Sabtu, 20 Julai 2013

Tanpa Ku Sedari

Tanpa ku sedari............

Mengalir air mata ini.............

Semalam ~ kerana teringatkan kisah semasa berpantang di rumah itu.

Subuh tadi ~ kerana teringatkan arwah Ayahanda tercinta.

Kisah yang tidak akan berulang.........................

Pada mulanya, aku hanya ingin mengemas semula semua pakaian berlipat kami yang telahpun berpindah ke bilik tengah akibat serangan anai-anai pada almari baju di bilik utama kami. Memang menjadi bilik pakaianlah jawabnya bilik tengah kami. Bilik ketiga sudah rasmi sebagai stor barangan suami mahupun baranganku. 

Tanpa ku sedar.... ketika melipat semula kain lampin, barut dan baju bayi, bergelinang air mata. Mengenangkan kisah yang tidak akan pernah aku lupakan seumur hidupku. Walaupun perit, pedih, luka yang dalam, dek kerana cintakan Allah melebihi segala-galanya, biarlah menjadi rahsiaku. Boleh ku kira dengan jari air hidangan darinya semasa aku berpantang. Boleh ku kira dengan jari dia pertanyaannya terhadap kesihatanku. Seawal pagi menghilangkan diri. Tengahari baru ku lihat rupanya. Itupun setiap kali suamiku pulang untuk makan tengahari. Kemudian, hilang semula. Kadang-kala menidurkan dirinya. Kebenciannya terhadapku masih mendesakku agar sentiasa bersangka baik. Menunjukkan kemesraan seolah-olah tiada apa yang berlaku, yang sama sekali tidak diduga sesiapapun melainkan yang pernah mengalaminya. Kepura-puraan menutup keaiban.

Jauh berbeza dari layanan bonda tercinta. Alhamdulillah, aku dapat merasai layanan ketika berpantang yang seharusnya diterima oleh mana-mana ibu pertama kalinya melahirkan anak. Aku cepat mempelajarinya. Kasih ibu membawa ke syurga. Doa anak yang soleh dan solehah pastinya bekalan terbaik untuk ibu dan bapa kita. Aku mempelajari masakan berpantang dari bondaku. Aku belajar menghilangkan tekanan dan menangani emosi tidak stabil ketika berpantang dan pengalaman baru ini mengajar aku lebih menghargai kasih dan jerih seorang ibu yang melahirkan. Sepanjang 2 minggu pertama, aku menangis kesyukuran kerana dikurniakan seorang cahaya mata dan bersyukur atas kurniaan seorang ibu mithali yang sentiasa tidak putus kasih untuk sang anak sepertiku. 

Tetapi di rumah itu, hari berpantangku yang ke 15 merupakan hari pertamaku di rumah itu membuatkanku menangis setiap saat kerana tidak lagi mendapat layanan mesra dari bondaku. Kini kami berjauhan. Saling merindui. Dugaan demi dugaan.. Ujian demi ujian.. Betapa kasihnya Allah pada hambaMu ini. Setiap ujian itu, menjadi pengajaran buatku. Untuk masa kini juga untuk masa hadapan. Jangan ulangi kesilapan orang terdahulu dari kita pada masa hadapan. Ubah ke arah kebaikan. Jangan jadikan ia sebagai kitaran hidup lagi. Cukup sampai diriku ini sahaja...............................................................



Kisah yang tidak akan kembali..........................................................

Seorang bekas tentera. Sentiasa menjadi pujaan hatiku apabila melihat pakaian seragamnya. Keghairahanku terserlah setiap kali melihat sesiapa sahaja dalam seragam itu. Kala jengking merah sentiasa tersemat dalam kenanganku. 

Ketegasannya... membuatkanku benci. 
Ucapannya.... membuatku tidak sanggup mendengarnya. 
Jelingannya... buatku gerun. 
Sikapnya..... membuatkanku hilang rasa hormat padanya... 
Senyumannya..... sukarku jejak. 
Suaranya... membuatkanku malu dengan sekeliling. 
Diamnya....... tanda tangisan hati yang tidak dapat didengari... tanda kekesalan yang tiada galang ganti... tanda kekecewaan yang tidak mungkin boleh diputar semula ke masa itu. 
Tangisannya.......... menunjukkan kasih yang tidak pernah diluahkan sebelum ini.

Aku masih ingat ketika itu...... ketika ingin bertolak kembali ke Plentong seawal 5 pagi. Pipi kiri dan kananku dikucup oleh sang ayah yang selama ini tidak pernah kurasai. Terdetik sedikit kepelikkan yang akhirnya terjawab dua minggu selepas itu. 

Ketika sedang bekerja jam 4 pagi, aku menerima peti masuk dari adik bongsuku, mengatakan abah pengsan. Tidak terdetik kemusykilan pun ketika itu. Aku menyuruh adikku memanggil ambulans. Sehinggalah panggilan telefon ku terima beberapa minit selepas itu dari jiranku, Mak Ros. 'Along, balik long. Abah pengsan ni.' Entah mengapa, tanpa sebarang soal jawab, aku bergegas keluar dari tempat kerjaku. Namun, di 'flyover' besar itu, tayar keretaku pancit pula. Seorang diri aku di bawah terowong ketika itu sehinggalah datang seorang pakcik menawarkan pertolongan di kala awal pagi itu. Tanpa ku sedari, air mataku seolah-olah keluar tanpa sedar. Mengalir tanpa sebarang sebab. Sesiapnya tayar keretaku ditukar, tunanganku yang kini suamiku datang melihatku kerana sedari awal aku sudah menghubunginya akan masalah keretaku. Aku memandu ke Senai tanpa sebarang sebab. Kosong secara tiba-tiba. Seolah-olah akalku dimatikan seketika untuk berfikir.

Tunanganku membawa keretaku dari Senai ke Ayer Hitam dengan kelajuan yang sukar aku gambarkan. Apakah sebenarnya kekosongan yang berlaku? Aku menangis sekuat hatiku sepanjang perjalanan itu. Kerana berita pengsan itu sebenarnya helah supaya aku tidak menangis. 

Sesampainya di rumahku, van putih pertama yang kulihat berada di hadapan rumahku. Aku rebah. Seperti tidak mampu berdiri lagi. Tidak mampu melakukan suatu apa pun. Aku dipapah masuk ke dalam rumah.

Sekujur tubuh ku tatap... ku cium.. ku peluk.... yang tidak ku duga akan berlaku. Akhirnya aku kehilangannya. Ibuku juga tidak putus-putus mengalirkan air mata. Kerana terkenangkan kisah saat-saat akhir mereka bersama. Seperti zaman bercinta mereka suatu ketika dahulu. 

Pemergiannya di sisi ahli keluarga tercinta, mama, ecah dan sepupuku Sulaiman. Tanpa aku, Angah dan Didi di sisi. Angah bersama suami dan anaknya Denial di Sri Lalang. Didi pula berada di Kota Damansara, melanjutkan pengajiannya di sana.

Masing-masing mempunyai cerita tersendiri.....

Sulaiman.. Sepupuku sebelah arwah abah.. Dia sering mengingati abahku. Membuatkan dia terdetik untuk ke rumah kami. Sepupu jauh yang bumi kelahirannya di Sabah. Dia semacam bertegas untuk ke rumah kami melawat abahku. Rupanya, detikan hatinya semestinya dirancang Illahi.....

Angah... menerima pesanan ringkas dari abahku supaya pulang segera membawa Denial.. Kerinduan abah pada Denial kerana abahlah yang bersengkang mata menjaga Denial sejurus kelahirannya, dek keseronokan menimang cucu lelaki pertama dalam keluarga.

Didi... jauh di perantauan. Hatinya sedikit terluka kerana pengajiannya di kolej swasta mendapat tentangan dari abah. Namun, dia bertekad untuk membuktikan pada abah, dia pasti berjaya. Didi tiba di rumah kami ketika abah sedang dimandikan. Dia juga menangis tanpa pernah menduga semua ini berlaku seawal usia mudanya. Namun, sebenarnya, hatinya lebih dahulu merasai sesuatu yang Allah kirimkan.

Ecah.. terdetik hatinya untuk tidak meneruskan pengajiannya kerana semua ini sudah tersurat oleh Allah. Dia yang disayangi abah akan kebongsuannya menjadikan dia mendapat perhatian lebih dari yang lain. Yang pasti, Ecahlah yang sering bermimpi selepas pemergian abah. Bekerja di Petronas, seringkali dihantar abah melalui jalan kubur. 'Jangan berhenti kerja. Biar dekat dengan abah. Nanti abah kat sini.'

Mama... yang benar-benar berada di sisi abah ketika abah batuk di dapur. Jatuh di tempat itu. Tempat yang kami ingat sampai bila-bila. Menghembuskan nafas terakhir di sisi mama. Keredhaan hatinya membuatkan kami percaya tiada apa yang berlaku. 'Pengsan' masih tergiang di benak fikiranku. Menjemput mama di perhentian bas di hadapan taman perumahan kami setiap kali mama pulang dari kerja. Menyuruh mama memeluknya kuat-kuat ketika menaiki motor. Detik-detik kemesraan terakhir mereka bersama.

Ramai yang bercerita... abah berjumpa rakan-rakannya sekitar Ayer Hitam untuk memohon maaf. Ada pula yang memanggilnya tetapi tidak didengari abah. Abah memang suka bergurau senda dengan orang lain. Sehinggakan gurauan itu tidak disedari sesiapapun. Ada yang menangis saat bercerita. Ada juga yang menyampaikan pesan. 

'Dalam banyak-banyak anak, abah kamu selalu bercerita pasal kamu long.'
'Dia bangga ada anak macam kamu, Didi.'
'Abah mintak kamu menjaga adik-adik kamu yang lain.'
'Paling kamu kena sayang, mama kamu. Abah dah takde... tolong jaga hati mama kamu yer?'
'Abah kamu selalu cerita pasal adik beradik kamu.'
'Abah kamu memang garang.. tapi dia sayang sangat anak-anak dia. Mungkin silapnya kerana tidak tunjuk sayangnya pada kamu semua.'
'Abah kamu memang takkan tunjuk sayang pada kamu. Dia memang dididik begitu. Kamu kena faham..'
'Dulu, masa abah ada, kamu taknak sayang.. takut... Sekarang bila dah takde baru sibuk-sibuk nangis buat apa?'
'Ingat yer.... doa anak-anak yang soleh dan solehah...'

Pastinya akan kedengaran suara-suara sumbang yang tidak enak didengar. Berdiam diri itu lebih baik. 

Kini, ketegasannya, jelingannya, ucapannya, suaranya, diamnya, senyumannya, tulisannya, sikapnya, gambarnya sentiasa tersemat dalam sanubari ini.

Coretan ini ku tujukan khas buat adik-adikku tersayang... Angah... Didi.. Ecah... 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan