Selasa, 2 Ogos 2016

Keguguran : Kehamilan Kedua Kami

My First Misscarriage

Assalamualaikum...

SubhanAllah... lama sungguh tak mencatatkan segala rekod harian di diari ini.. Rasanya hampir 2 tahun meninggalkan catatan penulisan ini.. Terdetik di hati untuk mencatat semula apa yang telah berlaku sepanjang tahun-tahun yang lalu..

Untuk perkongsian pertama pada tahun 2016 ini, berkenaan dengan keguguran anak kedua kami pada usia kandungan yang sepatutnya 8 minggu 2 hari. Walau bagaimanapun, menurut keputusan ujian darah pada 24 Julai yang lalu, kandunganku berusia dalam lingkungan 2 hingga 4 minggu.

Kisah ini bermula pada 29 Ramadhan yang lalu, iaitu 3 Julai 2016. Seperti dua tahun lepas berturut-turut, aku berpuasa penuh tanpa perlu meng"qada'"kan puasa disebabkan oleh kitaran haid yang tidak teratur sejak melahirkan Haziq pada tahun 2011. 

Pada 3 Julai tersebut, diriku mendapat petunjuk bahawa aku tidak dibenarkan berpuasa dan menjalani sebarang ibadah kerana diberi cuti istimewa oleh Yang Maha Esa. Namun begitu, pada keesokan harinya, 4 Julai, tiada langsung tanda bahawa aku sedang didatangi darah haid. Aku mengambil keputusan untuk berpuasa pada hari terakhir Ramadhan tersebut tanpa sebarang keraguan. Kebetulan pula ketika itu, aku bercuti awal sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma. 

Menjelang raya pertama (5 Julai) di Ayer Hitam, keluar sedikit darah yang padaku sangat luar biasa berlaku. Terlalu sedikit sehingga menimbulkan pelbagai keraguan dan tanda tanya. 6 Julai - tiada sebarang tanda. 7 Julai - juga tiada sebarang tanda. Berlarutan sehingga 11 Julai. 

Pada 10 Julai tersebut aku mengambil keputusan untuk membeli "Pregnancy Test" di Kinabalu Pharmacy sebelum pulang ke Senai. Sebenarnya pada tarikh tersebut aku pulang ke Ayer Hitam untuk menguruskan adikku, Didie untuk memulangkan kereta sewa yang disewanya sejak 1 Syawal, 5 Julai yang lalu akibat kemalangan jalanraya. 

Oleh kerana pada masa itu aku bergegas untuk ke Senai, ** almaklumlah encik suami saya ni pengugut terhebat.. tak balik cepat nanti asyik kena marah aje.... ** Tak senang diri ni nak balik rumah mak sendiri. Biarlah dia baca, supaya suatu hari nanti dia sedar, sikap ugut dia ni la punca segala-galanya. Supaya nanti bila dia diizinkan berumahtangga lagi, dia tak bersikap menggesa, mendesak sepanjang masa. Kesian pada isteri ini... terpaksa bawa kereta laju-laju, sampai tak sempat buang air besar dan kecil. 

Sambung semula ceritaku... (tiba-tiba off pulak laptop tadi sebab laptop dah berusia, tak boleh alih)

Apa keputusan preganancy test tu???

Ujian kehamilan pada 10 Julai 2016

Slightly positive.. tapi saya tidak menjadikan ini sebagai kegembiraan yang perlu dihebahkan. Mungkin ada false semasa ujian tersebut dijalankan. Saya sudah berpesan pada encik suami supaya semua ini dirahsiakan.

12 Julai, keluar tanda dark brown, tidak seperti haid yang biasa. Sepanjang kehamilan ini, pelbagai keraguan timbul. Bagaimana seseorang yang hamil masih lagi boleh keluar darah haid? Bermulalah pembacaan di setiap sudut internet untuk menambah ilmu yang cetek berkenaan kehamilan ini. Almaklumlah, 5 tahun tidak hamil. Seperti baru pertama kali hamil pula rasanya.

13 Julai - keluar darah haid seperti biasa pada jam 1 petang ketika sedang bekerja. Luluh segala harapan ketika itu.

14 Julai - selepas solat Maghrib, atas recommendation dari Kak Roszanah, saya ke Klinik Utama, Bandar Baru Uda untuk pengesahan. Doktor bertugas ketika itu, doktor Sa'adiah. Pregnancy Test Kit menunjukkan kehamilanku terlalu awal untuk dikesan. Aku perlu datang semula untuk menjalani ujian ultrasound untuk kepastian. Namun, doktor memberitahuku bahawa, ujian ultrasound kadang kala tidak dapat mengesan kehamilan yang terlalu awal. Oleh yang demikian, aku mengambil keputusan untuk datang semula pada Ahad minggu tersebut untuk bertemu doktor Hisham di klinik yang sama. Seperti biasa, aku diberi Folic Acid untuk menguatkan kandungan.

15 Julai - masih terdapat sedikit darah, sangat tidak normal andai aku sedang haid ketika ini.

21 Julai - oleh kerana terlepas Ahad seperti yang diharapkan, aku membeli lagi Pregnancy Test untuk lebih kepastian. Sekali lagi, POSITIF. Semakin celaru fikiran ini, bagaimana aku yang tiba-tiba abnormal period ini boleh hamil?

22 Julai - oleh kerana terlalu sakit untuk bekerja, aku bercuti tanpa gaji semata-mata untuk mengenalpasti dan mengesahkan kehamilan. Setelah mengkaji klinik mana yang perlu dikunjungi untuk menjalani utrasound scan, akhirnya aku menemui Perdana Specialist Maternity, Taman Universiti, Skudai. Pelbagai perasaaan sebenarnya. Bermulalah pendaftaran di kaunter, sehingga menimbang berat badan. Terasa malu kerana berat badanku mencecah 90kg. Kecelaruan semakin meningkat apabila terlihat nama doktor yang terpapar di pintu itu adalah seorang lelaki. Hanya Allah sahaja yang faham kecelaruanku. Auratku ya Allah.... Oleh kerana tidak dapat mengundurkan diri, ku redah jua dugaan di hadapan,

Doktor Mohd Isa... penglihatan ku jaga supaya tidak terlalu melihat ketegasan doktor tersebut. Pelbagai nasihat buat pesakit sepertiku. Kegemukanku adalah suatu masalah yang aku perlu selesaikan dahulu sebelum aku meneruskan kehamilan.

Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata doktor Isa kepadaku. Kita sepatutnya makan mengikut masa. Bukan sarapan pada jam 10 atau 11 pagi, bukan makan tengahari jam 2 petang, bukan makan malam jam 10 malam. Makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang. Pengambilan makanan mengikut perkadaran. Paling penting, senaman.

Kata-katanya seperti seorang ustaz yang menyampaikan pesanan dan amanat. Ternyata aku jahil dalam permasalahan kesihatan.

Bertemankan seorang jururawat wanita, rahimku di"ultraosund scan"kan oleh doktor tersebut dan tiada sebarang tanda denyutan jantung, sehinggalah ke scan di bawah pangkal rahimku. Akhir sekali, doktor Isa mengambil darahku untuk dihantar ke makmal untuk menguji kehamilan. Aku diminta hadir lagi pada 24 Julai.

24 Julai - bermula dengan pertanyaan khabar dari doktor tersebut. Dia memberiku jawapan kepada ujian tersebut. Kandungan HcG ku 6xx mIU/ml (2 - 4 weeks). **Maaf gambar ujian keputusan tersebut tidak sempat diambil kerana telah diberikan kepada Hospital Kulai pada 31 Ogos yang lalu.** Sekali lagi nasihat diberi. Menurut hari pertama haid terakhir 29 Mei yang lalu, ujian ini tidak sepatutnya meberi keputusan sedemikan rupa. Pesanan dari doktor supaya menjaga kehamilan. Tapi perlu bersedia bahawa keguguran juga bakal berlaku. Kata-kata tersebut sedikit sebanyak memberi kesan negatif pada kotak fikiranku ini. Berpesan pada hati, aku hanya perlu berdoa dan bertawakkal. Sebarang kemungkinan pasti berlaku.

28 Julai - setelah pulang dari rumah terbuka ketiga (rumah Kak Norhuda) di Taman Impian Jaya (pertama - rumah Kak Anna, kedua - rumah Kak Azie), aku pulang ke rumah dan seperti kebiasaannya terus ke bilik air. Sekantung sebesar tapak tangan keluar. Hati semakin redha atas ketentuanNya. Tiada rezekiku kali ini. Redha seredha-redhanya.

29 Julai - bekerja seperti biasa. Akhirnya bercerita juga dengan rakan sekerja, Kak Anna. Keguguran ini menjadikanku lebih banyak membaca. Gentar pun ada. Kerana setiap keguguran mesti perlu berjumpa dengan doktor.

Perasaan takut membuatkanku melewatkan diri bertemu doktor. Akhirnya 31 Julai, Ahad, bersendirianku ke Kecemasan Hospital Kulai jam 9 pagi. Pelbagai jenis doa dan permintaan agar dipermudahkan segala urusan.

Aku dipanggil masuk ke bilik ultrasound. Rahimku di'scan' terlebih dahulu sebelum sebarang pembersihan dilakukan. 5 minit terasa seperti 5 jam sakitnya. Akhir sekali aku diberi suntikan "mengecutkan rahim". Dan pulang sehingga terlupa meminta surat cuti dari doktor.

Sesampainya di rumah, aku mual dan memuntahkan apa yang ada ketika itu kesan dari suntikan yang aku terima di hospital tadi. Sedari pagi aku belum makan apa-apa. Kerana khuatir ultrasound tidak dapat mengesan andai aku makan terlebih dahulu.

Aku menceritakan perihal yang berlaku kepada rakan jururawatku Ervina. Sahabat ini berpesan bahawa aku sepatutnya mendapat cuti sehingga 14 hari akibat keguguran. Setelah menghantar Haziq ke sekolah, aku terus kembali ke hospital tersebut untuk mendapatkan surat cuti yang sepatutnya aku terima.

Begitula perit getir seorang wanita hamil yang keguguran.