Khamis, 19 September 2013

Kunjungan ke Melaka

19 September 2013

Aku menerima panggilan telefon dari Kak Rini, bahawa mereka semua akan ke Melaka hari ini, dan berhasrat membawaku bersama. Berbunga-bunga perasaan ini. Namun, aku meminta agar keizinan dari suamiku ku perolehi. 

Pesanan ringkas dari Kak Rini bahawa "Arin kata boleh..." Benar-benar melegakan hatiku. Aku bergegas menyiapkan lauk paukku untuk disiang. Aku bersiap membawa keperluan peribadi dan anak untuk dibawa bersama. 

Kedatangan Along dan Kak Rini dinanti. Kami bersiap segera agar mereka tidak menunggu kelewatan kami. 11.30 pagi kelihatan kereta Kembara kepunyaan Acik. Kami menaikinya dan terus menuju destinasi yang dirancang. Lebuhraya Utara Selatan menjadi pilihan agar segera sampai ke Politeknik Merlimau. 

Kami melalui Kilometer 47.2, di mana arwah mengalami kemalangan mengarah ke selatan. Hajat mereka agar setelah selesai urusan di sana, berhenti di tempat kejadian untuk melihat apa yang boleh dijadikan iktibar.

Hentian pertama di Hentian R & R Machap. Hentian Zuhur kami di Tol Jasin. Kami terus ke Politeknik Merlimau. Urusan di Pejabat HEP diuruskan sendiri oleh Along dan Kak Rini. 

Setelah itu, kami ke rumah sewa arwah yang tidak jauh dari poli berkenaan. 

Suasana sangat sayu menyelubungi rumah tersebut. Betapa sayangnya rakan-rakan baik arwah sehingga mengemaskan barang peribadi arwah dengan baik dan tersusun. Tilam kepunyaan dicium oleh Kak Rini. Tangisan hati ini sahaja yang mampu ku luahkan. 

Rakan-rakan arwah kelihatan memiliki peribadi yang sangat baik. Semuanya tidak mampu untuk berbicara. Kehilangan yang cukup memilukan. Kami menerima kunjungan rakan sekuliah arwah yang sangat ramai. Betapa arwah dikenali dengan peribadi yang baik. 

Tilam arwah ingin kami ambil, tetapi, rakan arwah yang sedari tadi menyembunyikan diri di sebalik pintu bilik, memeluk erat tilam tersebut, bersama linangan air mata yang tidak mampu lagi ditahan. Betapa fahamnya kami akan perasaan mereka setelah kehilangan rakan serumah yang disayangi. 

Kami segera pulang. 

Singgahan kami adalah di Kilometer 47.2 Lebuhraya Utara Selatan mengarah ke Selatan. Aku dan Kak Rini segera turun dari kereta. Betapa lajunya langkah Kak Rini sehinggakan aku terpaksa menjerit memanggilnya. Ku genggam tanganku seerat-eratnya dengan tangan kakak birasku itu. Menyalurkan sepenuh kekuatan agar Kak Rini tabah ketika mengunjungi tempat kejadian. 

Bisiknya, "Akak nak cari gigi arwah kalau boleh....."

Tersentap hati ini mendengarnya. Wajah arwah di kala kali terakhir sebelum dimandikan menerpa dalam ingatan. Wajah seorang hamba Allah yang taat menerima panggilan dari Allah. Wajah yang sangat bersih. Sempurna tanpa sebarang kekurangan. Hanya berdasarkan laporan doktor bahawa arwah mengalami kecederaan dalaman yang agak serius, walaupun diizinkan hidup sekalipun pastinya mengalami kecacatan kekal. Tiada satu pun kekurangan pada diri arwah di kala meninggalkan jasadnya itu untuk mengadap Illahi.

Akhirnya Alongku turun dari kenderaan. Dia sebenarnya ingin mengkaji sendiri bagaimana kemalangan sebegini berlaku. Pastinya itu semua adalah rahsia Allah. Kami hanya mampu meneka dan mereka, tetapi Allah yang melaksanakan segalanya mengikut ketetapan dan perancangan Dia. 

Terkenang pula penceritaan rakan-rakan arwah, 

"Kiteorang ade tengok cerita 100 hari... sama-sama dengan arwah..."
"Assignment video ni seminggu sebelum arwah meninggal..."
"Helmet ni arwah tak bagi sape-sape pakai... die sayang helmet ni..."
"Haritu arwah makan berselera sangat.... semuanya habis.... tak sangka pulak......"
"Arwah selalu malam-malam hilang pegi taman sebelah....." Jumpa Ekyn agaknya.....

Allah rahsiakan banyak perkara. Kematian. Kiamat. Kerana pastinya tersirat sesuatu hikmah yang terbesar agar manusia sentiasa mengingatiNya. 

Al Fatihah buat Allahyarham Zulhilmi Azman.... Moga tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman..

Amin... Amin... Amin.. Ya Rabbal 'alamin....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan