Selasa, 3 September 2013

Aku Tidaklah Sehebat Mereka

Pengumuman kenaikan harga minyak petrol Ron95 dan diesel sebanyak RM 0.20 semalam mengundang pelbagai spekulasi negatif rakyat Malaysia.

Saya bukanlah pengkaji atau penganalisis kewangan. Saya kini hanyalah surirumah sepenuh masa. Kita semua ada pendapat dan fikiran masing-masing. Ada yang negatif dan ada pula yang positif. Ada yang menyokong dan ada pula yang kurang senang. Ada yang berstatus di Facebook dan ada pula yang berdiam. Ada yang melemparkan pandangan dan ada pula yang melemparkan cemuhan. Ada yang kisah dan ada pula yang tidak kisah sama sekali. Ada yang melatah dan ada pula yang tidak. 

Sebagai memotivasikan diri, tenangkan fikiran, ingat Allah. InsyaAllah... ketenangan yang tiada tolok bandingnya akan kita perolehi.

Dari sudut kehidupan masyarakat, terdapat pelbagai jenis keluarga dan kehidupan di luar sana. Ada yang senang, ada yang susah. Ada yang gembira, ada yang sedih. Ada yang aman damai, ada yang berpecah belah. Ada yang berkereta mewah, ada juga yang berkereta biasa, tidak kurang juga yang memiliki motosikal ataupun basikal. Ada yang berumah sendiri, ada yang menyewa. Ada yang makan gaji dan ada yang bekerja sendiri. Ada yang beranak ramai, ada juga yang tidak. Ada yang bekerja dan ada yang tidak bekerja. Ada yang berkeluarga dan ada juga yang sebatang kara. Ada yang menjual unit amanah, ada juga yang jual insurans, ada juga yang menjual kek, menjual penapis air, menjual jamu, menjual air zamzam, menjual kismis, dan pelbagai lagi semata-mata untuk mencari pendapatan tambahan. 

Memang benar kita menjalani kehidupan beraruskan peredaran zaman. Jangan lupa...

Rasulullah S.A.W pernah bersabda dalam satu hadis bermaksud "9 dari 10 rezeki itu adalah datang daripada perniagaan." (Hadis Riwayat Tarmizi)

Andai hari ini : kuih muih dijual 3 seringgit 
Akan datang : dijual 2 seringgit atau 1 seringgit. 

Inflasi akan meningkat dari setahun ke setahun. Sehinggakan ramai yang terdesak. Terdesak menyimpan kewangan untuk pendidikan anak-anak, kehidupan selepas berpencen dan sebagainya demi kelangsungan hidup pada masa akan datang terhalang dek arus kehidupan yang semakin meningkat dan menjuruskan kepada kurangnya menyimpan. 

Apabila semua ini berlaku, kesempatan berniaga oleh sesetengah pihak pun berlaku. Dahulunya tiada, kini diperhebatkan. Unit amanah, insurans, jualan langsung, pelaburan emas dan sebagainya semuanya dikaburi oleh masyarakat oleh perniagaan yang diciptakan sendiri oleh orang yang bukan Islam. 

Dahulunya semua bank tidak melaksanakan tatacara Islam, kini semuanya di"Islamic"kan demi mengaburi mata masyarakat Islam yang tidal celik dengan muamalat dalam Islam. Memang benar, saya tidak boleh menyamakan zaman dahulu dengan zaman sekarang. Kerana sudah terlampau jauh komodenannya sehinggakan kita semua alpa dan leka. 

Unit amanah dikaburkan oleh masyarakat dengan dividen dan pertumbuhan modal. Insurans dikaburi dengan pelbagai keistimewaan bermalam di wad kelas pertama dan sebagainya. Jualan langsung dengan komisen yang berlipat kali ganda. Emas dengan arus pelambungan harga dan sebagainya. Jika ini juga tergolong dalam perniagaan, hebatlah mereka yang pertama mencipta perniagaan ini. 

Saya juga bukanlah seorang hamba Allah yang hebat bertatacara menjual produk dan sebagainya, dan langsung tidak hebat menggunakan helah dalam perniagaan dan sebagainya. 

Saya hanya ingin hebat dalam bertatacara mengenai kehidupan yang bersyariatkan Islam, saya ingin hebat berniaga mengikut sistem muamalat yang dianjurkan oleh Rasulullah, saya ingin hebat menghafaz Al-Quran, .... tetapi saya sambil lewakan kesemuanya demi mengejar dunia semata-mata. 

Saya tidak tahu perniagaan apa yang perlu saya libatkan. Saya tidak hebat pun mempengaruhi rakan sekeliling untuk melabur dalam unit amanah kerana saya tahu setakat mana kemampuan saya. Saya tidak hebat pun menghafaz segenap ayat dalam Al-Quran, hanya beberapa ayat sahaja yang saya mampu hafal. Saya tidak hebat sehingga berkali-kali gagal dalam ujian motor JPJ hanya kerana jatuh ketika menyeberangi titi. Saya tidak hebat pun berdebat jika ada yang menyakiti hati kerana saya tahu hamba Allah itu lebih tua dari saya. Saya tidak sekaya orang lain yang mampu menderma berjuta-juta ringgit, saya hanyalah hamba Allah yang kerdil, yang hanya mampu menderma seikhlas mungkin, bukan sahaja dari segi kewangan, malahan doa yang saya titipkan.

Saya tidak berkebolehan untuk membuat kuih muih kerana saya tahu keterbatasan saya. Saya tidak boleh menjaga anak orang kerana tidak mendapat keizinan dari suami. Saya tidak berupaya menjahit secara besar-besaran, kerana kekangan yang ada. Saya masih tidak menerima mana-mana panggilan bekerja, pastinya Allah merencanakan sesuatu di luar jangkaan saya.

Kita semua di'set'kan dalam minda supaya belajar rajin untuk ke menara gading seterusnya memperolehi kerja bergaji setaraf pendidikan. Bagi yang genius dan bernasib baik, ada yang menjadi jurutera, doktor, peguam, guru dan sebagainya. Bekerja dengan berkhidmat untuk masyarakat merupakan pekerjaan yang sangat mulia. Bagi yang tidak bernasib baik, bagaimana pula? 

Belajar ilmu Allah, mahir dalam ilmu Allah yang tertentu mengikut kemampuan kita demi mentaati segala perintah Allah dan RasulNya sebagai bekalan untuk akhirat. Itu yang sepatutnya di tanam dalam setiap minda masyarakat Islam zaman ini. Bukan berlumba-lumba mencari kemewahan dunia semata-mata sehingga lupa amalan dan perintah Allah. Berlumba-lumbalah mencari bekalan ke akhirat. 

Saya hanya ingin hebat menjadi hamba Allah yang sentiasa taat dalam melaksanakan perintahNya. Saya ingin hebat mengamalkan tatacara dan sunnah Rasulullah. Saya ingin hebat mendidik keturunan saya supaya hebat menjadi hamba Allah. Ya Allah... izinkanku melaksanakan keinginanku ini. Sentiasalah Engkau memberi petunjuk dan hidayah kepadaku agar aku tidak leka walau sedikit pun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan