Isnin, 17 Mac 2014

Bila Kita Suka Makan Sesuatu.............

Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh...

Terasa sangat minggu ini minggu suka memasak. Ada sahaja menu yang berlegar-legar dalam fikiran ini untuk santapan suami dan anak.

Menu utama untuk suami hanyalah Asam Pedas Daging. Menu untuk diri sendiri pulak Roti Jala bersama Kari Daging.

Amboi........................ Belum tunjuk gambar lagi ni....

Suami pernah pesan, "Kalau suka makan sesuatu tu, belajar buat sendiri." Sedia maklum, aku sangat menggemari roti jala. Walaupun aku tidak mepunyai kuali non-stick, aku tetap akan membuatnya.

Oleh kerana keprihatinan suami melihat kesungguhanku membuat roti jala, selepas solat Maghrib tadi, dia mengajakku ke Cowboy Kulai untuk membeli non-stick plate. 

Teruja yang amat sangat sehinggakan tidak menyedari aku makan roti jala jam 9.45 malam.

Jom belajar bagaimana menyediakan menu hari ini.

Asam Pedas Daging 

(Adaptasi Buku Resepi 1 Hari 1 Resepi Chef Hanieliza - 365 Resepi - muka surat 69)

0.5 kg daging rebus
1 biji tomato (dibelah 4)
5 helai daun limau purut
Garam
Air asam jawa + air bilasan air asam jawa
Daun ketumbar (saya ketiadaan bahan ini)

Bahan kisar :

0.5 cawan lada kering
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
2 batang serai
0.5 inci lengkuas
Sedikit belacan
2 biji buah keras
  1. Bahan kisar ditumis sedikit garing.
  2. Daging bersama air rebusan dan air asam jawa dimasukkan.
  3. Baki asam jawa tadi ditambah air sekali lagi dan dimasukkan ke dalam kuali.
  4. Tomato pula dimasukkan bersama garam untuk diperasakan.
  5. Apabila tomato sudah masak sepenuhnya, daun limau purut pula dimasukkan.
  6. Hidangan ini sesuai dimakan bersama nasi putih.

Kari Daging

0.5 kg daging rebus (digaul dan diperap bersama garam dan serbuk kari daging)
2 keping asam gelugor
1 batang lobak (dipotong mengikut citarasa)
4 biji kentang (saya ketiadaan bahan ini)
0.5 paket kecil serbuk kari daging dan ayam (Adabi)
1 senduk santan pekat (Kara)(Elemen terakhir)
2 - 3 cawan air
2 sudu kecil garam
2 sudu makan gula

Bahan hiris :

1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia

2 - 3 batang daun kari (saya ketiadaan daun kari ketika ini)(ditumis bersama bahan hiris)
  1. Bahan hiris ditumis bersama sehingga naik wangi.
  2. Daging yang diperap tadi pula dimasukkan dan ditambahkan serbuk kari serta dibiarkan sehingga pecah minyak.
  3. Air dimasukkan bersama lobak, asam keping, garam dan gula.
  4. Setelah lobak masak sepenuhnya, santan pula dimasukkan.
  5. Sangat sesuai dihidangkan dengan nasi putih ataupun roti.


Roti Jala Berwarna

Bahan kisar bancuhan tepung :

3 cawan tepung gandum
1 sudu kecil garam
1 biji telur
0.5 cawan santan pekat kotak (Kara) dibancuh sehingga menjadi 1 cawan penuh
2 cawan air

Pewarna Hijau
Pewarna Merah
(andai ingin menggunakan 1 warna sahaja, kebiasaanya kuning, pewarna kuning atau serbuk kunyit boleh dikisar bersama dengan bahan bancuhan tepung)
  1. Bahan bancuhan tepung dikisar sebati.
  2. Dua bahagian diasingkan mengikut warna, hijau dan merah.
  3. Dijala berselang seli.
  4. Sesuai dimakan bersama kari daging yang pekat.
 Inilah hasil roti jala saya


Sumber inspirasi Mama.... Muhammad Haziq Fitri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan