Khamis, 29 Ogos 2013

Hari Terbuka Malakoff Tanjung Bin Power Plant

Sebenarnya ada kisah sebelum pergi ke majlis rumah terbuka tersebut.

Sebenarnya seawal 10 pagi, aku telah pun persiapkan diri untuk ke Kukup. Namun, setelah menerima peti masuk dari suami, aku menangguhkan perjalananku ke jam 12 tengahari. Sedang menanti suami pada jam 12 tengahari tersebut, aku didatangi seorang jiran yang berkebiasaannya akan bertandang ke rumah melebihi dua jam lamanya. Inisiatif yang telah ku lakukan dengan mengunci pagar utama, sangat berkesan. Kerana perbualan kami hanya bersempadankan tembok pagar rumahku. Jadinya, tidak perlulah jiran tersebut memasuki rumahku. Mencegah itu lebih baik mengubati. Oleh itu, aku mencegah diri ini dari mendengar dan bersubahat dalam umpatan yang sering dibawakan jiran ini. Kerana mengubati jiwa yang tercemar dengan hasutan umpatan pasti sukar ditangani. 

"Aku nak tanya ini, aku baru balik dari klinik, ubat ni untuk apa ek? Aku lupalah doktor tu cakap.."

"Ubat kecik ni vitamin C namanya, biasanya untuk menambah selera makan. Ubat dalam kotak ni pulak untuk menambah kandungan darah......" 

"Maklumlah dah lama tak ngandung.. jadinya aku lupa... Susu anmum yang plum tu sedap tak ek?"

"Entahlah kak, dulu masa saya ngandung belum ada lagi perisa mangga ni.. Trylah... "

"Nak tryla ni, kot serasi... "

"Cantik-cantik ni na pegi mana?"

"Nak gi Kukup. Tengah tunggu suami balik ni."

"Eh, ko da ngandung belum? cepatla sikit ngandung tu, nanti boleh aku tumpang ko gi checkup sekali."

"Er....... hah.... belum lagi..... hehehe..." Dalam hati ini, Allah sahaja yang tahu.

"Ko ade keta, senang nanti aku suruh ko je kan? Mana tau kot ada ape-ape hal, aku mintak tolong ko je lah.. ko ade keta ade lesen."

"Si kecik mana?"

"Ada tu tengok Upin Ipin."

"Senang-senang datanglah rumah..."

"InsyaAllah... kalau kite nak datang, kita datang sekali dengan suami."

"Iyerlah.... yang muda patutnya ziarah orang tua. Tunggu ko datang je lah.... baru aku beraya rumah ko.."

"Oklah... akak balik dulu..."

"Ah....."

Leganya dapat habiskan perbualan dengan  cepat. Sedari tadi telinga ini mendengar mesej telefon berbunyi. Suaminya tidak dapat cuti separuh hari hari ini. Nampak gayanya, terpaksalah kami bertolak ke Kukup berdua sahaja. Jam 12.30 tengahari kami memulakan perjalanan. 

Haziq yang duduk di bahagian belakang, terlena sehingga sampai ke rumah mak saudaraku, Cik Sal. Sememangnya kedatangan kami dinanti-nantikan oleh keluarga di sana. Selesai bersolat Zuhur, kami bersiap untuk menghadirkan diri ke Majlis Terbuka Malakoff Tanjung Bin Power Plant. Akhirnya.............. tercapai juga hasrat untuk ke sana.



Inilah dia mastermind kami, Cik Sal

Hamper untuk pelbagai pertandingan. Antaranya, zapin, menganyam ketupat dan mengikat samping






Menara yang dahulunya ku lihat dari jauh, kini di hadapan mata

Sepupuku, Awang....




Pelbagai aktiviti disediakan. Memang meriah!





3 khemah panjang untuk pengunjung makan bersantai

Pelbagai juadah disediakan di bawah khemah putih di sana




Andai diizinkan Allah, tahun hadapan kami akan ke sana lagi... 

Isnin, 26 Ogos 2013

Marhaban Taman Senai Baru dan Hari Keputeraan Muhammad Haziq Fitri yang ke 2 Tahun

Sudah bersarang rupanya blog ini.. Sudah lama tidak dikemaskini...

Alhamdulillah... diberi kelapangan pada hari ini untuk menaipnya...

Tahun ini berkesempatan sekali lagi untuk terlibat dalam perkumpulan marhaban lelaki buat kali kedua. Menunya mihun sup berserta nasi impit, pulut kuning berintikan serunding daging dan rendang daging, air jambu batu merah dan buah tembikai kuning dan merah. Dan kebetulan juga pada hari tersebut, menyambut hari keputeraan yang kedua tahun pada 19 Syawal tersebut bersamaan 26 Ogos 2013. Oleh kerana jemputan terhadap ahli keluarga sebelah suami telah dilakukan lebih awal, diriku menyediakan juadah yang agak berlebihan pada ketika itu. Manakala jemputan saat-saat akhir dibuat untuk rakan-rakan pada malam itu juga menggunakan telefon bimbit suamiku. Agak berlebihan sebenarnya juadah yang ku sediakan. Namun, aku tetap berserah kepada Allah agar pembaziran ini tidak berlaku lagi pada masa-masa akan datang. 

Diriku agak terkilan apabila adik beradik suami yang dijemput tidak menghadirkan diri. Along dengan alasan kepenatan menyiapkan lorinya dan tertidur awal. Kak Lang pula dengan alasan demam kerana kepenatan dengan majlis tahlil arwah kakak iparnya. Acik pula tiada sebarang berita. Hanya Angah dan isterinya, Kak Timah bersama dua anak daranya sahaja yang menghadirkan diri setelah majlis marhaban berakhir. Syukur yang tidak terkira, apabila melihat mereka bersungguh-sungguh membungkus lebihan tersebut untuk diagihkan antara keluarga mereka dam keluarga Along. 

Oleh kerana mereka sahaja yang ada, kami tetap menyambut hari lahir kedua tahun Muhammad Haziq Fitri dalam kesederhanaan yang telah ditetapkan oleh Allah. 














 











Umur 2 tahun ada dua kek. Tahun depan masuk 3 tahun, mama akan belikan 3 kek kecil untuk Haziq. Dan seterusnya. Alhamdulillah.... Genap umur Haziq 2 tahun pada 19 Syawal ini. 18 September nanti mama cuma akan kemaskini status di Facebook sahaja. Boleh kan?

Semoga Haziq menjadi khalifah Allah yang paling disayangi kerana keimanan dan ketaqwaanmu sayang... Jadikan Rasulullah sebagai idolamu. Jadilah anak yang soleh di dunia dan di akhirat. Hormatilah makhluk di sekelilingmu sayang... Tuntutlah seberapa banyak ilmu Allah ye sayang... Seimbangkan keperluan duniawi dan ukhrawi.. Dunia ini sebagai tempat mencari bekalan ke akhirat. Kurangkan amukanmu terhadap mama sayang.... 

Muhammad Haziq Fitri seindah namamu yang bermaksud yang terpuji yang cerdik semulajadi...........

Isnin, 19 Ogos 2013

Dunia Sementara ~ Akhirat Kekal Selamanya

Kesibukan duniawi masa kini jauh lebih berbeza jika dibandingkan dengan zaman-zaman sebelum ini. Seawal Zaman Nabi Adam A.S sehingga ke Zaman Rasulullah S.A.W. Berlanjutan sehingga Zaman Para Sahabat. Dan seterusnya......

Jika dahulunya kita diajar mengenai sejarah zaman-zaman terdahulu bagaimana seorang isteri dan ibu melaksanakan tugas berlandaskan syariat Islam. Tugas-tugas tersebut langsung tenggelam dek zaman yang lebih kepada ke'BARATan' semata-mata. 

Teringat pula ketika menulis karangan ketika alam persekolahan mengenai penjajahan Barat di dalam jiwa masyarakat Islam masa kini. Amat membimbangkan. Semoga Allah melindungi kita semua di dunia dan akhirat. 

Memang benar, peredaran masa kini menjadikan semua wanita lebih berkerjaya. Tidak mengira apa jawatan dan sektor sekalipun. Seorang isteri juga seorang wanita yang sudah bergelar ibu terpaksa bekerja demi membantu suami. Secara kasarnya, kita akan melihat keluarga yang memiliki harta dunia, mampu berdiri megah di mana sahaja mereka berada. Manakala keluarga yang berpendapatan sederhana mahupun rendah, sentiasa memikirkan setiap saat bagaimana untuk meneruskan kelangsungan kehidupan yang kini bertaraf lebih tinggi. 

Jadikan Allah sebagai yang pertama dalam kehidupan kita selama-lamanya.

Andai gajimu setiap bulan dilihat sangat sedikit... Bersyukurlah atas pemberianNya. InsyaAllah kita akan sentiasa berasa cukup dengan apa yang ada. Allah sedang menguji sifat kesederhanaanmu....

Andai gajimu mencecah lima ke enam angka.. Andai tidak bersyukur atas pemberianNya, pastinya sentiasa berasa tidak cukup dengan apa yang ada. Semakin rancak pula bermegah-megah dengan harta dunia. Semakin melatah pula sehingga sering menukar-nukar aset dunia - rumah, kereta dan sebagainya -. Berlumba-lumba mengejar harta dunia. Sehingga terlupa akan pemberian Allah kepada kita. Terdetik riak di dalam jiwa tanpa disedari. Sedikit demi sedikit.. Semakin banyak dan menebal di dalam jiwa. Na'uzubillah... 

Aku juga menulis blog ini sebagaimana untuk mengingatkan diri sendiri akan penyakit hati yang semakin menular di kalangan masyarkat Islam kita pada hari ini.

Jika dahulunya, hanya suami sahaja yang keluar mencari rezeki, tetapi kini isteri juga perlu keluar bekerja bagi membantu suami. 

Teringat pula ketika menjalani kursus 'Team Building'. Di hadapan cermin, terlihat akan diriku, dan aku pun berkata, "Saya ingin menjadi ibu yang berkerjaya yang berjaya"

Ya Allah.... Aku ingin menjadi ibu yang berkerjaya sebagai surirumah sepenuh masa yang berjaya dalam mendidik anak-anak sebagai anak akhirat yang menghuni syurgaMu selamanya. Aku bukanlah dari sekolah agama tinggi sepertimana mereka yang lain. Aku berusaha ke arahMu ya Allah.. Aku ingin sentiasa dekat denganMu. Izinkanku mendidik anak-anak serta zuriat keturunanku menjadi hambaMu yang sentiasa mendapat keredhaan dan keberkatan dariMu. Aku tidak mahu lagi berlumba-lumba mencari harta dunia semata-mata demi kelangsungan hidup akan datang. Kerana kehidupan akan datang bukan terletak pada dunia, tetapi pada kehidupan akhirat yang kekal abadi. 

Betullah bak kata suamiku tadi ketika makan malam di Saleng tadi, setiap orang itu berlainan perwatakannya. 
~ Tidak semestinya seorang ustazah itu memiliki Ferrari kerana ingin menunjuk-nunjuk, tetapi untuk memenuhi kehendak hatinya atas usahanya sendiri tanpa meminta-minta belas orang lain. Masyarakat sekeliling pula bersangka buruk bahawa ustazah ini sengaja memperlihatkan kemewahannya.
~ Ada segelintir pula, memiliki wang yang sangat banyak, tetapi tidak mahu langsung memperlihatkan kekayaannya dengan harta benda, malahan mereka sentiasa bersederhana dalam kehidupan. Masyarakat pula berfikiran negatif dengan menyatakan mereka kedekut, ditakuti akan ada yang meminta-minta.
~ Yang lebih teruk, tidak berharta, tetapi menunjuk-nunjuk bahawa mereka memiliki segala-galanya. Yang pelik pula, masyarakat berbangga-bangga dengan sikap mereka ini.

Sebagai hamba Allah yang dididik sedari kecil lagi dengan hukum-hukum Islam, hendaklah kita sentiasa bersangka baik dengan sesiapa sahaja di sekeliling kita. 

Berbaik sangkalah kita dengan Allah.... itu yang paling utama. Kerana Pencipta ini lebih mengenali hati budi hambaNya. 

"Belajar tinggi-tinggi takkan tak keje pulak, kan? Bazir duit jer..." Penyataan yang amat mengguris hati. Bagaimanapun aku memahami maksudnya yang tidak sengaja itu bukan dengan niat untuk ditujukan kepadaku. Kerana bersangka baik, menjadikan hati ini redha. Ilmu yang penuh didada ini pastinya akan ku manfaatkan untuk zuriat keturunanku juga masyarakat sekeliling sepanjang hayatku. 

Arwah ayahandaku pula pernah berbicara, "Orang pompuan ni, belajar tinggi mana pun, ke dapur jugak!" Kerana memikat hati suami mestilah dengan masakan air tangan sendiri bukannya dengan masakan restoran mewah di luar. 

Dahulunya aku bekerja. Boleh dikatakan sangat sibuk bekerja sehinggakan waktu makan dan waktu solat dilewat-lewatkan. Ku abaikan memasak untuk suami atas alasan kepenatan bekerja. Boleh ku kira dengan jari berapa kali sangatlah aku memasak untuk suami. Di situ aku rugi memikat suami dengan masakan.

Ketika bekerja, komitmen sepenuhnya ku berikan kepada majikan sehinggakan bekerja itu lebih penting dari segala-galanya. Untuk meredakan hati, "Kerja juga merupakan ibadah.

Ketika belum berkahwin, keluar lewat setelah habis waktu bekerja tidak menjadi masalah. Setelah berkahwin dan mempunyai anak, sesaat pun aku tidak mahu lewatkan kerana kebimbangan terhadap suami yang sentiasa risau jika aku lewat sampai di rumah, kerisauan terhadap anak yang 14 jam tidak bersua muka dengan ibunya. Iaitu dua jam rugi di atas jalan raya pergi dan balik kerana kejauhan tempat bekerja dengan rumah kediaman, 12 jam lagi waktu bekerja wajib oleh majikan kerana beribadah kepada Allah.

Dari itu hatiku berdetik, anakku semakin membesar. Aku terlepas melihat saat-saat pertamanya anakku meniarap, merangkak, berdiri, berjalan dan sebagainya. Malahan orang lain yang berkesempatan menjadi orang pertama yagn melihat kecerdikan anakku. Tercabar diri ini sebagai ibu kandung anakku Haziq. Aku untung dari segi wang ringgit tetapi aku sangat rugi kerana terlepas melihat keajaiban yang Allah ciptakan khas untukku. Betapa ruginya aku ketika itu kerana terlepas segala-galanya. Secara drastiknya, aku bertekad untuk bekerja pula dengan suami sepenuh masa. Menjadi surirumah sepenuh masa. Bekerja dengan suami dengan niat beribadah kepada Allah. Mulia sungguh tugasan itu.

Memang benar, jika terlampau sibuk bekerja, kita terlupa bahawa tanggungjawab paling wajib kita perlu laksanakan untuk suami dan zuriat kerana Allah. Duniawi inilah yang menjadikan kita berubah mengikut peredaran semasa sekaligus menjadikan masyarakat Islam berubah dan tersasar dari landasan syariat Islam. 

Ada nada-nada sinis menyatakan bahawa aku beruntung kerana suami bergaji besar. Itu adalah tidak benar sama sekali. Kini, suamiku bekerja bersama abangnya. Sudah semestinya terdapat banyak kekangan untuk memiliki gaji sebagaimana dahulunya yang pernah bekerja sebagai pemandu lori kontena yang mampu mencecah sehingga lima angka sebulan. Keluhan suami menyatakan bergaji besar mana sekalipun jika tidak mempunyai masa  yang berkualiti bersama keluarga, pastinya kehidupan penuh dengan kerugian. Biarlah bersederhana, asalkan memiliki masa lebih bersama keluarga dalam mendidik isteri dan anak-anak, itulah yang paling menguntungkan. Bersyukur dengan apa yang ada, akan menjadikan kita berasa cukup dengan apa yang ada.

"Demi masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar (3)" 
Al-Qur'anul Karim, Surah Al-Asr (103) Ayat 1 hingga 3

Seringkali melihat status rakan-rakan yang meng'upload' gambar kereta mewah, gambar keseronokan percutian luar negara kerana kejayaan dalam perniagaan masing-masing di laman sosial, seringkali itu juga aku berasa cemburu melihat kemewahannya. Cukuplah perasaan itu. Hindarkanlah ia ya Allah jauh dari pandanganku kerna ia mampu merosakkan jiwa rohaniku. Muhasabahlah diri dengan sangkaan yang baik-baik belaka, malahan menjadi pendorong kepada diri ini agar lebih berusaha dan mendorong mereka agar lebih berjaya di dunia dan di akhirat kelak. Bersyukurlah dengan kemewahan bekalan akhirat yang tidak terlihat di mana-mana status laman sosial, hanya terlihat oleh Allah sahaja. 

Sebagai renungan bersama..........

Menurut Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : "Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya."

Rabu, 7 Ogos 2013

Anugerah Syawal 1434 H

28 Ramadhan bersamaan 6 Ogos 2013 selepas berbuka dengan air sahaja, kami bertiga bergerak pulang ke Ayer Hitam. Niat untuk masak mengunjung akhirnya tidak terlaksana dek perancangan mengejut encik suami. 

Laluan kami bermula dari Senai setelah mengisi minyak penuh di Shell. Dengan membuat pusingan U di Senai-Skudai, kami meneruskan perjalanan ke Ayer Hitam melalui jalan lama. Kebetulan pula ingin memberikan lemang kepada kakak iparku, Kak Lang yang tinggal di Felda Sungai Sayong. Kami bertemu di laluan tengah daerah Kulai-Kota Tinggi. Setelah bertemu, kami meneruskan perjalanan. Sebagai pemandu, aku lebih berhati-hati kerana masalah silau yang ku alami kian bertambah. 

Kami singgah di Simpang Renggam untuk menikmati makan malam kerana kami tidak berbuka dengan makanan pun berbuka puasa tadi. Sesampainya di rumah bondaku, suamiku terlalu keletihan dan tidur lebih awal dari biasa. Manakala aku pula, membantu adikku Didie menyiapkan goodies untuk hampir 38 rakan sekerjanya esok sempena Aidilfitri menjelang tiba. Haziq pun bersama-samaku juga menyiapkannya. Setelah selesai semuanya, aku tertidur dahulu beralaskan bantal sahaja di ruang tamu. Manakala Haziq pula, menurut penceritaan suamiku, dia memain game menggunakan telefon bimbitku sambil meniarap dan menghentakkan kakinya seolah-olah seronok bermain tanpa gangguan. 

Aku dikejutkan bondaku untuk bersahur. Tangan kananku sedikit kebas, rupanya Haziq lena berbantalkan lenganku. Anak ini benar-benar menggelikan hati apabila mendengar cerita dari ayahnya. Oleh kerana tidak cukup tidur ketika itu, aku segera menidurkan diri sehingga subuhku kelewatan. 

Pagi itu aku menolong ibuku menyiapkan bahan-bahan masakan. Bermula dengan sengkuang, lobak merah, kobis, bawang besar dan bawang putih. Manakala suamiku pula menolong aku dengan versinya yang agak kurang sempurna pada pandanganku. Biasalah.... lelaki... Bondaku menemani adikku Didie ke Batu Pahat untuk menghantar goodies yang malam tadi disiapkan. 

Setelah bondaku pulang, tugasan memasak pula yang dilakukan. Kali ini, aku berehat pula. Mempersiapkan diri, dan mencari amil untuk membayar zakat fitrah. Sebelum itu kmi ke kampung Yong Peng untuk menghantar lemang kepada atuk dan nenek. 

Keluarga Pak Ajam dan Cik Narimah seawal Ahad sudah tiba di sana. Begitu juga dengan Mak Ucu. Tidak ketinggalan juga Cik Sal Pontian. Selepas jam 4 petang kami beransur pulang untuk melaksanakan Rukun Islam dengan membayar zakat fitrah. 

Alhamdulillah, kami bertemu juga amil di masjid Parit Raja. 


Setelah membayar zakat, kami ke pasaraya Ten Ten untuk mencari baju jalan Haziq. Mulanya ada juga baju Melayu berharga RM10, tetapi kepala Haziq lebih besar dari lubang leher baju tersebut. Kami memutuskan hanya membeli baju berjalan Haziq 2 pasang dan songkok Haziq sahaja. 

Singgah pula di butik bersebelahan butik tudung Parit Raja. Suaminya berkenan pula dengan songkok yang padaku sangat mahal. RM38. Songkok baldu ini akan disimpan sebaik mungkin, dan tidak mahu ia dicuri lagi oleh sesiapa yang tidak berkenaan. 

Semenjak bergelar surirumah ini, diriku lebih mementingkan berjimat cermat dari pembaziran. Kerana diri ini faham akan kepayahan dalam mencari rezeki. Aidilfitri ini penuh dengan kesederhanaan yang dituntut oleh ajaran Islam kita. Aidilfitri ini diriku dan suami tidak teruja langsung untuk membeli pakaian baru untuk diri sendiri, malahan kami melebihkan keperluan yang sepatutnya diterima oleh seorang anak.

Alhamdulillah.... di hari terakhir Ramadhan ini, pastinya ku isi dengan penuh kesyukuran ke hadrat Illahi akan kesederhanaan dalam kehidupan yang menjadi bekalan ke akhirat kelak. Sesungguhnya, hati ini sudah memutuskan suatu perkara yang pasti akan mengundang kemarahan dari suami. 

Berserah dan bertawakkal... Hanya Allah Yang Maha Mengetahui...

Salam Lebaran dari kami sekeluarga. Ampun dan maaf kami pinta. Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin

Assalamualaikum.........

Isnin, 5 Ogos 2013

Tradisi Keluarga Haji Muhamat Bin Pilus ~ Membakar Lemang

Alhamdulillah....... bertemu sekali lagi dalam blog ini. 

26 Ramadhan 1434H ~ 4 Ogos 2013 _ Ahad

Oleh kerana, pagi itu suami ke Felda Ulu Tebrau bersama abang angahnya untuk mengambil buluh lemang, terdetik hati ini akan kesibukan yang akan berlaku esok. Alkisah dahulunya, kebun kepunyaan ayah mertuaku memiliki buluh lemang yang agak banyak. Entah bagaimana ceritanya, sehingga abang angah suamiku tidak berfikir panjang membakar keseluruhan buluh lemang yang ada. Akibatnya setiap tahun tercari-cari buluh untuk membuat lemang. Dan tahun ini kebetulan pula ketika abang ngah bekerja membersihkan tanah di felda tersebut, terjumpa pula buluh lemang yang tidak dimiliki sesiapa. Memang rezeki terbaik kami pada tahun ini. Dan tuan rumah yang bakal membakar lemang tahun ini, pastinya rumahku yang memiliki laman belakang yang sangat sesuai untuk membakar lemang. 

27 Ramadhan 1434 H ~ 5 Ogos 2013 _ Isnin

Buluh - pemilihan buluh dilakukan oleh suami dan abangnya. Bak kata suami, untuk mengenal buluh lemang, buluh tersebut tidak mempunyai cabang dari pangkalnya. Hujungnya sahaja yang berdaun dan berpucuk. Ruasnya pula panjang. Tidak seperti buluh lain, ruasnya pendek. Miang pada buluh, hendaklah dihilangkan dengan menggunakan sabut kelapa. Kesemua tugasan ini dilakukan oleh bapa mertuaku, abang iparku Acik dan anak-anak saudaraku Mail, Siti dan DekNa. Bapa mertuaku menggergaji buluh mengikut panjang ruas yang hampir sama kesemuanya. Manakala Acik, memasukkan daun pisang ke dalam buluh. 

Daun pisang - dipilih berdasarkan warna. Bukannya hijau tua, tetapi hijau kekuning-kuningan. Dan bukannya pucuk yang terlalu lembut. Daun pisang diukur dengan membalut terlebih dahulu diluar buluh, dipotong, kemudian, dengan menggunakan batang daun pisang yang dibelah dua untuk dijadikan sepit, daun pisang yang diukur dan dipotong tadi akan disepit masuk ke dalam buluh. pastikan daun pisang tersebut dipotong sama tinggi atau lebih sedikit dari buluh. Jika daun pisangnya jauh lebih rendah dari buluh, dikhuatiri pulut yang masak nanti tidak terkena daun pisang. Daun pisang ini penting dalam memberikan aroma yang wangi pada pulut yang dimasak dalam buluh nanti.

 
Bulu lemang yang sudah diisi dengan daun pisang

Beras pulut - menurut petua mertua, beras pulut ini hanya dibasuh sahaja. Tidak perlu direndam. Jika direndam, pastinya lemang akan menjadi lembik. Apapun, ketika proses tersebut, kami terendam seketika. Mujurlah lemang kami lemak dengan kelembutan pulut yang masak di dalam lemang. Semasa mengisi ke dalam buluh, pastikan buluh tersebut tidak dihentak-hentak. Jika beras pulut terlampau padat, dikhuatiri membuak-buak terkeluar setelah beras pulut tersebut masak dengan sempurna. Dan dikhuatiri semasa mengisi santan, santan yang ada tidak dapat menampung kepadatan beras pulut yang melampau dan dikhuatiri juga akan ada beras pulut yang mentah. 

 Beras pulut yang sudah dibasuh dan ditapis

Kedudukan beras pulut yang diisi sebelum ditambah santan 

Santan - pastinya santan terbaik jika diperah dari kelapa yang sudah diparut. Kelemakan yang tiada tolok bandingnya. Pastikan santan tersebut diperisakan dengan sedikit garam. Andainya akan datang zaman berubah dengan drastik sehinggakan kelapa tidak diperolehi, pastinya kelemakan santan tidak lagi akan dirasai pada lemang. Semasa memasukkan santan ke dalam buluh yang sudah berisi beras pulut, pastinya kita akan dapati beras pulut yang ada semakin tenggelam jauh dari hujung atas buluh. Dari itu, bolehlah andainya jika ditambah sedikit demi sedikit beras pulut beserta santan. Tenggelamkan sedikit beras pulut ketika mengisi santan di dalamnya. 

Bara - semasa mengisi beras pulut tadi, unggun api seharusnya dihidupkan menggunakan kayu mati. Batang kayu rambutan yang ada dibakar sekali walaupun sedikit basah, untuk dijadikan bara. Buluh lemang yang sudah siap berisi tadi disegerakan bakar menggunakan bara yang telah disediakan. Tugasan ini dilakukan oleh suami dan ayahandanya bersama. Suamiku yang pulang dari kerja jam 5.30 petang, terus melaksanakan tugasannya. 


Sementara itu, aku pula menyiapkan juadah berbuka untuk semua yang ada. 

 
Juadah berbuka : Ayam Asam Pedas, Sayur Kobis, Tahu Goreng, Air ExtraJoss Susu, Air Kundur, Air Mangga, Buah Epal

Gotong royong membakar lemang





Ini lawannya : rendang daging negeri sembilan ibu mertuaku

Iklannya :



Dalam proses pembakaran, jika terlihat ada beras pulut yang agak kering, masukkan sedikit lagi santan supaya ia tidak terlalu kering dan mentah.

Alhamdulillah, jam 3 pagi keseluruhan lemang sempurna dibakar. Bersahurlah kami dengan lemang yang ada... Haziq sudah pun lena seawal jam 10 malam. Manakala aku pula selewat jam 1 pagi. manakala suami, selewat jam 2 pagi. Orang terakhir yang menjaga buluh lemang kami adalah abang angah. 

Yang mengejutkan anakku Haziq tidur di apit oleh atuk dan wannya. Haziq di atas tilam, atuk dan wannya disisi tilam Haziq. Atuk di kiri dan wan pula di kanan. Anak-anak saudaraku hanya beralaskan toto yang ada. 

Seronok kan bila dapat melaksanakan tugasan dengan baik.

Yang penting, lemang kami sangat sedap, lemak dan asli.. TERBAIK!!!! 

Nantikan Ramadhan akan datang jika diizinkan Allah....