Selasa, 16 Julai 2013

Tersentuh Hati Ini.........

Sekadar simpanan sendiri sahaja....

Sejuk hati ini apabila melihat anak yang dipelihara dengan tangan sendiri membesar dengan baik. 

Maaf kupinta buat suami tercinta kerana sikap amarahku, akhirnya aku berterus terang kenapa aku tidak mahu bekerja lagi. Kepada rakan-rakan yang kupercayai dan terdekat, pastinya mengerti mengapa aku berhenti kerja ketika itu. Jahatkah aku? Memendam dan menyimpan marah dan tidak puas hati ini semata-mata untuk menjaga hati orang tua? Itu adalah lebih baik, kerana tidak mahu menyakitkan hati orang yang mempunyai pengalaman lebih dua kali ganda dariku. 

Dahulu, aku sering berendam air mata. Berendam air mata di hari pertama bergelar menantu. Berendam air mata ketika suami menyampaikan berita gembira akan kehadiran zuriat pertama kami kepada insan itu. Berendam air mata sepanjang aku mengandungkan zuriat pertama dengan menumpang di rumah insan itu. Berendam air mata ketika pulang dari kerja yang dibebani kerja rumah seolah-olah rumah tersebut dihuni lebih 20 orang. Menangisi perilaku suami yang terlalu panas baran ketika itu. Berendam air mata ketika melahirkan zuriat pertama, dikunjungi oleh seluruh ahli kelaurga kecuali insan itu. Berendam air mata kerana kepulangan bersama zuriat tidak disambut sebaiknya. Berendam air mata ketika berpantang di rumah itu selepas 2 minggu di rumah ibu kandung sendiri. Pengalaman yang tidak akan aku lupakan seumur hidupku. Dan bermula dari saat itulah aku belajar berpantang sendiri tanpa diambil berat oleh insan tersebut. Oleh kerana aku tidak disambut dengan baik untuk berpantang di rumah itu, layanan yang baik aku perolehi hanya ketika suami berada di sisi. Aku gagahkan diri. Sakit mana pun aku kuatkan diri demi anak yang ku lahirkan atas izin Allah ini. Itulah trauma yang menghantuiku sehingga kini. Kemaafan yang sukar untuk ku berikan sehingga kini. Oleh kerana ibuku sendiri memahamiku tanpa sepatah bicara aku tuturkan, membuatkan aku tersentuh hati dan menangisi nasibku sehingga kini.

Berkat kesabaran, usaha dan doa, akhirnya aku dapat berumahtangga dengan baik di rumah kepunyaan sendiri. Syukur yang tidak terhingga ke hadrat Illahi atas kurniaan yang diberi. Namun, tidak kusangka, ada juga kakak birasku yang prihatin dan peka akan masalah ku sebelum ini, akhirnya menutur bicara, memahami keadaan yang ku alami saling tidak tumpah dengan keadaan yang dia hadapinya suatu ketika dahulu. 

Apapun, pengalaman ini sama sekali tidak akan aku pendam begitu sahaja. Aku perlu ubah tradisi ini menjadi yang lebih baik berunsurkan tuntutan dan ajaran Islam. Ya Allah.... jika aku diizinkanMu untuk melihat menantu perempuanku akan datang, izinkanku melayaninya sepertimana anakku sendiri tanpa menyeksa jiwa dan raganya. Aku tidak akan membiarkan menantu berpantang dengan melakukan kerja-kerja rumah sepertimanaku dahulu. Tidak akan membiarkan menantuku tidak makan sesuatu apapun ketika berpantang. Aku teringat semua itu. Sehingga terpaksa menelefon suamiku supaya pulang dan tidak bekerja kerana tiada satu pun lauk berada di dalam peti sejuk untukku masak sendiri ketika itu. Sampainya hati....

Ibuku sendiri pastinya tidak akan mengizinkan aku berada di tempat itu. Tetapi apakan daya, kerana kasihankan suamiku berulang-alik Senai ke Ayer Hitam, aku menurut permintaannya untuk pulang ke rumah Senai. 

Begitu juga setelah aku kembali bekerja setelah dua bulan berpantang, terpaksa menurut kata suami supaya insan itu yang menjaga anak kami. Pelbagai alasan yang kerapku berikan kepada ketua pengurusku, supaya aku pulang ke rumah akibat ketidaksedapan hati ketika itu. Pelbagai perkara yang ku lihat depan mata. Sepertinya tidak sanggup ku ceritakan kepada suamiku kerana takut aku dituduh mereka cerita. Patutlah susu perahanku tidak berkurangan. Alasan yang kuterima, anakku tidak mahu, tetapi rupanya susu perahanku tidak diberi. Sampainya hati........ 

Sehinggakan di kala anakku sudah mahu menerima makanan lembut, apa yang ku masak dan ku bekalkan, tidak disentuh sedikit pun atas alasan anakku tidak mahu. Sedangkan, tidak disentuh walau sedikitpun untuk diberikan kepada anakku. Apa salahku sehingga diperlakukan begini. Anakku juga mogok tidak mahu memakan bubur telur yang sering dimasak oleh insan itu, kerana jelak mungkin. Selama 3 hari anakku enggan memakan apa-apa. Kerana trauma dek masakan insan itu yang hanya memasak bubur telur sahaja. Aku sanggup bercuti, meneliti apa yang anakku mahupun. Rupanya, anakku hanya mahu masakan dan suapan dari aku sahaja. Apakah ini petanda bahawa anak aku tidak mahu dipelihara oleh orang lain? Itulah yang sentiasa berlegar dalam fikiranku. Berat untuk melepaskan kerjaya, tetapi dalam masa yang sama, berat pula melihat anak yang diperlakukan begitu?

Pernah suatu ketika, hatiku sangat risau. Tengahari ketika sedang bekerja, aku putuskan untuk meminta cuti. Alangkah terkejutnya, anakku dibiar seorang diri dengan menangis sekuat-kuatnya, pintu terbuka, pagar berkunci... Mana perginya? Hati ibu mana tidak sedih melihat semua itu berlaku di hadapan mata. Pelbagai lagi yang tidak sanggup ku coretkan di sini. Mengalir lagi air mata kerana pengalaman tersebut.

Alhamdulillah... setiap ujian yang Allah berikan kepada hambaNya adalah ujian yang mampu dihadapi oleh hambaNya. Allah tidak pernah membebani hambaNya dengan bebanan yang tidak termampu dipikul.

Setelah hampir 7 bulan menjaga zuriatku sendiri, pastinya sekali-kali tidak akan membebankan mana-mana insan di luar sana dengan kerenah anak yang semakin bijak dan pandai ini. 

Tersentuh hati ini apabila melihat anak sendiri membentangkan sejadah setiap kali ingin bersolat. Aku belum lagi pernah mengajarnya, namun, berkat perlakuanku setiap waktu menarik minat seorang anak yang sedang giat belajar tentang keadaan sekeliling, melakukan apa sahaja yang aku lakukan dengan tangannya sendiri. Benar-benar menyentuh jiwa dan sanubari. Ya Allah, izinkanku mengajarkan anakku mengenal huruf KalamMu. Teringin sekali melihat anak sendiri menjadi seperti anak-anak yang sudah bergelar hafiz dan hafizah seawal usia 1 tahun. 

Tersentuh hati ini apabila melihat anakku tidak membaling botol susunya seperti kanak-kanak lain. Malah, meletak sendiri di atas meja makan samada dengan arahanku ataupun tidak. Kadangkala, memberikan padaku dengan berkata, "Nah." kepadaku, jika ketika itu dia mahu berada dalam dakapanku dan tidak mahu bergerak kemana-mana. Aku tahu, insan dahulu sudahpun mengajar anakku memegang sendiri botol susu seawal beberapa bulan kerana dia terpaksa menjaga anakku atas desakan suamiku yang tidak mampu untuk ditolak. Apapun terima kasih kerana telah menjaga anak ini selama 1 tahun 3 bulan dengan mendidiknya menepuk tangan dan menepuk nyamuk sahaja. 

Tersentuh hati ini melihat anak mengambil penyapu dan menyapu tempat yang dirasakan kotor pada pandangannya. Pada mulanya, memang aku sangat marah kerana anak ini bermain penyapu. Tetapi, aku perlu ingatkan diri ini supaya kurangkan kebengisanku kerana boleh mempengaruhi perkembangan anak.

Tersentuh hati ini melihat anak membuang sampah ke dalam tong sampah yang boleh dipijak untuk membuka penutupnya. Entah sejak bila dia mencuba memijak pedal tong sampah tersebut tetapi tidak berjaya. Dan ketika kakinya sudah kuat untuk memijak pedal tong sampah tersebut, adalah menjadi kesukaan dia setiap kali aku menyuruhnya membuang sampah di dapur. 

Tersentuh hati ini melihat anak memakai selipar atau kasutnya dengan betul. Malah, menyusun semula ke tempatnya dengan baik dan tersusun. Memang anak ini sering menyepahkan selipar-selipar dan kasutnya. Jika aku memarahi, tentulah dia berkeras untuk tidak menyusun semula. Namun, sejak aku menuturkan kata-kata lembut, pastinya dia sendiri menyusun semula tanpa kesilapan satu pun. 

Tersentuh melihat anak berjabat salam sambil mencium tangan setiap kali diminta untuk bersalam. Aku memang mengajar perihal ini kepadanya supaya dia hormat kepada orang yang lebih tua daripadanya. Memang pada mulanya, anak ini agak terlalu malu setiap kali berjumpa sesiapapun, namun, jika aku mengatakan "Nak balik dah ni, jom salam." Dialah yang pertama menghulurkan tangan. 

Tersentuh juga melihat anak berebut-rebut untuk menyidai sapu tangannya ketika aku menyidai pakaian. Malah, ketika melipat baju pun, dialah yang menghulurkan kepadaku untuk aku lipatkan. Aku selalu berang kerana anak ini sering mengambil 3 sapu tangan kecil untuk disidai. Sapu tangan itulah yang akan kotor setiap kali dilakukan seperti mainannya. 

Paling menyentuh hati, buku kecil Abjad ABC Bahasa Melayu, buku kecil Abjad ABC Bahasa Inggeris dan buku kecil Warna akan diperlihatkan kepadaku jika ada gambar yang sama pada setiap buku tersebut. Pernah suatu ketika aku membuka hanya satu buku berBahasa Melayu bergambar ikan emas, dia cepat-cepat mengambil buku berWarna dan menyelaknya sehingga berjumpa gambar yang sama dengan yang aku tunjuk sebentar tadi. Seringkali kejadian begini berlaku. Malahan, arnab peliharaan jiran kami pun, akan dibandingkan dengan buku yang segera diambilnya di dalam rumah. Aku perlu mengajar Jawi kepada anak ini. Kerana daya minatnya membuatkanku perlu berusaha lebih dari ini.

Aku juga mengajar anak ku mengenal tubuh badan dan sekelilingnya. Setiap hari perlu ku ulang, kerana ada perkataan orang dewasa yang sukar diingati olehnya. Mata "ate", hidung "dung", mulut "lut", lidah "dah", telinga "nge", tangan "angan", kaki "kaki", perut "rut", rambut "abut", pusat "apai", pipi "pi pi". Masih lagi keliru dengan dahi "ahi" dan dagu "agu". Baju "aju", seluar "war", tudung "udung", stokin "akin", kasut "asut", pintu "itu", pampers "ampers", bedak "dak", aircond "arkon", bantal "tantal", selimut "amut", peti ais "ates", mesin basuh "asuh", ubat gigi "igi", berus gigi "igi", air "air", buka "aka", tutup "tup", tuala "ala", sikat "akat", beg "beg", botol susu, susu " su su", telur "alur", kanan "nanan", kiri "iri", kereta "e ta", motor "o to", bakul "akul", tv, radio, handphone "pon", lari "lal", takut "akut", geli "eli", mama "ma ma", ayah "ayah", adik "dik", kakak "kakak", abang "abang", nenek "nene", atuk "tuk", pak uda "pa da", maksu "acu", makngah "angah", maklong "along", paklong "along", kaklong "along", pakngah"angah", pakcik "cacik", maklang "alang", paklang "alang", burung "awong", aiskrim "acem", ikan "kan", jam "jam", gajah "jajah", kucing "acing", katak "atak", duit "wet", taknak "nanak", buku "kuku", pen "pen", betul "etul", salah "ellah" macam-macam lagi... Sebagai ibu bapa, jangan ajar anak pelat pula.... ajar dengan perkataan yang betul. Memang dia sebut pelat, tapi deria pendengarannya tidak mendengar yang pelat dari ibu bapanya. 

Sedar tidak sedar, sudah berjela rupanya. 

Apa menu berbuka pusa hari ini ya? Bakso atau bubur lambuk? 

Nantikan..................

Terima kasih kerana sudi membaca coretan panjang ini. Maaf jika ada yang menyinggung anda dan menimbulkan kemarahan dan tanda tanya pada anda. 

Assalamualaikum.................

Tiada ulasan:

Catat Ulasan