Selasa, 2 Ogos 2016

Keguguran : Kehamilan Kedua Kami

My First Misscarriage

Assalamualaikum...

SubhanAllah... lama sungguh tak mencatatkan segala rekod harian di diari ini.. Rasanya hampir 2 tahun meninggalkan catatan penulisan ini.. Terdetik di hati untuk mencatat semula apa yang telah berlaku sepanjang tahun-tahun yang lalu..

Untuk perkongsian pertama pada tahun 2016 ini, berkenaan dengan keguguran anak kedua kami pada usia kandungan yang sepatutnya 8 minggu 2 hari. Walau bagaimanapun, menurut keputusan ujian darah pada 24 Julai yang lalu, kandunganku berusia dalam lingkungan 2 hingga 4 minggu.

Kisah ini bermula pada 29 Ramadhan yang lalu, iaitu 3 Julai 2016. Seperti dua tahun lepas berturut-turut, aku berpuasa penuh tanpa perlu meng"qada'"kan puasa disebabkan oleh kitaran haid yang tidak teratur sejak melahirkan Haziq pada tahun 2011. 

Pada 3 Julai tersebut, diriku mendapat petunjuk bahawa aku tidak dibenarkan berpuasa dan menjalani sebarang ibadah kerana diberi cuti istimewa oleh Yang Maha Esa. Namun begitu, pada keesokan harinya, 4 Julai, tiada langsung tanda bahawa aku sedang didatangi darah haid. Aku mengambil keputusan untuk berpuasa pada hari terakhir Ramadhan tersebut tanpa sebarang keraguan. Kebetulan pula ketika itu, aku bercuti awal sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma. 

Menjelang raya pertama (5 Julai) di Ayer Hitam, keluar sedikit darah yang padaku sangat luar biasa berlaku. Terlalu sedikit sehingga menimbulkan pelbagai keraguan dan tanda tanya. 6 Julai - tiada sebarang tanda. 7 Julai - juga tiada sebarang tanda. Berlarutan sehingga 11 Julai. 

Pada 10 Julai tersebut aku mengambil keputusan untuk membeli "Pregnancy Test" di Kinabalu Pharmacy sebelum pulang ke Senai. Sebenarnya pada tarikh tersebut aku pulang ke Ayer Hitam untuk menguruskan adikku, Didie untuk memulangkan kereta sewa yang disewanya sejak 1 Syawal, 5 Julai yang lalu akibat kemalangan jalanraya. 

Oleh kerana pada masa itu aku bergegas untuk ke Senai, ** almaklumlah encik suami saya ni pengugut terhebat.. tak balik cepat nanti asyik kena marah aje.... ** Tak senang diri ni nak balik rumah mak sendiri. Biarlah dia baca, supaya suatu hari nanti dia sedar, sikap ugut dia ni la punca segala-galanya. Supaya nanti bila dia diizinkan berumahtangga lagi, dia tak bersikap menggesa, mendesak sepanjang masa. Kesian pada isteri ini... terpaksa bawa kereta laju-laju, sampai tak sempat buang air besar dan kecil. 

Sambung semula ceritaku... (tiba-tiba off pulak laptop tadi sebab laptop dah berusia, tak boleh alih)

Apa keputusan preganancy test tu???

Ujian kehamilan pada 10 Julai 2016

Slightly positive.. tapi saya tidak menjadikan ini sebagai kegembiraan yang perlu dihebahkan. Mungkin ada false semasa ujian tersebut dijalankan. Saya sudah berpesan pada encik suami supaya semua ini dirahsiakan.

12 Julai, keluar tanda dark brown, tidak seperti haid yang biasa. Sepanjang kehamilan ini, pelbagai keraguan timbul. Bagaimana seseorang yang hamil masih lagi boleh keluar darah haid? Bermulalah pembacaan di setiap sudut internet untuk menambah ilmu yang cetek berkenaan kehamilan ini. Almaklumlah, 5 tahun tidak hamil. Seperti baru pertama kali hamil pula rasanya.

13 Julai - keluar darah haid seperti biasa pada jam 1 petang ketika sedang bekerja. Luluh segala harapan ketika itu.

14 Julai - selepas solat Maghrib, atas recommendation dari Kak Roszanah, saya ke Klinik Utama, Bandar Baru Uda untuk pengesahan. Doktor bertugas ketika itu, doktor Sa'adiah. Pregnancy Test Kit menunjukkan kehamilanku terlalu awal untuk dikesan. Aku perlu datang semula untuk menjalani ujian ultrasound untuk kepastian. Namun, doktor memberitahuku bahawa, ujian ultrasound kadang kala tidak dapat mengesan kehamilan yang terlalu awal. Oleh yang demikian, aku mengambil keputusan untuk datang semula pada Ahad minggu tersebut untuk bertemu doktor Hisham di klinik yang sama. Seperti biasa, aku diberi Folic Acid untuk menguatkan kandungan.

15 Julai - masih terdapat sedikit darah, sangat tidak normal andai aku sedang haid ketika ini.

21 Julai - oleh kerana terlepas Ahad seperti yang diharapkan, aku membeli lagi Pregnancy Test untuk lebih kepastian. Sekali lagi, POSITIF. Semakin celaru fikiran ini, bagaimana aku yang tiba-tiba abnormal period ini boleh hamil?

22 Julai - oleh kerana terlalu sakit untuk bekerja, aku bercuti tanpa gaji semata-mata untuk mengenalpasti dan mengesahkan kehamilan. Setelah mengkaji klinik mana yang perlu dikunjungi untuk menjalani utrasound scan, akhirnya aku menemui Perdana Specialist Maternity, Taman Universiti, Skudai. Pelbagai perasaaan sebenarnya. Bermulalah pendaftaran di kaunter, sehingga menimbang berat badan. Terasa malu kerana berat badanku mencecah 90kg. Kecelaruan semakin meningkat apabila terlihat nama doktor yang terpapar di pintu itu adalah seorang lelaki. Hanya Allah sahaja yang faham kecelaruanku. Auratku ya Allah.... Oleh kerana tidak dapat mengundurkan diri, ku redah jua dugaan di hadapan,

Doktor Mohd Isa... penglihatan ku jaga supaya tidak terlalu melihat ketegasan doktor tersebut. Pelbagai nasihat buat pesakit sepertiku. Kegemukanku adalah suatu masalah yang aku perlu selesaikan dahulu sebelum aku meneruskan kehamilan.

Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata doktor Isa kepadaku. Kita sepatutnya makan mengikut masa. Bukan sarapan pada jam 10 atau 11 pagi, bukan makan tengahari jam 2 petang, bukan makan malam jam 10 malam. Makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang. Pengambilan makanan mengikut perkadaran. Paling penting, senaman.

Kata-katanya seperti seorang ustaz yang menyampaikan pesanan dan amanat. Ternyata aku jahil dalam permasalahan kesihatan.

Bertemankan seorang jururawat wanita, rahimku di"ultraosund scan"kan oleh doktor tersebut dan tiada sebarang tanda denyutan jantung, sehinggalah ke scan di bawah pangkal rahimku. Akhir sekali, doktor Isa mengambil darahku untuk dihantar ke makmal untuk menguji kehamilan. Aku diminta hadir lagi pada 24 Julai.

24 Julai - bermula dengan pertanyaan khabar dari doktor tersebut. Dia memberiku jawapan kepada ujian tersebut. Kandungan HcG ku 6xx mIU/ml (2 - 4 weeks). **Maaf gambar ujian keputusan tersebut tidak sempat diambil kerana telah diberikan kepada Hospital Kulai pada 31 Ogos yang lalu.** Sekali lagi nasihat diberi. Menurut hari pertama haid terakhir 29 Mei yang lalu, ujian ini tidak sepatutnya meberi keputusan sedemikan rupa. Pesanan dari doktor supaya menjaga kehamilan. Tapi perlu bersedia bahawa keguguran juga bakal berlaku. Kata-kata tersebut sedikit sebanyak memberi kesan negatif pada kotak fikiranku ini. Berpesan pada hati, aku hanya perlu berdoa dan bertawakkal. Sebarang kemungkinan pasti berlaku.

28 Julai - setelah pulang dari rumah terbuka ketiga (rumah Kak Norhuda) di Taman Impian Jaya (pertama - rumah Kak Anna, kedua - rumah Kak Azie), aku pulang ke rumah dan seperti kebiasaannya terus ke bilik air. Sekantung sebesar tapak tangan keluar. Hati semakin redha atas ketentuanNya. Tiada rezekiku kali ini. Redha seredha-redhanya.

29 Julai - bekerja seperti biasa. Akhirnya bercerita juga dengan rakan sekerja, Kak Anna. Keguguran ini menjadikanku lebih banyak membaca. Gentar pun ada. Kerana setiap keguguran mesti perlu berjumpa dengan doktor.

Perasaan takut membuatkanku melewatkan diri bertemu doktor. Akhirnya 31 Julai, Ahad, bersendirianku ke Kecemasan Hospital Kulai jam 9 pagi. Pelbagai jenis doa dan permintaan agar dipermudahkan segala urusan.

Aku dipanggil masuk ke bilik ultrasound. Rahimku di'scan' terlebih dahulu sebelum sebarang pembersihan dilakukan. 5 minit terasa seperti 5 jam sakitnya. Akhir sekali aku diberi suntikan "mengecutkan rahim". Dan pulang sehingga terlupa meminta surat cuti dari doktor.

Sesampainya di rumah, aku mual dan memuntahkan apa yang ada ketika itu kesan dari suntikan yang aku terima di hospital tadi. Sedari pagi aku belum makan apa-apa. Kerana khuatir ultrasound tidak dapat mengesan andai aku makan terlebih dahulu.

Aku menceritakan perihal yang berlaku kepada rakan jururawatku Ervina. Sahabat ini berpesan bahawa aku sepatutnya mendapat cuti sehingga 14 hari akibat keguguran. Setelah menghantar Haziq ke sekolah, aku terus kembali ke hospital tersebut untuk mendapatkan surat cuti yang sepatutnya aku terima.

Begitula perit getir seorang wanita hamil yang keguguran.









Khamis, 7 Ogos 2014

Interview - SPP

Assalamualaikum...


Terasa terlalu lama meninggalkan bidang penulisan ini...

Terlalu banyak isu-isu negara yang semuanya sedia maklum ~ Gaza ~ MH17 ~ Sabah ~ dan pelbagai lagi..

7 Ogos 2014 adalah tarikh di mana diri ini terpilih untuk menghadiri temuduga jawatan Pembantu Tadbir N17 SPP di Kolej Kesihatan Bersepadu, Kempas. Pengalaman yang menarik untuk dikongsi bersama.

Rata-rata calon temuduga muda belia belaka. Terasa pula ke'tua'an diri ketika itu. Secara jelasnya, ini merupakan temuduga pertama dalam sejarah hidupku untuk jawatan dalam kerajaan. Sekadar untuk menimba pengalaman baru setelah sekian lama tidak menghadiri mana-mana temuduga.

Kami berempat ketika sesi ketiga temuduga pada jam itu. 2 anak dara, seorang lelaki dan seorang wanita berusia iaitu aku. Panel kami ketika itu hanya 2 orang sahaja, Yang Berbahagia Dato' Haji Azmi Bin Che Mat dan juga Tuan Norazam Abdullah.

Perasaan diriku ketika itu ~ sangat santai. Kerana niatku hanya ingin menimba pengalaman baru dalam temuduga jawatan dalam kerajaan. 

Secara ringkasnya, seorang calon perlu bersedia melebihi 300 % dari segala aspek. Sentiasa peka dengan isu semasa, sejarah dan sebagainya.

  • Pengenalan diri hanya perlu menyatakan umur, status perkahwinan, pendidikan tertinggi dan akhir sekali pengalaman bekerja.
  • Ringkasan tugas, skop dan fungsi bidang tugas dari aspek pengkeranian dan aspek operasi. http://www.spp.gov.my/portal/images/PEMBANTU_TADBIR_PO.pdf
  • Nyatakan 'Anggota Kumpulan Pelaksana' yang lain selain Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) http://www.spp.gov.my/ (Orang Awam > Maklumat Bukan Guru)
  • Setakat ini bilangan Perdana Menteri Malaysia sehingga kini serta nyatakan dengan terperinci Perdana Menteri pertama sehingga kini. 
  • Setiap Perdana Menteri mempunyai gelaran 'Bapa' di hadapannya. Sila nyatakan. 
  • Soalan Sejarah : Tanah Melayu pernah dijajahi oleh orang asing. Sila nyatakan. 
  • Siapakah Menteri Pendidikan Malaysia kini? 
  • Prosedur apabila menerima surat. Nyatakan jenis surat yang diterima, samada sulit atau terbuka. Dan nyatakan prosedur seterusnya termasuklah merekod dan sebagainya.
  • Anda akan diuji dengan soalan apabila berlaku situasi, dan sebagai pembantu tadbir apa yang seharusnya anda lakukan? 
  • Sila nyatakan siapakah yang biasa dihubungi oleh pihak sekolah.
  • Slogan 1 Malaysia - jawapannya ada di sini 
 
  • SPP adalah singkatan bagi : 






Sekian, Selamat Berjaya!!!!!
Tahniah kepada calon yang berjaya!!

Selasa, 25 Mac 2014

Misteri Hilang MH370

Menyepimu Hilang
Menghilangmu Hairan
Manakah Hilangmu
Menyasar Haluan
Memutus Hubungan

Menyerlah Hiba
Menangisi Hilangmu
Mendoai HijabNya
Menagih Huraian
Menggamit Hiba
Menangis Hati
Menyentap Hela

Menghitung Hari
Menitip Harapan
Menangkis Hujah
Menagih Harapan

Menyusuri Hindi
Mengombak Hebat
Menoktah Hujung

Mohon Hilang Hiba
Memetrai Hikmah
Meredhai Hukum
Al-Malik (Yang Maha Agung)
Al-Kholiq (Yang Maha Pencipta)
Al-Muhaimin (Yang Maha Pengawal dan Pengawas)
Al-Hakam (Yang Maha Mengadili)
Al-Mutakabbir (Yang Memiliki Kebesaran)
Al-Hafiz (Yang Maha Memelihara)
Al-Muqit (Yang Maha Menjaga)
Al-Hasib (Yang Maha Menghitung)
Al-Mujib (Yang Maha Mengabulkan)
Al-Hakim (Yang Maha Bijaksana)
Al-Majid (Yang Maha Mulia)
Al-Haq (Yang Maha Benar)
Al-Matin (Yang Maha Teguh)
Al-Hamid (Yang Maha Terpuji)
Al-Muhyi (Yang Maha Menghidupkan)
Al-Hayy (Yang Maha Hidup)
Al-Mumit (Yang Maha Mematikan)
Al-Muakhir (Yang Maha Mengakhirkan)

Isnin, 17 Mac 2014

Bila Kita Suka Makan Sesuatu.............

Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh...

Terasa sangat minggu ini minggu suka memasak. Ada sahaja menu yang berlegar-legar dalam fikiran ini untuk santapan suami dan anak.

Menu utama untuk suami hanyalah Asam Pedas Daging. Menu untuk diri sendiri pulak Roti Jala bersama Kari Daging.

Amboi........................ Belum tunjuk gambar lagi ni....

Suami pernah pesan, "Kalau suka makan sesuatu tu, belajar buat sendiri." Sedia maklum, aku sangat menggemari roti jala. Walaupun aku tidak mepunyai kuali non-stick, aku tetap akan membuatnya.

Oleh kerana keprihatinan suami melihat kesungguhanku membuat roti jala, selepas solat Maghrib tadi, dia mengajakku ke Cowboy Kulai untuk membeli non-stick plate. 

Teruja yang amat sangat sehinggakan tidak menyedari aku makan roti jala jam 9.45 malam.

Jom belajar bagaimana menyediakan menu hari ini.

Asam Pedas Daging 

(Adaptasi Buku Resepi 1 Hari 1 Resepi Chef Hanieliza - 365 Resepi - muka surat 69)

0.5 kg daging rebus
1 biji tomato (dibelah 4)
5 helai daun limau purut
Garam
Air asam jawa + air bilasan air asam jawa
Daun ketumbar (saya ketiadaan bahan ini)

Bahan kisar :

0.5 cawan lada kering
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
2 batang serai
0.5 inci lengkuas
Sedikit belacan
2 biji buah keras
  1. Bahan kisar ditumis sedikit garing.
  2. Daging bersama air rebusan dan air asam jawa dimasukkan.
  3. Baki asam jawa tadi ditambah air sekali lagi dan dimasukkan ke dalam kuali.
  4. Tomato pula dimasukkan bersama garam untuk diperasakan.
  5. Apabila tomato sudah masak sepenuhnya, daun limau purut pula dimasukkan.
  6. Hidangan ini sesuai dimakan bersama nasi putih.

Kari Daging

0.5 kg daging rebus (digaul dan diperap bersama garam dan serbuk kari daging)
2 keping asam gelugor
1 batang lobak (dipotong mengikut citarasa)
4 biji kentang (saya ketiadaan bahan ini)
0.5 paket kecil serbuk kari daging dan ayam (Adabi)
1 senduk santan pekat (Kara)(Elemen terakhir)
2 - 3 cawan air
2 sudu kecil garam
2 sudu makan gula

Bahan hiris :

1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia

2 - 3 batang daun kari (saya ketiadaan daun kari ketika ini)(ditumis bersama bahan hiris)
  1. Bahan hiris ditumis bersama sehingga naik wangi.
  2. Daging yang diperap tadi pula dimasukkan dan ditambahkan serbuk kari serta dibiarkan sehingga pecah minyak.
  3. Air dimasukkan bersama lobak, asam keping, garam dan gula.
  4. Setelah lobak masak sepenuhnya, santan pula dimasukkan.
  5. Sangat sesuai dihidangkan dengan nasi putih ataupun roti.


Roti Jala Berwarna

Bahan kisar bancuhan tepung :

3 cawan tepung gandum
1 sudu kecil garam
1 biji telur
0.5 cawan santan pekat kotak (Kara) dibancuh sehingga menjadi 1 cawan penuh
2 cawan air

Pewarna Hijau
Pewarna Merah
(andai ingin menggunakan 1 warna sahaja, kebiasaanya kuning, pewarna kuning atau serbuk kunyit boleh dikisar bersama dengan bahan bancuhan tepung)
  1. Bahan bancuhan tepung dikisar sebati.
  2. Dua bahagian diasingkan mengikut warna, hijau dan merah.
  3. Dijala berselang seli.
  4. Sesuai dimakan bersama kari daging yang pekat.
 Inilah hasil roti jala saya


Sumber inspirasi Mama.... Muhammad Haziq Fitri

Jumaat, 14 Mac 2014

Mee Rebus Pertamaku

Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh...

Alhamdulillah.... diizinkan Allah sekali lagi untuk saya menyediakan hidangan terbaik untuk suami dan anak. Saya akui saya banyak melakukan 'research' sebelum memasak hidangan yang tidak pernah saya masak selama ini. Apapun, untuk menjadi 'chef' terhebat keluarga, saya perlu banyak membuat kajian dan percubaan.

Selama ini saya hanya menjamu mee rebus di kedai-kedai biasa sahaja. Apalah salahnya kali ini saya mencuba sendiri bagaimana menyediakannya.

Hidangan ini adalah gabungan Mee Rebus Hj Wahid dan Mee Rebus 5 Rencah 5 Rasa.

Bahan-bahan :

1 paket mee kuning (500g) (dicelur) 
3 senduk kacang tanah kisar (lebihan kacang ketika menyediakan kuah kacang)
2 - 3 sudu besar rempah kari daging (Adabi)
Garam
Gula (pasir+merah+melaka)

Bahan kisar tumis :

1 ulas bawang besar
2 ulas bawang putih
0.5 inci kunyit hidup
0.5 inci halia
0.5 cawan udang kering

Bahan rebus kisar :

300 g daging + air rebusan daging
2 biji keledek (putih + merah)
0.5 cawan tauchu (dibasuh)

Bahan titik :

0.5 inci lengkuas
2 - 3 batang serai

Tepung Udang Kering :

0.5 cawan udang kering tumbuk + 0.5 cawan tepung gandum + sedikit serbuk kunyit + garam + air
(gaul rata dan dipercikkan pada minyak panas)

Hiasan :

Tauhu (digoreng dan dihiris nipis)
Taugeh (dicelur)
Telur rebus (dibelah dua)
Cili hijau (dihiris nipis)
Daun sup (dimayang)
Bawang goreng
Limau kasturi
Sedikit cuka 
Sedikit kicap


  1. Bahan kisar tumis dan bahan titik ditumis bersama.
  2. Rempah kari dimasukkan.
  3. Bahan rebus kisar pula dimasukkan.
  4. Sendukkan kacang tanah dan dibiarkan mendidih.
  5. Garam dan gula diperasakan.
  6. Siap dihidang.






Selamat Menjamu Selera........

Khamis, 13 Mac 2014

Pertama Kali Mencuba Memasak Masakan Ini

Assalamualaikum Waromatullahi Wabarokatuh...

Minggu yang penuh dengan hidangan dan masakan istimewa. Alhamdulillah, atas izin Allah jua aku mampu memasaknya.

Menu petang ini,

Sup Tulang Merah

(Adaptasi dari Resepi Baba's Cubit ~ menggunakan Pressure Cooker)

~ oleh kerana saya tidak memiliki periuk tekanan, saya olahnya mengikut kesesuaian peralatan memasak saya di dapur ~


Bahan-bahan :

1 kg tulang lembu + sedikit daging lembu (dibasuh dengan tepung gandum/garam/limau nipis - direbus bersama garam + halia + serai)
1 inci halia (dihiris)
3 sudu makan tomato puree (Kimball)
3 sudu makan sos tomato (Kimball)
1 - 2 lobak (dibelah mengikut citarasa)
3 - 4 biji kentang (dibelah 2/4 mengikut citarasa)
2 - 3 sudu makan rempah sup (Adabi)
sedikit garam (Faiza)
sedikit gula
sedikit air
tepung gandum (Bunga Kenanga) (atau tepung jagung + air) (kerana saya kehabisan tepung jagung ketika ini)
2 biji telur (dipukulrata)(Elemen paling akhir)


Bahan kisar :

1 cawan lada kering (direbus dahulu - dibuang seberapa banyak biji) (boleh diganti dengan 2 sudu besar cili boh)
2 labu bawang besar
4 ulas bawang putih


  1. Bahan kisar ditumis sehingga sedikit garing.
  2. Halia dimasukkan.
  3. Rempah sup ditambah.
  4. Air bilasan bahan kisar dimasukkan bersama kentang dan lobak.
  5. Apabila kentang dan lobak sudah lembut sepenuhnya, sos tomato dan tomato puree ditambahkan.
  6. Perasakan garam dan gula.
  7. Tulang dan air rebusan dimasukkan bersama setelah kuah menjadi sedikit pekat.
  8. Tepung gandum dimasukkan sekiranya kuah kelihatan agak cair.
  9. Telur dituang sekeliling kuah dan dibiarkan seketika sebelum digaulkan bersama.
  10. Hidangan ini sesuai dimakan bersama nasi putih atau roti.

Selamat Mencuba!!!!

Rabu, 12 Mac 2014

Menunaikan Hasrat Suami

Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh....

Alkisah...... Sejak kami mendiami rumah ini, pemilik asalnya memang menjadikan laman tepi dan belakang rumah sebagai tempat menanam pisang. Alhamdulillah.... rezeki kami anak-beranak menikmatinya pula. 

Ada 5 batang pokok pisang yang sedang menjadi-jadi hasilnya. Salah satunya telah pun ku hadiahkan seawalnya kepada jiran kami Kak Nahi. Salah satunya pula membiak di luar pagar kediaman belakang sehingga memasuki kawasan kejiranan warganegara Nepal/Bangladesh yang menyewa di situ. Jantung pisang pertama telah ku berikan kepada kakak birasku, Kak Rini. 

Suatu hari, encik suami membuat permintaan..... Untuk merasai jantung pisang tersebut bersama kuah kacang. Dengan izin Allah, tertunailah hasrat suami untuk menikmati juadah tersebut setelah berhasilnya jantung pisang pokok kedua.

Menjadi kebiasaanku bermula seawal 4 petang, masakan perlu disediakan memandangkan suami akan pulang dan sampai di rumah seawal 5.45 petang. 

Menu paling mudah petang ini......

Nasi Impit

2 cawan beras
5 - 6 cawan air
3 - 5 helai daun pandan
sedikit garam
  • Beras dicuci bersih dan ditanak seperti memasak nasi biasa. 
  • Nasi dikerapkacaukan.
  • Apabila sudah masak, loyang beralas daun pisang digunakan untuk meng'impit' nasi tersebut.
  • Apabila nasi sudah dipadatkan, biarkan ia sejuk secara suhu dapur sebelum dipotong dan dihidang.

Resepi Kuah Kacang

2 - 3 cawan kacang tanah (disangai - dikupas kulit - dikisar kasar) (boleh juga digoreng/direbus - tidak dikupas kulit - ditumbuk)
1 - 2 sudu makan gula pasir
1 sudu makan gula merah *
1 sudu makan gula melaka *
2 -3 cawan air (atau ditambah sedikit air asam jawa *)

Bahan titik

1 inci lengkuas
2 - 3 batang serai

Bahan kisar

1 cawan lada kering (direbus) (boleh juga digoreng)
2 ulas bawang besar
4-6 ulas bawang putih
0.5 - 1 inci kunyit hidup (boleh diganti dengan serbuk kunyit)
sedikit belacan bakar
buah keras *

* Bahan ini hanya tambahan sahaja bergantung kepada keberadaan dan keperluan bahan tersebut.

  1. Minyak dipanaskan dan bahan kisar tadi ditumis bersama bahan titik.
  2. Apabila bahan tumis sedikit garing, kacang tanah dimasukkan bersama air. (Penggunaan air bergantung kepada kepekatan kuah)
  3. Apabila mendidih, perasakan dengan menambah garam dan gula.
  4. Hidangan kuah kacang ini boleh dimakan bersama nasi putih, nasi impit dan ulam-ulaman.
ATAU 

Menurut petua mama saya,

  1. Semua bahan kisar dan kacang tanah digoreng terlebih dahulu.
  2. Kemudian, ditumbuk kesemuanya.
  3. Gula dan garam ditumbuk bersama.
  4. Air masak ditambahkan dan disesuaikan berdasarkan kepekatan kuah yang dikehendaki. 
  5. Siap dihidang.

Ulam-ulaman 

(Apa sahaja jenis ulam-ulaman boleh dimakan bersama kuah kacang)

Ulaman yang ada di dapurku ketika ini :

  • Jantung pisang (dibelah dua dan dibelah tengah separuh setiap belahan) (rebusan air + garam + gula + minyak) (untuk mengelakkan hitam pada jantung pisang, 1- merebus bersama pucuk ubi, atau 2 - direbus kaedah "deep boiling"/jangan biar ia terapung - rendamrebus sepenuhnya)
  • Kacang panjang (dipatahkan mengikut citarasa - dicelur)
  • Timun (kulit dibuang secara berselang-seli - dibelah tengah secara memanjang - dihiris sederhana nipis/tebal)

Tambahan :

Tauhu (dibelah dua menjadi segitiga - digoreng menggunakan minyak yang betul-betul panas)
Telur rebus (direbus air + garam - setelah diyakini masak sepenuhnya, api ditutup dan telur tersebut direndam menggunakan air sejuk - biarkan selama mungkin - kulit dikupas - dibelah dua)

Alhamdulillah.... Selamat Menjamu Petang