Rabu, 18 September 2013

Mengurus Sijil Kematian Allahyarham Zulhilmi Azman

Selasa, 17 September 2013 ~ aku menemankan kakak birasku, Kak Rini dan Zurina ke Setia Tropika untuk mendaftarkan sijil kematian arwah Zulhilmi di sana. Alhamdulillah.... urusan tersebut dimudahkan Allah.... tanpa sebarang masalah. 

Sesampainya kami di sana, hanya dua kali pusingan sahaja, akhirnya dapat juga meletakkan kenderaanku di kawasan yang ditetapkan. Sejurus itu, kami menuju ke tempat fotostat. Kak Rini mahu kad pengenalan arwah difotostat warnakan untuk kenangan sebelum dipulangkan ke JPN. 

Kami di aras 1, tiada khidmat warna untuk fotostat. Kami disyorkan ke aras 6, kecewa juga akhirnya. Kami disyorkan pula supaya ke rumah kedai luar premis, namun di pertengahan sebelum keluar, kami melalui satu kedai tetapi ditampalnya memo "REHAT/SOLAT". Rehat barangkali kerana baru jam 11 pagi. Sementara menunggu jika diberi peluang untuk menjadi pelanggan pertama, pelbagai orang juga berdukacita melihat kedai tersebut tutup. Kami cekalkan hati menunggu. Malahan, kami memberi tunjuk arah jika mahu fotostat di kedai lain dengan lebih cepat. 

Berjumpa dengan seorang wanita yang agak bergegas lagaknya, mengarahkan seorang lelaki memfotostat dokumen dengan segera. Sementara menunggu, wanita tersebut berbual dengan Kak Rini. Dari penceritaannya, 6 bulan dia tidak mahu menerima hakikat kehilangan anaknya yang dilanggar lari ketika arwah anaknya berusia 12 tahun. Dia menyalahkan takdir kenapa bukan penagih, penjenayah dan sebagainya yang diambil nyawanya, kenapa mesti anaknya dahulu yang diambil... betapa dahsyatnya penolakan takdir olehnya. Setelah berlaku kejadian di mana 2 beradik meninggal dunia pada satu masa, dilihatnya ibu beradik tersebut cekal menerimanya, barulah terbuka pintu hatinya menerima takdir Allah atas pemergian anaknya itu. Barulah dia sedar betapa sayangnya Allah pada anaknya. Kisah pelbagai kehidupan dengan pelbagai pengajaran.

Akhirnya aku memutuskan agar keluar dari premis ini untuk mencari fotostat warna yang dihajatkan. Aku da Haziq menunggu dari sini, Kak Rini dan Zurina keluar ke rumah kedai yang dimaksudkan oleh peniaga aras 6 tadi. 

Setelah selesai urusan segala-galanya, kami pulang ke rumahku untuk membuat surat akuan pewaris di rumahku. Sehingga tertidur Kak Rini dan Zurina kerana kepenatan sementara aku menyiapkan surat tersebut untuk di'print'.

Abang iparku Along ada menelefon Kak Rini, bahawa mereka akan ke Melaka esok. Memang meronta hati ini untuk mengiringi tetapi tanpa keizinan suami, pastinya tidaklah pula dapat ku penuhi hasratku ini........


Tiada ulasan:

Catat Ulasan