Rabu, 29 Mei 2013

Hari Ini Hari Malas Memasak

Assalamualaikum....

Haziq tengah tidur. Baru sahaja melelapkan dirinya yang agak emosi sedikit hari ini. Berpelukan dengan Dragon hijau pemberian nenek Ayer Hitamnya.

Pagi ini aku mendapat perasaan malas sangat untuk memasak. Bosan juga kadangkala asyik memasak sahaja, sesekali membeli pula. Seperti kebiasaan, setiap pagi Haziq akan menangis setelah bangun dari tidur dengan keadaan mamanya yang tiada di sisi dan dia tahu mana mamanya perlu dicari, samada di dapur, mahupun di bilik air. Dan pagi ini, Haziq mencariku di dapur. Walaupun aku tidak memasak apa-apa sarapan hari ini, sekurang-kurangnya aku memasak air. "Takkanlah air kopi O pun nak beli jugak!! Janganlah malas noh...." 

Enjin motor suamiku ku hidupkan dan Haziq yang melalak tadi ku pujuk menaiki motor. Senyap terus dari tangisan. 

Carian 1 : Makcik Siti ~ selalu ada, hari ini tiada menjual pula.
Carian 2 : Kedai baru sebelah SmartMini Shop ~ "Akak, nasi lemak ada?""Belum tanak lagi nasinya." "Takpelah kak......"
Carian 3 : Mamak Restoran Nuraishah Taman Bintang ~ "Roti kosong 4, nasi lemak telur 1, nasi lemak ayam 1."

Roti kosong untuk sarapan. Nasi lemak untuk tengahari. Boleh gitu? Malas punya pasal. Yang penting petang mesti masak. Suaminya berbekalkan nasi lemak ayam tadi. Pagi ini, 2 keping roti menjadi sarapan suamiku. 

Teringat pula hal semalam. Rescue encik suami yang kebocoran tayar JCBnya di tapak projek Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ). Berdesup-desup bawa wira suamiku yang penuh dengan alatan beratnya. Dan tidak semena-mena pula, diriku dan Haziq menunggu sehingga ayah Haziq habis bekerja jam 10 malam. Oleh kerana terlalu lewat tidur malam tadi, pagi ini lah hasil kemalasannya. Sekali sekala boleh, selalu jangan!!

Apabila bekerja dengan abang sendiri, sudah pasti pelbagai konflik beradik yang kita akan lihat. Sebagai pendengar, diriku hanya mendengar dengan baik. Untuk memperkatakan sesuatu adalah tidak mungkin jika bukan dengan izin suami. Adakalanya si abang sepatutnya mendengar pendapat walaupun orang itu hanya bergelar adik atau jauh lebih muda dari anda. Kerana, setiap individu memiliki pengalaman dan kepakaran yang berbeza. Sebenarnya jika bekerja dengan darah daging sendiri, ada sedikit keterbatasan dalam menegur dan memberi pendapat. Almaklumlah, kita adik, dia adalah abang dan juga bos. Hanya perlu mengiakan tanpa perlu membidas, kerana mungkin ada yang benar dan mungkin ada juga yang salah. Sebagai abang yang bergelar bos, sepatutnya menjadikan situasi bekerja yang sebenar-benarnya dengan menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja, bertanggungjawab, memberi gaji yang sepatutnya sebagaimana sistem bekerja yang ada di luar sana. Bukan menjadikan adik ini yang juga bergelar pekerja dengan tidak diberi penghargaan sama sekali. Kami faham, jika kita mempunyai target yang ingin dikecapi, adalah perlu adil dalam menjaga kebajikan pekerja dalam masa yang sama, tanpa mementingkan diri sendiri dan target anda semata-mata. Jangan dek kesibukan mengejar impian anda, kebajikan pekerja terabai begitu sahaja. Jangan mementingkan harta dunia semata-mata! Kerana ia tidak akan membawa kita ke mana-mana. 

Sebenarnya, aku dan Haziq sudah terbiasa menjadi rescuer encik suamiku dan sentiasa menjadi penunggu di kala diperlukan. Di mana suami berada, pastinya kita pun perlu ada. Tekanan kerja suami juga akan berkurangan apabila melihat isteri dan anaknya di sisi tanpa mengeluh penat dan panas. Bertuah kami kerana dapat melihat suami juga ayah kepada Haziq bekerja keras mencari sesuap nasi. Terima kasih sayang....... susah dan senang bersama.

Semoga kita kekal bersama hingga ke syurga. Amin... amin... amin ya Robbal'alamin.

Sehingga bertemu nanti dengan topik yang lain pula!!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan