Ahad, 15 September 2013

Kehilangan yang Tidak Diduga

Jumaat, 13 September 2013

Haziq berkelakuan sangat pelik. Mengamuk setiap masa, setiap saat. Ada sahaja yang tidak kena pada pandangannya. Sehinggakan aku sendiri tidak sanggup untuk memarahinya seperti selalu. Amukannya mendetikkan sesuatu di benakku. Perasaan apakah ini?

Awal sungguh suamiku pulang dari kerja. Dan dalam masa yang sama, sakit kepala menyerang kembali, tetapi kali ini benar-benar membuatkanku kurang melayani kerenah Haziq. Suamiku secara tiba-tiba meminta dirinya dipeluk. Berbantalkan lengannya, aku merasakan kehangatan luar biasa. Demam. Segera ku ambilkan sebiji Panadol 650 bersama air suam kepada suamiku. Jam baru sahaja menunjukkan jam 8 malam. Aku mengambil keputusan untuk melenakan Haziq yang ragamnya sangat menimbulkan tanda tanya. Aku terlelap setelah azan Isyak berkumandang. 

Telefon suamiku berdering. Deringan pertama tidak diangkat kerana kami terlelap. Deringan kedua segera diambil oleh suamiku. Tanpa membalas sebarang perkataan, akhirnya telefon tersebut dihempas ke atas katil oleh suami. Aku yang baru terlelap, terkejut dan bergegas bangun. Ku ajukan soalan bertalu-talu.. "Kenapa yang?"

"Acik baru telefon tadi.."
"Kenapa?" dengan nada yang sangat rendah.
"Emi meninggal..."
"Emi mana wak?"
"Emi Kak Rini.."
"Kak Rini mana?" aku semacam tergamam...
"Emi Kak Rini... Along..."
Aku seperti hilang kawalan... Terduduk seperti orang yang hilang arah. Aku membentak.. "Bukan tu.... salah orang tu...."

Suamiku menenangkan diriku. Aku hilang kawalan sekali lagi. Keluar dan masuk bilik beserta fikiran yang sangat kosong. Suamiku bergegas ke rumah ibunya. Aku pula diminta bersiap dan menantikan kepulangannya dari rumah ibunya. 

Aku bersiap mengenakan kurung pemberian Kak Timahku. Aku mengemas kenderaanku dengan menurunkan barang pertukangan suamiku. Kerusi belakang keretaku ku tegakkan semula. Memikirkan untuk meletak Haziq yang lena. 

Suamiku pulang dengan memberi arahan supaya aku menenangkan ibu mertuaku itu. Suamiku pula menunggang motornya untuk bergegas ke Hospital Kulai. 

Ibu mertuaku menangis dengan tiada henti. Ditenangkan oleh jiran bersebelahan, Kak Zie dan Makcik Bibah. Aku yang memangku anak yang tidur terduduk di bahagian luar ruang tamu mertuaku. Aku hanya mampu berFatihah. Terlihat pula kedatangan anak saudaraku Zaim, Zurina dan AG yang merupakan adik kepada arwah di muka pagar. Zurina menangis sambil meluru ke arahku. Tangisan yang tidak mampu lagi ku bendung. Berderai juga akhirnya....

Berjam sudah aku menunggu. Panggilan dari suami benar-benar menyayat hati. 

"Dia langgar treler lori kontena Konsortium KLB."
"Mukanya pecah..."
Talian tersebut sengaja diputuskan agar aku tidak bersoal banyak.

Tidak tergambar rasanya, kerana bermacam andaian terlintas di fikiranku ini. Ya Allah....... kuatkanlah aku...

Diriku meronta untuk ke hospital. Menghantar pesanan ringkas kepada suami agar diizinkan ke sana, tetapi tegahan yang aku terima. "Takut nanti awak pengsan..."

Jam 1200 pagi, sedang aku membacakan doa tahlil, panggilan telefon ku terima dari Kak Timah. Menggesa agar ruangan tamu dikemas. Sepantas kilat aku mengemaskannya bersama Pak Icam dan anak Kak Jah. 

Panggilan seterusnya ku terima dari suami, 

"Ni kaklang nak cakap...."
"Ye kak..."
"Tolong hantarkan 2 helai batik lepas dan 1 helai tuala."
"Baiklah kak..."
"Hantar ke rumah mayat ye..."

Dengan segera aku melaksanakannya. Aku titipkan Haziq kepada Kak Linda ku sementara aku ke hospital. 

Pertama kali aku ke rumah mayat hospital tanpa ditemani sesiapapun di sisi. Aku beranikan diri memandu ke sana. Akhirnya aku tiba. Kehairanan aku menerpa. "Mana semua orang parking kereta?"

Aku memberanikan diri ke ruangan menunggu.

Hilang arah sekali lagi. Aku mencari Kaklong Shasha... Aku perlu berjumpa Kak Riniku. Aku segera memeluknya. Semangatku ini ingin sahaja ku salurkan kepada kakak birasku itu tetapi kuatkah aku?

Suamiku segera memanggilku. Menceritakan kesemuanya secara terperinci.

Tidak berdaya rasanya untuk mendengar kerana setiap penceritaannya membuatkanku terbayang keadaannya. 

Keputusan X-ray menunjukkan kecederaan teruk di bahagian kepala di mana hentakan kuat pada lehernya membuatkan arwah kesesakan nafasnya. Keadaan motornya benar-benar di bahagian antara dua tayar kanan treler menyebabkan motornya melekat dibelakang treler tersebut. 

Arwah meninggal ketika dalam perjalanan dari Machap menaiki ambulans ke Hospital Kulai.

Aku meluru semula ke arah anak saudaraku yang merupakan kakak sulong kepada arwah. Betapa sebaknya melihat keadaannya yang sangat terkejut mendengar berita ini. Disangkanya hanya kemalangan biasa, rupanya setiba di hospital, barulah dia ketahui bahawa adiknya sudah pergi meninggalkan kita semua. 

Aku diajak untuk melihat arwah. Tanganku digenggam oleh anak saudaraku Dekna supaya kuat untuk menatap wajah arwah. Kain diselak. 

Ku tatap wajahnya buat kali terakhir........ Akhirnya aku redha atas pemergiannya. Pelbagai kenangan bersama terlintas di fikiran ini. Hampir 4 tahun kami saling mengenali. Pelbagai keletah, senyuman, gurauan, terbayang di fikiran. Allah lebih menyayanginya. 

Jenazah diusung untuk dimandikan. Aku hanya menanti di luar bersama semua anak saudaraku yang lain. Pelbagai cerita yang aku dengar. Aku hanya menguatkan diri untuk menguatkan semangat adik beradik kepada arwah. Kak Rini ku peluk lagi. Kerana aku sendiri tidak sanggup melihat apatah lagi bahu yang memikul. 

Jam 1.30 pagi, selesai dikafankan, dibawa pula pulang ke rumah Senai. Bergilir-gilir kami membacakan Yasin. Akhirnya jam 3.30 pagi, suamiku mengajakku pulang ke rumah untuk melelapkan mata seketika. 

Lelapanku itu melajakkanku ke jam 6.30 pagi. Ketika itu, Kak Timah dan Kak Linda ku datang untuk menggoreng karipap mertuaku yang sepatutnya dijual tetapi dijadikan juadah kepada tetamu yang hadir. 

Persiapan diri dilakukan bersama Haziq. Selesai bersarapan, aku bersama Kaklong Shasha ke rumah mertuaku di mana jenazah ditempatkan. Anakku ku titipkan bersama ayahnya yang seawal pagi telahpun ke situ. Aku bersama anak saudaraku yang lain membacakan Yasin. 

Jam 9 pagi, van jenazah tiba untuk membawa pulang jenazah ke rumah ibu bapanya di Felda Ulu Tebrau. Aku bersama suami, Haziq dan Zurina mengikut kenderaan tersebut ke destinasi. 

"Akhirnya sampai juga Emi kat rumah dia..." tutur suamiku.
Aku terus mengalirkan air mata tanpa sebarang kata. Sebak di dada ini hanya Allah sahaja yang mengetahui. Bercucuran air mata ini tanpa henti. Mujur ketika itu Haziq seakan memahami situasi yang berlaku. Tiada amukan seperti semalam. Tiada tangisan seperti semalam. 

Kelibat Alongku yang merupakan ayah kepada arwah membuatkanku tersentuh sekali lagi. Aku pernah merasa kehilangan seorang ayah, kini, Alongku pula merasa kehilangan anak. Perasaan itu tetap sama. Perasaan kehilangan yang sangat terkilan. 

Selesai seluruh warga Felda Ulu Tebrau menatapi arwah buat kali terakhir, jenazah dibawa ke masjid untuk disolatkan. 

Penceritaan dari ibu kepada arwah......

"Hari Merdeka haritu, Emi balik. Dia cakap, Mak, lepas ni Emi lama tau tak balik..."

Penceritaan dari anak saudaraku Zurina....

"Pasni aku da tak balik lagi sampai bila-bila..." 

Penceritaan dari anak saudaraku Zulaikha....

"Ko ngan Zack ada duit tak... kalau takde aku ade sikit..tuk korang guna nanti."

Di tanah perkuburan, ibu mertuaku menangis sekuat hati seolah tidak percaya apa yang sedang berlaku. Aku yang hampir sekali lagi menitiskan air mata, ditenangkan oleh Kak Rini dan Dekna. Aku bukanlah orang yang kuat untuk menahan sebak di dada. Pastinya akan menangis jua.

Jam 11 pagi, selesai sudah talkin dibacakan. Sepanjang talkin dibacakan, ku lihat abang iparku Along tersedu-sedu menangis di belakang imam. Betapa fahamnya aku tentang perasaannya itu. Ku lihat juga rakan-rakan baik arwah menitiskan air mata kerana kehilangan rakan yang baik sepanjang perjalanan hidup sebagai remaja. 

Mati itu adalah benar...................... Tidak mengenal usia, pangkat dan darjat....

Aku juga memahami perasaan anak saudaraku Zulaikha kerana kehilangan adik yang disayangi. Hanya bacaan Yasin yang mampu menenangkan sebak di dadanya. Aku juga turut menguatkan semangat agar dilihat kuat di hadapan anak saudaraku itu. Namun aku tidak mampu membohongi perasaan yang wujud dalam diri ini. Allah lebih mengetahui segala-galanya.

Along sering sahaja menangis. Terkilan yang amat sangat. 

Arwah selalu pulang ke rumah dengan kejutan. Kali ini kepulangannya benar-benar mengejutkan. Hajatnya untuk selamat sampai ke rumah akhirnya ditakdirkan untuk menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah terlibat dalam kemalangan jalanraya. Konvoi pulang berakhir dengan satu tragedi yang sangat menyayat hati. Dia yang berada di belakang konvoi, akhirnya dikejutkan dengan sesuatu di luar dugaan. Rakan di hadapannya yang sedang memotong lori tersebut terdengar letupan yang sangat kuat sehingga menyebabkan lori tersebut berhenti. Dan apabila dilihat, Zulhilmi yang tersepit di belakang treler lori berkenaan sehingga menyebabkan tayar kenderaan tersebut pecah. Rakan lain yang berada di hadapan segera memberhentikan motor masing-masing tanpa mematikan enjin, serta meninggalkan keperluan berharga semata-mata untuk berkejar melihat apa yang berlaku.

Rakan yang memangku arwah sempat mendengar ungkapan "Sakit" dari arwah. Kalimah Lailahaillallah.. juga sempat ditutur oleh arwah sebelum darah menyembur keluar dari mulutnya. Arwah rebah. Dari terang sehingga ke gelap menanti ambulans. Ketika dalam perjalanan dari Machap sehingga ke Kulai itulah arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir meninggalkan kita semua bertemu dan mengadap Illahi seperti yang tertulis di Luh Mahfuz. 

Rakan arwah tersebut melawat Kak Rini petang tadi dan menyalahkan dirinya kerana menukar helmetnya dengan helmet arwah. Kak Rini hanya membalas "Tidak perlu menyalahkan diri sendiri.. ini semua sudah tertulis. Sekalipun sedang berbaring menontoon televisyen, andai takdir untuk mengadap Illahi, pastinya akan berlaku."

Arwah ditegur oleh rakannya kerana tayar belakangnya ada menunjukkan tanda-tanda bermasalah, Arwah hanya menjawab, "Sesampainya nanti di rumah, adikku Zack akan membetulkannya."

Pelbagai cerita... Masing-masing mempunyai cerita yang berbeza sebagai tanda ingatan Allah kepada kita. Setiap yang berlaku itu telah pun ditentukan...........

Moga Allahyarham Zulhilmi Azman ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin.. Amin.... Amin Ya Robbal'alamin....

Al Fatihah...................................................................................................................................

Tiada ulasan:

Catat Ulasan