Rabu, 17 Julai 2013

Ramadhan Ini..........

Alhamdulillah..... selepas selesai solat Subuh, terfikir pula untuk menulis blog. Selalunya selepas solat Subuh, aku mengamalkan amalan membaca al-Ma'thurat sebelum kembali beradu. 

Memandangkan setiap kali tidur semula, pastinya kesakitan kepala yang amat sangat setelah bangkit semula, adalah tidak elok meneruskan amalan buruk tersebut. Almaklumlah, tertidur setelah memeluk cium anak di atas katil, pastinya terlelap walaupun seketika. Namun hari ini, aku bertekad supaya tidak kembali tidur semula kerana ia akan memudaratkan kesihatan. "Sebaiknya jangan tidur selepas Subuh".

Setakat hari ini setelah menjejak Ramadhan ke 8, baru 2 kali sahaja Haziq bangkit dari lenanya untuk bersahur bersama. Kami bersahur, Haziq pula dengan aktivitinya bermain Puzzle Number.




Gambar ini diambil pada Ramadhan kedua. Ini sudah menjadi aktiviti harian si Cilik Cerdik ini

Sejak dua menjak ini, Haziq sering lewat untuk tidur di waktu malam. Menonton 'Upin Ipin' sehingga jam 11 malam dikala aku dan suami tertidur. Jika tidak dibukakan cerita tersebut, dia mengamuk dan tidak mahu duduk diam. Sehinggakan malam semalam, aku tertidur, dia menangis kerana mahu aku bangun menutupkan cerita tersebut. Alangkah terkejut melihat mata Haziq kemerah-merahan menahan mengantuknya yang ego itu. Apabila aku bangkit, dia terus tidur. Dan aku pula mengambil kesempatan melihat 'Sik Gaek' Episod 26 bermula jam 11 malam tersebut. Kerisauan hati seorang ibu ini pastinya tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah. Adakah waktu tidur malamnya berubah kerana diri ini atau atas dirinya. Risau sungguh. Dan sejak itu juga, Haziq sering bangkit lewat di waktu pagi. Sehinggakan selewat jam 10 pagi. 

Ramadhan pertamaku, menyediakan juadah berbuka 'Ayam Pedas Kicap' bersama 'Sayur Campur Bebola Udang dan Jejari Ketam'. Namun, bersahur pada Ramadhan pertama kami dengan 'Sambal Sardin Botan' masih berbaki lagi sehingga berbuka. Atas permintaan suami, kami berbuka di rumah ibunya yang tidak jauh dari rumah kami. Air kegemaran suami iaitu 'Extra Joss Susu' perisa mangga pun tersedia ketika berbuka. Sesampainya kami di rumah ibu mertuaku, kelihatan si ibu itu seorang diri tanpa bapa mertuaku. Kerana bapa mertuaku berbuka di Masjid As-Solehin berhadapan rumah mereka. 

Menggunakan 3 sachet dengan ditambah 6 sudu besar susu pekat

Ramadhan seterusnya pelbagai menu aku hidangkan untuk suami. Antaranya, 'Kuew Tiau Goreng', 'Sotong Blackpepper', 'Tomyam Seafood Ball', 'Ayam Kurma', 'Sup Telur', 'Nasi Lemak', 'Bakso'. Dan semalam, buat pertama kalinya 'Bubur Lambuk 5 Rencah 5 Rasa'. Air pula yang pernah terhidang antaranya 'Air Mangga', 'Air Cincau', 'Air Sirap Bandung Cincau', dan 'Air Ribena Blueberry'.

Gambar ini diambil selepas solat Subuh tadi

Asalnya satu periuk besar, kini tinggal seperiuk kecil untuk si kecil Haziq nanti. Semalam, memang menjadi kerisauan sebelum berbuka puasa, "entah sedap, entah tidak". Oleh kerana Haziq belum makan sedari jam 2 petang, aku menjadikannya sebagai panel untuk merasa. 'Sedap tak Haziq?' aku bertanya kepada Haziq. Sambil menunjukkan ibu jarinya, dia mengangguk dan senyum dengan dipenuhi bubur di dalam mulutnya. Sepinggan habis, masuk ke pinggan kedua. Akhirnya, habis juga kali kedua tersebut. Alhamdulillah. Berkat keikhlasan hati memasak untuk suami dan anak, kelegaan itu timbul melihat Haziq makan bertambah-tambah. Setelah selesai Haziq menghabiskan bubur tersebut, ayahnya pun baru sampai dari tempat kerjanya. Agak lewat kerana kepulangan suami bersambut dengan azan Maghrib. "Motor pancit tadi, tu yang lambat sikit." Belum sempat aku bertanya, jawapan telahpun diberikan oleh suami. Nikmati berbuka puasa bersama 'Bubur Lambuk' dan 'Air Laici' (untuk kami sekeluarga), 'Air Teh O Panas' (untuk diri ini) dan 'Air Milo Ais' (untuk suami).

Berikut adalah resepi yang ku salin dari Rancangan 5 Rencah 5 Rasa :

Bubur Lambuk 5 Rencah 5 Rasa

Bahan Tumis
1 ulas Bawang Besar
5 ulas Bawang Putih (saya memang suka letak banyak dalam apa jua masakan)
0.5 - 1 inci Halia
1 mangkuk kecil Udang Kering (rendam seketika)

Bahan Tumbuk
 1 sudu besar Jintan Manis
0.5 sudu besar Jintan Putih 
(saya pakai serbuk sebab tiada yang kasar, jadi saya masukkan ketika menumis nanti)
1 sudu besar Biji Ketumbar

2 Bunga Lawang
3 Bunga Cengkih
250g Daging (yang dipotong sekecil mungkin supaya cepat masak)
1.5 Pot Beras (direndam seawal 2 jam)
Air
2 helai Daun Pandan
1 mangkuk besar Santan Pekat
1 batang Lobak Merah (dipotong dadu kecil)
1 biji Kentang (dipotong dadu kecil)
10 ekor udang 
(lagi banyak lagi sedap, oleh kerana 20 ekor berharga RM8, saya menggunakan separuh sahaja dari stok peti sejuk beku saya)
Daun Sup (dipotong halus)
Garam (secukup rasa, disebabkan makruh jika merasa, saya agak sahaja, 2 sudu kecil sahaja)
Lada Putih (oleh kerana kehabisan stok, saya tidak menggunakannya)
Bawang Goreng

  • Panaskan minyak di kuali/periuk yang kering (saya menggunakan periuk sahaja)
  • Masukkan mentega (apa yang saya dengar dalam 5R5R, letak yis kalau benar, tetapi saya tidak memilikinya)
  • Tumiskan Bahan Tumis
  • Masukkan bunga lawang dan bunga cengkih
  • Apabila wangi dan sedikit garing, masukkan Bahan Tumbuk
  • Setelah garing semuanya, masukkan daging, beras, dan air secukupnya
  • Masukkan daun pandan, santan, lobak merah dan kentang
  • Biarkan sehingga kesemua bahan empuk dengan api sederhana (tutup periuk tersebut dan boleh melakukan kerja sambilan seperti melipat kain, mengemas mainan anak dan sebagainya)(jangan ditinggal begitu sahaja, kena sentiasa memantau perkembangan masakan dengan menggaulmesra setiap kali anda menjenguknya)
  • Setelah beras bertukar menjadi nasi sedikit, masukkan bahan terakhir iaitu udang, daun sup dan lada putih.
  • Tutup api jika anda yakin masakan anda sudah siap (boleh dilihat pada udang, dan juga kepekatan bubur)(jangan masak sehingga terlalu kering dan pekat kerana bubur ini memiliki kepekatan semulajadi dari kentang dan bahan yang lain)
  • Boleh dimakan bersama bawang goreng
Selamat Mencuba!

Jangan lupa setiap kali berbuka puasa mahupun bersahur, amalkan memakan kurma 3 biji sebelum memakan atau meminum apa-apa sahaja, kerana ianya Sunnah. Kurma ini sudah menjadi kegemaran Haziq sepanjang masa dengan membuka sendiri peti sejuk dan mengambilnya sendiri. Ini adalah berkat mengamalkan sunnah Rasulullah ketika mengandungkan Haziq suatu ketika dahulu. Alhamdulillah.... 

Kurma Safia Stok yang Kedua (yang pertama genap 6 hari habis dimakan - paling banyak makan = Haziq)

Suami pun sudah keluar bekerja.... Haziq pula mencariku di ruang tamu, dan tidur semula. Menanti untuk membersihkan diri bersama anak apabila Haziq bangkit dari tidur nanti. 

Jom mengemas apa yang patut!!! 

Assalamualaikum.......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan