Isnin, 19 Ogos 2013

Dunia Sementara ~ Akhirat Kekal Selamanya

Kesibukan duniawi masa kini jauh lebih berbeza jika dibandingkan dengan zaman-zaman sebelum ini. Seawal Zaman Nabi Adam A.S sehingga ke Zaman Rasulullah S.A.W. Berlanjutan sehingga Zaman Para Sahabat. Dan seterusnya......

Jika dahulunya kita diajar mengenai sejarah zaman-zaman terdahulu bagaimana seorang isteri dan ibu melaksanakan tugas berlandaskan syariat Islam. Tugas-tugas tersebut langsung tenggelam dek zaman yang lebih kepada ke'BARATan' semata-mata. 

Teringat pula ketika menulis karangan ketika alam persekolahan mengenai penjajahan Barat di dalam jiwa masyarakat Islam masa kini. Amat membimbangkan. Semoga Allah melindungi kita semua di dunia dan akhirat. 

Memang benar, peredaran masa kini menjadikan semua wanita lebih berkerjaya. Tidak mengira apa jawatan dan sektor sekalipun. Seorang isteri juga seorang wanita yang sudah bergelar ibu terpaksa bekerja demi membantu suami. Secara kasarnya, kita akan melihat keluarga yang memiliki harta dunia, mampu berdiri megah di mana sahaja mereka berada. Manakala keluarga yang berpendapatan sederhana mahupun rendah, sentiasa memikirkan setiap saat bagaimana untuk meneruskan kelangsungan kehidupan yang kini bertaraf lebih tinggi. 

Jadikan Allah sebagai yang pertama dalam kehidupan kita selama-lamanya.

Andai gajimu setiap bulan dilihat sangat sedikit... Bersyukurlah atas pemberianNya. InsyaAllah kita akan sentiasa berasa cukup dengan apa yang ada. Allah sedang menguji sifat kesederhanaanmu....

Andai gajimu mencecah lima ke enam angka.. Andai tidak bersyukur atas pemberianNya, pastinya sentiasa berasa tidak cukup dengan apa yang ada. Semakin rancak pula bermegah-megah dengan harta dunia. Semakin melatah pula sehingga sering menukar-nukar aset dunia - rumah, kereta dan sebagainya -. Berlumba-lumba mengejar harta dunia. Sehingga terlupa akan pemberian Allah kepada kita. Terdetik riak di dalam jiwa tanpa disedari. Sedikit demi sedikit.. Semakin banyak dan menebal di dalam jiwa. Na'uzubillah... 

Aku juga menulis blog ini sebagaimana untuk mengingatkan diri sendiri akan penyakit hati yang semakin menular di kalangan masyarkat Islam kita pada hari ini.

Jika dahulunya, hanya suami sahaja yang keluar mencari rezeki, tetapi kini isteri juga perlu keluar bekerja bagi membantu suami. 

Teringat pula ketika menjalani kursus 'Team Building'. Di hadapan cermin, terlihat akan diriku, dan aku pun berkata, "Saya ingin menjadi ibu yang berkerjaya yang berjaya"

Ya Allah.... Aku ingin menjadi ibu yang berkerjaya sebagai surirumah sepenuh masa yang berjaya dalam mendidik anak-anak sebagai anak akhirat yang menghuni syurgaMu selamanya. Aku bukanlah dari sekolah agama tinggi sepertimana mereka yang lain. Aku berusaha ke arahMu ya Allah.. Aku ingin sentiasa dekat denganMu. Izinkanku mendidik anak-anak serta zuriat keturunanku menjadi hambaMu yang sentiasa mendapat keredhaan dan keberkatan dariMu. Aku tidak mahu lagi berlumba-lumba mencari harta dunia semata-mata demi kelangsungan hidup akan datang. Kerana kehidupan akan datang bukan terletak pada dunia, tetapi pada kehidupan akhirat yang kekal abadi. 

Betullah bak kata suamiku tadi ketika makan malam di Saleng tadi, setiap orang itu berlainan perwatakannya. 
~ Tidak semestinya seorang ustazah itu memiliki Ferrari kerana ingin menunjuk-nunjuk, tetapi untuk memenuhi kehendak hatinya atas usahanya sendiri tanpa meminta-minta belas orang lain. Masyarakat sekeliling pula bersangka buruk bahawa ustazah ini sengaja memperlihatkan kemewahannya.
~ Ada segelintir pula, memiliki wang yang sangat banyak, tetapi tidak mahu langsung memperlihatkan kekayaannya dengan harta benda, malahan mereka sentiasa bersederhana dalam kehidupan. Masyarakat pula berfikiran negatif dengan menyatakan mereka kedekut, ditakuti akan ada yang meminta-minta.
~ Yang lebih teruk, tidak berharta, tetapi menunjuk-nunjuk bahawa mereka memiliki segala-galanya. Yang pelik pula, masyarakat berbangga-bangga dengan sikap mereka ini.

Sebagai hamba Allah yang dididik sedari kecil lagi dengan hukum-hukum Islam, hendaklah kita sentiasa bersangka baik dengan sesiapa sahaja di sekeliling kita. 

Berbaik sangkalah kita dengan Allah.... itu yang paling utama. Kerana Pencipta ini lebih mengenali hati budi hambaNya. 

"Belajar tinggi-tinggi takkan tak keje pulak, kan? Bazir duit jer..." Penyataan yang amat mengguris hati. Bagaimanapun aku memahami maksudnya yang tidak sengaja itu bukan dengan niat untuk ditujukan kepadaku. Kerana bersangka baik, menjadikan hati ini redha. Ilmu yang penuh didada ini pastinya akan ku manfaatkan untuk zuriat keturunanku juga masyarakat sekeliling sepanjang hayatku. 

Arwah ayahandaku pula pernah berbicara, "Orang pompuan ni, belajar tinggi mana pun, ke dapur jugak!" Kerana memikat hati suami mestilah dengan masakan air tangan sendiri bukannya dengan masakan restoran mewah di luar. 

Dahulunya aku bekerja. Boleh dikatakan sangat sibuk bekerja sehinggakan waktu makan dan waktu solat dilewat-lewatkan. Ku abaikan memasak untuk suami atas alasan kepenatan bekerja. Boleh ku kira dengan jari berapa kali sangatlah aku memasak untuk suami. Di situ aku rugi memikat suami dengan masakan.

Ketika bekerja, komitmen sepenuhnya ku berikan kepada majikan sehinggakan bekerja itu lebih penting dari segala-galanya. Untuk meredakan hati, "Kerja juga merupakan ibadah.

Ketika belum berkahwin, keluar lewat setelah habis waktu bekerja tidak menjadi masalah. Setelah berkahwin dan mempunyai anak, sesaat pun aku tidak mahu lewatkan kerana kebimbangan terhadap suami yang sentiasa risau jika aku lewat sampai di rumah, kerisauan terhadap anak yang 14 jam tidak bersua muka dengan ibunya. Iaitu dua jam rugi di atas jalan raya pergi dan balik kerana kejauhan tempat bekerja dengan rumah kediaman, 12 jam lagi waktu bekerja wajib oleh majikan kerana beribadah kepada Allah.

Dari itu hatiku berdetik, anakku semakin membesar. Aku terlepas melihat saat-saat pertamanya anakku meniarap, merangkak, berdiri, berjalan dan sebagainya. Malahan orang lain yang berkesempatan menjadi orang pertama yagn melihat kecerdikan anakku. Tercabar diri ini sebagai ibu kandung anakku Haziq. Aku untung dari segi wang ringgit tetapi aku sangat rugi kerana terlepas melihat keajaiban yang Allah ciptakan khas untukku. Betapa ruginya aku ketika itu kerana terlepas segala-galanya. Secara drastiknya, aku bertekad untuk bekerja pula dengan suami sepenuh masa. Menjadi surirumah sepenuh masa. Bekerja dengan suami dengan niat beribadah kepada Allah. Mulia sungguh tugasan itu.

Memang benar, jika terlampau sibuk bekerja, kita terlupa bahawa tanggungjawab paling wajib kita perlu laksanakan untuk suami dan zuriat kerana Allah. Duniawi inilah yang menjadikan kita berubah mengikut peredaran semasa sekaligus menjadikan masyarakat Islam berubah dan tersasar dari landasan syariat Islam. 

Ada nada-nada sinis menyatakan bahawa aku beruntung kerana suami bergaji besar. Itu adalah tidak benar sama sekali. Kini, suamiku bekerja bersama abangnya. Sudah semestinya terdapat banyak kekangan untuk memiliki gaji sebagaimana dahulunya yang pernah bekerja sebagai pemandu lori kontena yang mampu mencecah sehingga lima angka sebulan. Keluhan suami menyatakan bergaji besar mana sekalipun jika tidak mempunyai masa  yang berkualiti bersama keluarga, pastinya kehidupan penuh dengan kerugian. Biarlah bersederhana, asalkan memiliki masa lebih bersama keluarga dalam mendidik isteri dan anak-anak, itulah yang paling menguntungkan. Bersyukur dengan apa yang ada, akan menjadikan kita berasa cukup dengan apa yang ada.

"Demi masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar (3)" 
Al-Qur'anul Karim, Surah Al-Asr (103) Ayat 1 hingga 3

Seringkali melihat status rakan-rakan yang meng'upload' gambar kereta mewah, gambar keseronokan percutian luar negara kerana kejayaan dalam perniagaan masing-masing di laman sosial, seringkali itu juga aku berasa cemburu melihat kemewahannya. Cukuplah perasaan itu. Hindarkanlah ia ya Allah jauh dari pandanganku kerna ia mampu merosakkan jiwa rohaniku. Muhasabahlah diri dengan sangkaan yang baik-baik belaka, malahan menjadi pendorong kepada diri ini agar lebih berusaha dan mendorong mereka agar lebih berjaya di dunia dan di akhirat kelak. Bersyukurlah dengan kemewahan bekalan akhirat yang tidak terlihat di mana-mana status laman sosial, hanya terlihat oleh Allah sahaja. 

Sebagai renungan bersama..........

Menurut Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : "Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan