara dengan tangan sendiri membesar dengan baik. 

Maaf kupinta buat suami tercinta kerana sikap amarahku, akhirnya aku berterus terang kenapa aku tidak mahu bekerja lagi. Kepada rakan-rakan yang kupercayai dan terdekat, pastinya mengerti mengapa aku berhenti kerja ketika itu. Jahatkah aku? Memendam dan menyimpan marah dan tidak puas hati ini semata-mata untuk menjaga hati orang tua? Itu adalah lebih baik, kerana tidak mahu menyakitkan hati orang yang mempunyai pengalaman lebih dua kali ganda dariku. 

Dahulu, aku sering berendam air mata. Berendam air mata di hari pertama bergelar menantu. Berendam air mata ketika suami menyampaikan berita gembira akan kehadiran zuriat pertama kami kepada insan itu. Berendam air mata sepanjang aku mengandungkan zuriat pertama dengan menumpang di rumah insan itu. Berendam air mata ketika pulang dari kerja yang dibebani kerja rumah seolah-olah rumah tersebut dihuni lebih 20 orang. Menangisi perilaku suami yang terlalu panas baran ketika itu. Berendam air mata ketika melahirkan zuriat pertama, dikunjungi oleh seluruh ahli kelaurga kecuali insan itu. Berendam air mata kerana kepulangan bersama zuriat tidak disambut sebaiknya. Berendam air mata ketika berpantang di rumah itu selepas 2 minggu di rumah ibu kandung sendiri. Pengalaman yang tidak akan aku lupakan seumur hidupku. Dan bermula dari saat itulah aku belajar berpantang sendiri tanpa diambil berat oleh insan tersebut. Oleh kerana aku tidak disambut dengan baik untuk berpantang di rumah itu, layanan yang baik aku perolehi hanya ketika suami berada di sisi. Aku gagahkan diri. Sakit mana pun aku kuatkan diri demi anak yang ku lahirkan atas izin Allah ini. Itulah trauma yang menghantuiku sehingga kini. Kemaafan yang sukar untuk ku berikan sehingga kini. Oleh kerana ibuku sendiri memahamiku tanpa sepatah bicara aku tuturkan, membuatkan aku tersentuh hati dan menangisi nasibku sehingga kini.

Berkat kesabaran, usaha dan doa, akhirnya aku dapat berumahtangga dengan baik di rumah kepunyaan sendiri. Syukur yang tidak terhingga ke hadrat Illahi atas kurniaan yang diberi. Namun, tidak kusangka, ada juga kakak birasku yang prihatin dan peka akan masalah ku sebelum ini, akhirnya menutur bicara, memahami keadaan yang ku alami saling tidak tumpah dengan keadaan yang dia hadapinya suatu ketika dahulu. 

Apapun, pengalaman ini sama sekali tidak akan aku pendam begitu sahaja. Aku perlu ubah tradisi ini menjadi yang lebih baik berunsurkan tuntutan dan ajaran Islam. Ya Allah.... jika aku diizinkanMu untuk melihat menantu perempuanku akan datang, izinkanku melayaninya sepertimana anakku sendiri tanpa menyeksa jiwa dan raganya. Aku tidak akan membiarkan menantu berpantang dengan melakukan kerja-kerja rumah sepertimanaku dahulu. Tidak akan membiarkan menantuku tidak makan sesuatu apapun ketika berpantang. Aku teringat semua itu. Sehingga terpaksa menelefon suamiku supaya pulang dan tidak bekerja kerana tiada satu pun lauk berada di dalam peti sejuk untukku masak sendiri ketika itu. Sampainya hati....

Ibuku sendiri pastinya tidak akan mengizinkan aku berada di tempat itu. Tetapi apakan daya, kerana kasihankan suamiku berulang-alik Senai ke Ayer Hitam, aku menurut permintaannya untuk pulang ke rumah Senai. 

Begitu juga setelah aku kembali bekerja setelah dua bulan berpantang, terpaksa menurut kata suami supaya insan itu yang menjaga anak kami. Pelbagai alasan yang kerapku berikan kepada ketua pengurusku, supaya aku pulang ke rumah akibat ketidaksedapan hati ketika itu. Pelbagai perkara yang ku lihat depan mata. Sepertinya tidak sanggup ku ceritakan kepada suamiku kerana takut aku dituduh mereka cerita. Patutlah susu perahanku tidak berkurangan. Alasan yang kuterima, anakku tidak mahu, tetapi rupanya susu perahanku tidak diberi. Sampainya hati........ 

Sehinggakan di kala anakku sudah mahu menerima makanan lembut, apa yang ku masak dan ku bekalkan, tidak disentuh sedikit pun atas alasan anakku tidak mahu. Sedangkan, tidak disentuh walau sedikitpun untuk diberikan kepada anakku. Apa salahku sehingga diperlakukan begini. Anakku juga mogok tidak mahu memakan bubur telur yang sering dimasak oleh insan itu, kerana jelak mungkin. Selama 3 hari anakku enggan memakan apa-apa. Kerana trauma dek masakan insan itu yang hanya memasak bubur telur sahaja. Aku sanggup bercuti, meneliti apa yang anakku mahupun. Rupanya, anakku hanya mahu masakan dan suapan dari aku sahaja. Apakah ini petanda bahawa anak aku tidak mahu dipelihara oleh orang lain? Itulah yang sentiasa berlegar dalam fikiranku. Berat untuk melepaskan kerjaya, tetapi dalam masa yang sama, berat pula melihat anak yang diperlakukan begitu?

Pernah suatu ketika, hatiku sangat risau. Tengahari ketika sedang bekerja, aku putuskan untuk meminta cuti. Alangkah terkejutnya, anakku dibiar seorang diri dengan menangis sekuat-kuatnya, pintu terbuka, pagar berkunci... Mana perginya? Hati ibu mana tidak sedih melihat semua itu berlaku di hadapan mata. Pelbagai lagi yang tidak sanggup ku coretkan di sini. Mengalir lagi air mata kerana pengalaman tersebut.

Alhamdulillah... setiap ujian yang Allah berikan kepada hambaNya adalah ujian yang mampu dihadapi oleh hambaNya. Allah tidak pernah membebani hambaNya dengan bebanan yang tidak termampu dipikul.

Setelah hampir 7 bulan menjaga zuriatku sendiri, pastinya sekali-kali tidak akan membebankan mana-mana insan di luar sana dengan kerenah anak yang semakin bijak dan pandai ini. 

Tersentuh hati ini apabila melihat anak sendiri membentangkan sejadah setiap kali ingin bersolat. Aku belum lagi pernah mengajarnya, namun, berkat perlakuanku setiap waktu menarik minat seorang anak yang sedang giat belajar tentang keadaan sekeliling, melakukan apa sahaja yang aku lakukan dengan tangannya sendiri. Benar-benar menyentuh jiwa dan sanubari. Ya Allah, izinkanku mengajarkan anakku mengenal huruf KalamMu. Teringin sekali melihat anak sendiri menjadi seperti anak-anak yang sudah bergelar hafiz dan hafizah seawal usia 1 tahun. 

Tersentuh hati ini apabila melihat anakku tidak membaling botol susunya seperti kanak-kanak lain. Malah, meletak sendiri di atas meja makan samada dengan arahanku ataupun tidak. Kadangkala, memberikan padaku dengan berkata, "Nah." kepadaku, jika ketika itu dia mahu berada dalam dakapanku dan tidak mahu bergerak kemana-mana. Aku tahu, insan dahulu sudahpun mengajar anakku memegang sendiri botol susu seawal beberapa bulan kerana dia terpaksa menjaga anakku atas desakan suamiku yang tidak mampu untuk ditolak. Apapun terima kasih kerana telah menjaga anak ini selama 1 tahun 3 bulan dengan mendidiknya menepuk tangan dan menepuk nyamuk sahaja. 

Tersentuh hati ini melihat anak mengambil penyapu dan menyapu tempat yang dirasakan kotor pada pandangannya. Pada mulanya, memang aku sangat marah kerana anak ini bermain penyapu. Tetapi, aku perlu ingatkan diri ini supaya kurangkan kebengisanku kerana boleh mempengaruhi perkembangan anak.

Tersentuh hati ini melihat anak membuang sampah ke dalam tong sampah yang boleh dipijak untuk membuka penutupnya. Entah sejak bila dia mencuba memijak pedal tong sampah tersebut tetapi tidak berjaya. Dan ketika kakinya sudah kuat untuk memijak pedal tong sampah tersebut, adalah menjadi kesukaan dia setiap kali aku menyuruhnya membuang sampah di dapur. 

Tersentuh hati ini melihat anak memakai selipar atau kasutnya dengan betul. Malah, menyusun semula ke tempatnya dengan baik dan tersusun. Memang anak ini sering menyepahkan selipar-selipar dan kasutnya. Jika aku memarahi, tentulah dia berkeras untuk tidak menyusun semula. Namun, sejak aku menuturkan kata-kata lembut, pastinya dia sendiri menyusun semula tanpa kesilapan satu pun. 

Tersentuh melihat anak berjabat salam sambil mencium tangan setiap kali diminta untuk bersalam. Aku memang mengajar perihal ini kepadanya supaya dia hormat kepada orang yang lebih tua daripadanya. Memang pada mulanya, anak ini agak terlalu malu setiap kali berjumpa sesiapapun, namun, jika aku mengatakan "Nak balik dah ni, jom salam." Dialah yang pertama menghulurkan tangan. 

Tersentuh juga melihat anak berebut-rebut untuk menyidai sapu tangannya ketika aku menyidai pakaian. Malah, ketika melipat baju pun, dialah yang menghulurkan kepadaku untuk aku lipatkan. Aku selalu berang kerana anak ini sering mengambil 3 sapu tangan kecil untuk disidai. Sapu tangan itulah yang akan kotor setiap kali dilakukan seperti mainannya. 

Paling menyentuh hati, buku kecil Abjad ABC Bahasa Melayu, buku kecil Abjad ABC Bahasa Inggeris dan buku kecil Warna akan diperlihatkan kepadaku jika ada gambar yang sama pada setiap buku tersebut. Pernah suatu ketika aku membuka hanya satu buku berBahasa Melayu bergambar ikan emas, dia cepat-cepat mengambil buku berWarna dan menyelaknya sehingga berjumpa gambar yang sama dengan yang aku tunjuk sebentar tadi. Seringkali kejadian begini berlaku. Malahan, arnab peliharaan jiran kami pun, akan dibandingkan dengan buku yang segera diambilnya di dalam rumah. Aku perlu mengajar Jawi kepada anak ini. Kerana daya minatnya membuatkanku perlu berusaha lebih dari ini.

Aku juga mengajar anak ku mengenal tubuh badan dan sekelilingnya. Setiap hari perlu ku ulang, kerana ada perkataan orang dewasa yang sukar diingati olehnya. Mata "ate", hidung "dung", mulut "lut", lidah "dah", telinga "nge", tangan "angan", kaki "kaki", perut "rut", rambut "abut", pusat "apai", pipi "pi pi". Masih lagi keliru dengan dahi "ahi" dan dagu "agu". Baju "aju", seluar "war", tudung "udung", stokin "akin", kasut "asut", pintu "itu", pampers "ampers", bedak "dak", aircond "arkon", bantal "tantal", selimut "amut", peti ais "ates", mesin basuh "asuh", ubat gigi "igi", berus gigi "igi", air "air", buka "aka", tutup "tup", tuala "ala", sikat "akat", beg "beg", botol susu, susu " su su", telur "alur", kanan "nanan", kiri "iri", kereta "e ta", motor "o to", bakul "akul", tv, radio, handphone "pon", lari "lal", takut "akut", geli "eli", mama "ma ma", ayah "ayah", adik "dik", kakak "kakak", abang "abang", nenek "nene", atuk "tuk", pak uda "pa da", maksu "acu", makngah "angah", maklong "along", paklong "along", kaklong "along", pakngah"angah", pakcik "cacik", maklang "alang", paklang "alang", burung "awong", aiskrim "acem", ikan "kan", jam "jam", gajah "jajah", kucing "acing", katak "atak", duit "wet", taknak "nanak", buku "kuku", pen "pen", betul "etul", salah "ellah" macam-macam lagi... Sebagai ibu bapa, jangan ajar anak pelat pula.... ajar dengan perkataan yang betul. Memang dia sebut pelat, tapi deria pendengarannya tidak mendengar yang pelat dari ibu bapanya. 

Sedar tidak sedar, sudah berjela rupanya. 

Apa menu berbuka pusa hari ini ya? Bakso atau bubur lambuk? 

Nantikan..................

Terima kasih kerana sudi membaca coretan panjang ini. Maaf jika ada yang menyinggung anda dan menimbulkan kemarahan dan tanda tanya pada anda. 

Assalamualaikum.................

Khamis, 11 Julai 2013

Dulu Lain.... Sekarang Lain....

Selamat Malam...

Selamat Menyambut Ramadhan yang penuh keberkatan...

Alhamdulillah... hari pertama berpuasa sebagai surirumah yang sangat menggembirakan pada tahun ini.

Dulu................................... ketika bergelar wanita berkerjaya

~~~~~ Selepas bersahur, pastinya akan bersiap untuk keluar bekerja. Keluar seawal selepas solat subuh kerana perjalanan Senai ke Plentong agak jauh. Namun, setelah bergelar ibu, aku selalu dan sering keluar lambat untuk bertolak kerana sayang untuk berjauhan dengan anak yang ketika itu masih kecil lagi. Aku lebih rela di"kata" orang kerana prestasi kedatangan yang sering lewat sehingga kadangkala hampir setengah jam lewat... Semuanya atas alasan anak. Namun, bagi mereka yang tidak memahami, pastinya me'label'kan diri ini sebagai contoh yang tidak baik. Kerana hal inilah, seorang sahabatku dengan beraninya me'message'ku, 'macam bagus sangat, datang pun lambat.' Tidak mengapa... akan ku ingat sampai bila-bila. 

Sesungguhnya, aku akui, aku sering lewat sampai ke tempat kerja, kerana berat sangat hati ini meninggalkan anak yang dijaga oleh ibu mertuaku. Dan seringkali itu juga, aku sering bercuti kerana risau akan anakku yang dibela oleh mertuaku.

~~~~~ Pastinya, sepanjang Ramadhan, keretaku akan ku persiapkan sebekas kurma, dan sekotak air. Kadangkala, akan ada bekalan yang ku kirim dari rakan-rakan yang keluar ke bazar Ramadhan. Dan kadang-kala juga aku sendiri yang akan ke bazar. Atas permintaan juga, aku seringkali keluar agak lewat selepas waktu bekerja kerana ingin berbuka bersama rakan sekerja. Itu semua menjadi kenangan......... Bersemadi dalam sanubari ini. Ketika bekerja, pelbagai kenangan pahit dan manis ku lalui. Belajar untuk mengenali alam pekerjaan... belajar menjadi 'senior'... belajar menjadi orang yang dibenci oleh orang bawahan... belajar mengenali mana kawan dan mana lawan... belajar mengenali duri dalam daging, musuh dalam selimut... belajar untuk menjadi terbaik di kalangan yang terbaik... belajar dari kesilapan sendiri dan orang lain... belajar menghormati pendapat orang lain...belajar menjadi pendengar yang baik.... belajar menjadi penasihat.... belajar supaya tidak menilai dari luaran dan mata kasar semata-mata...  dan berbagai lagi ilmu yang tiada dalam mana-mana buku atau mana-mana risalah ataupun mana-mana carian internet. 


Sekarang................................................... bergelar surirumahtangga sepenuh masa

~~~~~ Pelbagai menu berlegar di kepala samada untuk bersahur mahupun berbuka. Keseronokan dan kegembiraan menjaga anak ditambah dengan keghairahan memasak untuk suami dan anak, menjadikan kerjaya ini sebagai kerjaya yang penuh keikhlasan dan keredhaan. Tanpa kenal erti jemu. Kesempitan kewangan dan sara hidup tinggi sama sekali tidak menjejaskan kerjaya mulia ini. Malahan mengajar kami sekeluarga erti mencari keberkatan dan keredhaan Allah... Lega rasanya setelah bergelar surirumahtangga sepenuh masa. Tiada kongkongan, tiada tekanan, tiada desakan, tiada kekangan.... Alhamdulillah... inilah yang aku cari selama ini. Biarpun ramai yang mengata 'harap je belajar sampai degree, last-last duk umah jugak'..... Sekurang-kurangnya, aku tidak membangga diri dengan gelaran 'degree' tersebut. Malahan, itu adalah satu kelebihan untuk diri sendiri, menjadi surirumah yang berjaya sepanjang masa, dan bakal menjadi pensyarah dan professor kepada anak-anak apabila mereka dewasa kelak. Akan kusimpan ilmu ini untuk zuriat keturunanku. 

Jam telahpun menunjukkan jam 12:07 am... Selamat Pagi 2 Ramadhan...

Selamat Bersahur...

Assalamualaikum......

Sabtu, 6 Julai 2013

Akhirnya.............................

Assalamualaikum dan Selamat Pagi.

Lama rasanya tidak berblog. Bukan kerana tiada topik, tetapi masalah kesakitan kepala yang amat sangat yang tidak dapat dielakkan.

Akhirnya..........

1) Penjualan unit ASB loan saya telah pun didebitkn ke akaun simpanan. 

.................... lama juga rasanya meneliti hal demikian, samada untuk meneruskan atau tidak. Apapun, setelah perbincangan dengan ketua turus rumah, akhirnya, kami memutuskan untuk memberhentikan serta-merta ASB Loan tersebut. Apa jadi dengan duit tersebut? Jom tengok 'Akhirnya' ke-2.


2) Membeli peti sejuk yang baru pada 2 Julai 2013

................... Setelah sekian lama, dari peti sejuk pertama yang dibeli di Senggarang, rosak yang amat sangat setelah sampai di rumah dengan pembelian harga RM500, apabila dipulang semula ke sana, perbaiki sehingga kini tiada berita. Berlanjutan dengan peti sejuk kedua yang suamiku ambil dari tempat bekerja dia suatu ketika dahulu di tempat pelupusan dan kitar semula High Speed, mulanya tiada masalah, akhirnya rosak juga, tiada kesejukan yang diperolehi. Sehingga ke pemberian dari kakak birasku, Kak Rini, juga mengalami kerosakan pada sejukbekunya yang tidak berfungsi. Alhamdulillah, dengan izin Allah, dapat memiliki peti sejuk baru. Bersyukur sangat memandangkan bulan Ramadhan bakal menjelang tiba. 



3) Kereta wira suamiku diminati orang pada 5 Julai 2013

................. Alkisah, jiran kami sedang dalam proses membesarkan dan mencantikkan rumah. Salah seorang kontraktor Pakcik Hashim berminat sangat dengan wira kami. Di hari pertama soalan dikemukan "Tak nak jual ke kereta tu?" "Kene tanya tuannya dulu." "Kan susah ade dua kereta." Aku hanya senyum sahaja. Hasratnya itu ku sampaikan kepada suamiku. Secara kebetulan pula, keesokannya, suamiku tidak bekerja. Nampaknya peluang pakcik tersebut untuk membeli kereta suamiku sangat cerah kerana boleh berurusan terus dengan suamiku. Berat juga hati si suami untuk menjualnya. Memandangkan kesakitan hati akibat makhluk Allah yang meninggalkan kereta kami yang dihantar untuk warna baru ditinggalkan begitu sahaja di bengkel, menjadikan kereta kami seperti tiada harga. Namun, wira tersebut memilki banyak kenangan sedari bercinta sehingga kini. Kereta wira inilah yang menjadikan perkenalan kami lebih bermakna, kereta inilah yang ku bawa ketika kereta Savvy ku dilanggar oleh lori kontena di hadapan kilang dahulu, kereta wira inilah yang menjemputku pulang selepas bersalin, kereta inilah yang akhirnya membawa peralatan perbaiki JCB suamiku. Walaupun nampak buruk di luar, kereta inilah yang mampu mengecutkan perut aku jika dibawa oleh suami dengan tujuan untuk mengajar pemandu lain agar jangan memandang rendah kepada keburukan kereta wira kami. Dalam erti kata lain, berlumba di jalanraya. Tapi, bagus juga kereta ini tiada pada pandanganku lagi. Kerana kereta ini akan menyebabkan diri ini tidak akan memaafkan makhluk yang sudah mengecewakan suamiku suatu ketika dahulu. Atas dasar percaya, kami membayar habis untuk diwarnakan semula. Namun, sehingga lahirnya Haziq, kereta tersebut, tiada cerita. Akhirnya, kami nekad untuk melihat apa terjadi, kunjungan terakhir kami mendapati, makhluk tersebut sudah melarikan diri dengan meninggalkan kereta suamiku terbengkalai dengan cat warna yang cair, dengan menukar lampu original kepada tiruan, dengan menukar pelbagai komponen lain dengan barang tiruan. Semestinya, Allah akan membalas perbuatan makhluk tersebut. Apapun, redha dengan ketentuan Allah yang sedang menguji keimanan kami.

Terasa kehilangan apabila melihat halaman rumah yang lapang pada hari ini.


Setakat ini coretanku.....

Sehingga bertemu di catatan akan datang...