Rabu, 12 Mac 2014

Menunaikan Hasrat Suami

Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh....

Alkisah...... Sejak kami mendiami rumah ini, pemilik asalnya memang menjadikan laman tepi dan belakang rumah sebagai tempat menanam pisang. Alhamdulillah.... rezeki kami anak-beranak menikmatinya pula. 

Ada 5 batang pokok pisang yang sedang menjadi-jadi hasilnya. Salah satunya telah pun ku hadiahkan seawalnya kepada jiran kami Kak Nahi. Salah satunya pula membiak di luar pagar kediaman belakang sehingga memasuki kawasan kejiranan warganegara Nepal/Bangladesh yang menyewa di situ. Jantung pisang pertama telah ku berikan kepada kakak birasku, Kak Rini. 

Suatu hari, encik suami membuat permintaan..... Untuk merasai jantung pisang tersebut bersama kuah kacang. Dengan izin Allah, tertunailah hasrat suami untuk menikmati juadah tersebut setelah berhasilnya jantung pisang pokok kedua.

Menjadi kebiasaanku bermula seawal 4 petang, masakan perlu disediakan memandangkan suami akan pulang dan sampai di rumah seawal 5.45 petang. 

Menu paling mudah petang ini......

Nasi Impit

2 cawan beras
5 - 6 cawan air
3 - 5 helai daun pandan
sedikit garam
  • Beras dicuci bersih dan ditanak seperti memasak nasi biasa. 
  • Nasi dikerapkacaukan.
  • Apabila sudah masak, loyang beralas daun pisang digunakan untuk meng'impit' nasi tersebut.
  • Apabila nasi sudah dipadatkan, biarkan ia sejuk secara suhu dapur sebelum dipotong dan dihidang.

Resepi Kuah Kacang

2 - 3 cawan kacang tanah (disangai - dikupas kulit - dikisar kasar) (boleh juga digoreng/direbus - tidak dikupas kulit - ditumbuk)
1 - 2 sudu makan gula pasir
1 sudu makan gula merah *
1 sudu makan gula melaka *
2 -3 cawan air (atau ditambah sedikit air asam jawa *)

Bahan titik

1 inci lengkuas
2 - 3 batang serai

Bahan kisar

1 cawan lada kering (direbus) (boleh juga digoreng)
2 ulas bawang besar
4-6 ulas bawang putih
0.5 - 1 inci kunyit hidup (boleh diganti dengan serbuk kunyit)
sedikit belacan bakar
buah keras *

* Bahan ini hanya tambahan sahaja bergantung kepada keberadaan dan keperluan bahan tersebut.

  1. Minyak dipanaskan dan bahan kisar tadi ditumis bersama bahan titik.
  2. Apabila bahan tumis sedikit garing, kacang tanah dimasukkan bersama air. (Penggunaan air bergantung kepada kepekatan kuah)
  3. Apabila mendidih, perasakan dengan menambah garam dan gula.
  4. Hidangan kuah kacang ini boleh dimakan bersama nasi putih, nasi impit dan ulam-ulaman.
ATAU 

Menurut petua mama saya,

  1. Semua bahan kisar dan kacang tanah digoreng terlebih dahulu.
  2. Kemudian, ditumbuk kesemuanya.
  3. Gula dan garam ditumbuk bersama.
  4. Air masak ditambahkan dan disesuaikan berdasarkan kepekatan kuah yang dikehendaki. 
  5. Siap dihidang.

Ulam-ulaman 

(Apa sahaja jenis ulam-ulaman boleh dimakan bersama kuah kacang)

Ulaman yang ada di dapurku ketika ini :

  • Jantung pisang (dibelah dua dan dibelah tengah separuh setiap belahan) (rebusan air + garam + gula + minyak) (untuk mengelakkan hitam pada jantung pisang, 1- merebus bersama pucuk ubi, atau 2 - direbus kaedah "deep boiling"/jangan biar ia terapung - rendamrebus sepenuhnya)
  • Kacang panjang (dipatahkan mengikut citarasa - dicelur)
  • Timun (kulit dibuang secara berselang-seli - dibelah tengah secara memanjang - dihiris sederhana nipis/tebal)

Tambahan :

Tauhu (dibelah dua menjadi segitiga - digoreng menggunakan minyak yang betul-betul panas)
Telur rebus (direbus air + garam - setelah diyakini masak sepenuhnya, api ditutup dan telur tersebut direndam menggunakan air sejuk - biarkan selama mungkin - kulit dikupas - dibelah dua)

Alhamdulillah.... Selamat Menjamu Petang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan