Jumaat, 21 Jun 2013

Adab Memberi Salam

Sudah menjadi trend zaman kini, tidak memberi dan mengucapkan salam tapi membunyikan hon kenderaan sahaja sebagai tanda kehadiran mereka.

Rasanya, masyarakat kini khususnya yang beragama Islam, mengambil remeh tentang hal sebegini. Pada mereka mudah dan senang. Tetapi, pada pemerhatian insan lain di sekeliling kita yang peka tentang membudayakan tatacara Islam dalam kehidupan pasti melihat ia sebagai sejenis penyakit yang ubatnya hanya pada mereka yang berpenyakit sahaja.

Sebenarnya, ia berlaku sendiri dalam kehidupan saya. Semenjak menjadi surirumah sepenuh masa, banyak sangat yang saya ubah dalam kehidupan saya, dan dalam masa yang sama saya juga seringkali memerhatikan gelagat dan tabiat masyarakat sekeliling kita.

Apa yang dapat saya perhatikan, ada di antara ahli keluarga saya yang berhampiran dengan saya, sangat kerap hadir ke rumah saya TANPA memberi salam. Malahan, mereka menggunakan hon samada motor atau kereta. Di manakah adab salam mereka sekarang ini? Tertinggal di rumah agaknya….

Cuba bayangkan, andainya ketika itu anda sedang memasak atau sedang bersolat atau sedang mandi atau sedang menenangkan anak yang sedang menangis, tidakkah anda rasa dengan membunyikan hon itu diistilahkan sebagai kecemasan.

Sudah semestinya sepantas kilat anda keluar melihat siapakah yang membunyikan hon di hadapan rumah ada bukan?

Oleh dek kerana penat melayan sikap segelintir ahli keluarga saya ini, saya mengambil keputusan untuk tidak menghiraukan mereka. Sikap saya memang salah. Tetapi apakah daya anda, jika di kala itu anda ada tanggungjawab sebagai isteri dan juga ibu? Berbunyi semacam kejam.

Tidak perlulah hadir dengan membunyikan hon di kala pagi, ketika semua orang sibuk mempersiapkan diri untuk keluar bekerja. Ini membuatkan jiran yang mendengar pun, semacam terasa rumah mereka yang didatangi tetamu di waktu seawal jam 7.

Cukuplah dengan sekadar memberi salam. Bukankah memberi salam itu sangat mudah. Islam sudah jelas menggariskan panduan tentang adab memberi salam ketika berkunjung ke rumah tetamu. Tidak kira rumah yang kita kunjungi itu rumah ibu bapa, atau adik beradik, saudara mara, sahabat handai atau rakan taulan mahupun saudara seIslam.

Sebagai orang yang lebih muda, rasanya untuk menegur orang yang lebih tua dari kita terdapat sedikit kesukaran lebih-lebih lagi jika orang itu sudahpun bergelar haji atau hajjah sekalipun. Balasan yang akan diterima, “aku lebih tua dari kamu, lebih berilmu dari kamu.”

Pengalaman yang lain pula pernah saya alami, tatkala kami anak beranak sedang bersarapan dan adakalanya tatkala Haziq sedang tidur. Ada makhluk Allah yang datang ke rumah kami tanpa memberi salam malahan menjerit terpekik memanggil nama Haziq. Adakah Haziq boleh memberi respon ketika sedang bersarapan mahupun sedang tidur sedangkan Haziq mempunyai ibu yang mampu bertutur bahasa orang dewasa? Kadangkala hati ini sangat sakit untuk menerima kunjungan makhluk-makhluk Allah yang tidak tahu adab ketika datang berkunjung.

Pernah suatu masa dahulu, ketika kami sedang mandi, apabila keluar dari bilik air, dengan terkejutnya kami, ada kunjungan makhluk Allah yang sudahpun membuka pintu rumah kami. Janganlah disebabkan anda sebahagian dari keluarga, menjadikan rumah kami sebagai rumah anda. Kami keluar dari rumah anda pun kerana kami mahupun kehidupan berkeluarga yang sebenar.

Sejak dari itu, saya bertekad setiap kali suami keluar bekerja, semua pintu pagar akan ku kunci untuk mengelakkan sesiapa sahaja memasuki rumah kami sesuka hati. Sejak itu, kunci pendua rumah kami tiada seorang pun ahli keluarga terdekat dibenarkan memegangnya.


Pengalaman ini boleh menjadi pengajaran buat rakan-rakan yang membaca blog ini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan